KAMPUNG budaya ala ‘Shang Ri La’ turut ada di Qing Xin Ling.
KAMPUNG budaya ala ‘Shang Ri La’ turut ada di Qing Xin Ling.
Nurul Husna Mahmud


Keunikan Concubine Lane yang terletak di Ipoh, Perak kian menjadi buah mulut dan lokasi wajib dikunjungi terutama 'kaki bergambar' yang gemar meneroka destinasi menarik.

Sejarahnya, Concubine Lane dikatakan tersohor sebagai lokasi 'tauke' Cina menyimpan gundik mereka satu ketika dulu.

Satu lagi kisah popular mengenai jalan terbabit ialah kisah taikun lombong bijih timah, Yao Tet Shin yang memberi tiga jalan sebagai hadiah untuk tiga isterinya.

Diceritakan ketiga-tiga isteri taikun itu mengutip sewa daripada kedai yang ada di jalan masing-masing.

Kini biarpun sudah lebih 100 tahun, aura nostalgia masih kekal kerana struktur bangunannya mengekalkan seni bina lama sehingga menarik orang ramai untuk merakam foto di kawasan itu.

Tidak ketinggalan pengunjung dari Batu Berendam, Melaka, Nur Najihah Atiqah Nasran, 27, turut mengunjungi lokasi tarikan terbabit ketika mengunjungi bandar Ipoh, baru-baru ini.

Kata Nur Najihah, percutian disertai tujuh rakannya, Shuzana Lia Zainal Abidin, Nor Aifa Hussin, Noor Asma Zakaria, Naziyah Mohamad Zin, Zaliha Abu Bakar, Sharifah Salwa Syed Mortadza dan Hamiza Abd Rahim memilih menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) antara bandar dari Tampin sebelum menyewa kereta apabila sampai di Ipoh.

"Saya dan rakan sepakat memilih Ipoh kerana ada antara kami tidak pernah bercuti di bandar itu sedangkan aksesnya mudah.

"Paling mudah kami yang tinggal di Melaka, menaiki ETS dari Stesen Pulau Sebang di Tampin untuk berkunjung ke Ipoh.

MERAKAM kenangan berlatarbelakangkan Stesen Keretapi Ipoh.
MERAKAM kenangan berlatarbelakangkan Stesen Keretapi Ipoh.

NOSTALGIA lorong gundik.
NOSTALGIA lorong gundik.

"Bagi memudahkan pergerakan kami di Ipoh, kami menyewa kereta dan sejujurnya memandu di Ipoh tidak sesukar seperti saya bayangkan," katanya.

Nur Najihah berkata, pada awalnya dia berfikiran Ipoh yang berstatus ibu negeri pastinya sesak teruk selain sukar kerana jalan yang sibuk.

"Bandarnya tenang dan teratur. Jalan raya tidak sesak dan memudahkan kami memandu walaupun pertama kali sampai sini untuk ke tempat menarik.

"Perjalanan kami diperkemaskan menerusi tinjauan lokasi menarik kami peroleh di laman sosial. Ipoh adalah destinasi tempatan yang wajar dikunjungi kerana memiliki lokasi percutian unik," katanya.

Seperti sejarah Concubine Lane yang dulunya menjadi pusat berlibur pekerja dan pemilik lombong berbangsa Cina, kata Nur Najihah, kawasan itu lebih sesuai sebagai 'port' bergambar dan peminat seni bina masa kini.

"Pengunjung Melayu atau Muslim sebenarnya lebih kepada aktiviti bergambar atau 'feel the vibe' kerana dulu kawasan ini 'mencerminkan' kegemilangan bandar Ipoh yang terkenal dengan industri perlombongan bijih timah.

"Bangunan rumah kedai lama diubah suai atau dicantikkan dengan mural dan pengubahsuaian menampakkan sisi estetika bercirikan vintaj sesuai dengan sejarah lorong gundik ini.

"Lokasi ini lebih kepada persinggahan untuk bergambar dan 'mencuci mata' menghayati keindahan seni bina lama," katanya.

Misi utama Nur Najihah dan rakannya ke Ipoh sebenarnya meneroka tarikan batu kapur.

PEMANDANGAN cantik di Tasik Cermin.
PEMANDANGAN cantik di Tasik Cermin.

TEROWONG batu kapur menyamankan.
TEROWONG batu kapur menyamankan.

"Kami teruja dan tertarik dengan keindahan alam semula jadi serta gunung batu kapur yang mengelilingi kampung budaya Qing Xin Ling serta Tasik Cermin.

"Panorama di sini tidak kalah dengan percutian pemandangan pergunungan di luar negara. Sungguh mengasyikkan.

"Tarikan gua bersama bukit batu kapur sangat cantik apabila terakam dalam foto. Tempat kesukaan saya yang mana saya rasa kecantikan semula jadinya begitu menonjol ialah Tasik Cermin.

"Saya merancang kembali lagi bersama ahli keluarga bagi merasai perjalanan menyusuri terowong yang sangat dingin sebelum dapat sampai ke tasik terbabit," katanya.

Tambah Nur Najihah, Ipoh juga cukup terkenal dalam kalangan peminat makanan dan minuman viral.

Dia dan rakannya turut berkesempatan mengunjungi beberapa 'port' makan tempatan yang unik.

"Satu lagi keunikan bandar lama ini seperti di Melaka ialah 'port' makanan viral.

"Saya dan rakan tidak hanya menyasarkan percutian ke lokasi pemandangan yang cantik semata-mata.

"Jadi, beberapa lokasi pernah tular di TikTok, Instagram atau Facebook semua kami pergi. Antaranya ke Miker Food, Kafe Suhaimi, Fluff, Ipoh Night Market dan Ipoh Station Cafe.

"Semua sajian di kafe terbabit sedap dan menepati selera kami terutama Kafe Suhaimi. Sarapan pagi di Kafe Suhaimi sangat menyelerakan terutama roti goyang, roti kacang pool, laksa Sarawak dan banyak lagi," katanya.

Nur Najihah turut menyarankan pengunjung mahu bersarapan ke kafe itu perlu turun sebelum jam 8 pagi bagi mengelak perlu menunggu giliran yang lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 7:03 AM