GUNUNG Bewah tersergam gagah di tengah tasik buatan manusia dengan air yang menghijau.
GUNUNG Bewah tersergam gagah di tengah tasik buatan manusia dengan air yang menghijau.
Saipul Adli Mohamad


TIDAK kering gusi, ada saja usikan dan bahan jenaka apabila sesekali berkumpul menggamit memori dalam keadaan 'bujang' semula. Malah, ada dalam kalangan kami kali terakhir bertemu pada 1989 dan 1990.

Demikian keseronokan apabila saya bersama 19 rakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu bertemu kembali selama tiga hari dua malam ketika 'mini reunion' di atas rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Meskipun berusia hampir separuh abad, perangai awal remaja ketika mula berkenalan di asrama pada 1986 (ada yang masuk sesi 1989) muncul semula dan sudah pasti nama gelaran yang kekal sehingga kini mencetuskan gelak ketawa.

Asalnya 24 orang akan menyertai program silaturahim itu, tetapi hanya 20 yang dapat hadir dan tiga rakan membawa anak lelaki sebagai pewaris.

Seramai 10 orang termasuk saya bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat itu dan kami bertemu beramai-ramai ketika sarapan nasi dagang lauk ikan tongkol di rumah rakan di Pengkalan Berangan, Marang.

Kemudian kami bertolak ke Pengkalan Gawi dan menaiki bot selama empat jam memasuki Taman Negara Terengganu sebelum berlabuh di kawasan Sungai Ketapang di Tasik Kenyir.

Difahamkan ada beberapa penyewa rumah bot lain turut memasuki Taman Negara Terengganu pada hari sama, jadi kami memilih lokasi berhampiran Gunung Bewah itu yang agak tersorok kerana tidak mahu berkongsi atau bertembung dengan orang lain.

Di kawasan Sungai Ketapang itu terdapat dua air terjun dan untuk sampai ke sana, boleh menaiki bot gentian kaca. Tapi, ada rakan yang memiliki ketahanan tinggi berenang pada jarak sekitar 300 meter itu.

Selepas makan tengah hari nasi minyak, kami ke air terjun yang sangat dingin itu untuk berendam dan mandi-manda, namun perlu berhati-hati kerana batu licin, mungkin berikutan kawasan itu jarang dikunjungi.

PENULIS (tengah) belajar berenang di depan Gunung Bewah.
PENULIS (tengah) belajar berenang di depan Gunung Bewah.

KEUNIKAN batu kapur dalam kawasan berpagar di bahagian atas Gua Bewah.
KEUNIKAN batu kapur dalam kawasan berpagar di bahagian atas Gua Bewah.

Selepas balik dari air terjun, ada beberapa rakan terus berenang dalam air tasik menghijau di tepi rumah bot dan memakai jaket keselamatan adalah satu kemestian.

Pada malamnya, kami barbeku kambing panggang dan 'hot dog.' Kawasan itu tiada liputan telekomunikasi dan internet menyebabkan kami banyak menghabiskan masa bersama.

Banyak yang dibualkan sambil makan kuaci dan menghirup minuman panas. Bukan selalu dapat berada atas dek sambil menghitung bintang di langit dalam suasana malam dingin dan mendamaikan.

Udara pagi Sabtu itu memang segar, nyaman dan dingin. Rugi jika melayan tidur kerana peluang sesekali itu sewajarnya digunakan untuk berehat atas dek dan berjenaka bersama rakan.

Kemudian, saya bersama tujuh rakan ke Gua Bewah yang menjadi antara lokasi wajib singgah jika ke Tasik Kenyir. Perjalanan mengambil masa 15 minit dengan bot gentian kaca dan melalui kawasan pulau yang dulunya adalah puncak bukit.

Banyak maklumat mengenai gua batu kapur itu dan sudah semestinya wajib menjaga mulut serta perilaku bagi mengekalkan suasana harmoni dan mengelak kejadian tidak diingini.

Gua Bewah dikaitkan dengan peninggalan masyarakat purba dan hasil penyelidikan dilakukan ahli arkeologi, sejarah dan pakar kebudayaan menemui artifak zaman prasejarah di samping pelbagai fosil di sekitar gua itu.

Sebelum terbentuknya tasik, kawasan itu adalah sebuah pusat tamadun awal dan penemuan terpenting dalam arkeologi Gua Bewah adalah rangka manusia berusia 16,000 tahun dinamakan sebagai Bewah Girl pada 2009.

Perkataan bewah dikatakan merujuk kepada aktiviti penduduknya pada zaman dahulu yang suka berbewah iaitu mengadakan kenduri-kendara.

RUMAH bot yang menanti tetamu ke Tasik Kenyir.
RUMAH bot yang menanti tetamu ke Tasik Kenyir.

PENULIS bergambar kenangan bersama rakan.
PENULIS bergambar kenangan bersama rakan.

Pada beberapa bahagian dinding gua itu terdapat beberapa jenis fosil seperti karang, gastropod dan fusulinid. Terdapat beberapa bentuk formasi batu menarik pada dindingnya seperti manusia sedang duduk dan bentuk burung unta.

Selepas balik dari Gua Bewah, kami dihidangkan baung masak tempoyak dan singgang tulang bersama budu serta ulam. Kecoh apabila nasi tidak cukup dan si tukang masak dikecam, tetapi itu seronoknya apabila makan beramai-ramai dan berebut.

Pada sebelah petang, sesi mandi-manda dan berendam diteruskan manakala beberapa rakan mengisi masa dengan memancing di sekeliling rumah bot.

Tanpa liputan internet membuatkan kami sebenarnya 'bebas' dan terus menghabiskan malam bersama-sama. Ada siaran televisyen berbayar menggunakan satelit dan kaki bola boleh melayan tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris beramai-ramai.

Terdapat set karaoke disediakan atas rumah bot itu dan setiap seorang dikehendaki menyumbangkan lagu. Tidak cukup dengan itu, kami menyanyi beramai-ramai melayan petikan gitar kapuk dibawa rakan.

Tiada masalah dalam tugasan memasak kerana ada tiga tukang masak terbaik dengan pembantu yang menyediakan pelbagai menu menggunakan bekalan makanan dan minuman dibawa dari darat.

Tapi, begitu kehidupan, setiap yang bermula akan ada pengakhirannya dan kami bertolak pulang pada pagi Ahad dengan perjalanan mengambil masa hampir lima jam sebelum tiba di pengkalan.

Dalam perjalanan pulang dan apabila sudah ada internet, masing-masing mula sibuk dengan telefon bimbit semula. Apa pun, sudah pasti silaturahim ini berterusan dan akan ada 'reunion' berikutnya nanti.

Sementara itu, pemilik rumah bot, Rusli Harun berkata, dia memiliki rumah bot sendiri sejak lima tahun lalu selepas beberapa tahun sebelumnya menjadi pemandu bot.

"Alhamdulillah, kami pemilik rumah bot boleh menerima tetamu semula sebaik rentas negeri dibenarkan dan aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir hidup semula.

"Rumah bot ini ada enam bilik, setiap bilik ada dua katil dua tingkat yang boleh memuatkan 24 orang. Selain itu ada surau, ruang rehat dilengkapi televisyen serta dapur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 7:00 AM