ANTARA pemandangan menarik sepanjang perjalanan di Austria.
ANTARA pemandangan menarik sepanjang perjalanan di Austria.
Norhayati Zainal


KEINDAHAN alam semula jadi di lokasi pengambaran filem The Sound of Music, lakonan Julie Andrew di Salzburg amat memikat hati untuk ke bumi Austria.

Kami susuri pesisiran Sungai Salzach berlatarkan bukit di atasnya berdiri megah kubu dan Istana Hohensalzburg yang masih kukuh.

Alstadt (old town), yang dipenuhi bangunan bersejarah dengan seni bina 'baraque' tersergam indah dan kekal terpelihara adalah destinasi pertama kami.

Sesuai dengan kota kelahiran komposer muzik klasik terkenal, Wolfgang Amadeus Mozart, berdiri kukuh patung gangsa Mozart di Dataran Mozart yang dibina pada 1842.

Dari sini, kami terus ke dataran Residenzplatz yang menempatkan banyak bangunan bersejarah di sekitarnya seperti Salzburg Cathedral, Salzburger Museum dan Alte Residenz.

Kami singgah di rumah Mozart (Mozarts Geburtshaus) yang dilahirkan pada 1756. Bangunan itu mudah dikenali kerana ia berwarna kuning dan kini dijadikan muzium.

Perjalanan diteruskan ke dataran Herbet-Von-Karajan yang dinamakan sempena nama seorang konduktor muzik klasik terhebat abad ke 20.

PENULIS (duduk kanan) bersama rakan dengan sebahagian besar wanita berbaju kurung di Salzburg.
PENULIS (duduk kanan) bersama rakan dengan sebahagian besar wanita berbaju kurung di Salzburg.

Di pasar lama, kami terserempak seorang wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga Austria bersama dua anak lelakinya. Selesai bertanya khabar dan mengambil gambar, kami terus berjalan sehingga sampai di hadapan kafe paling tua di Salzburg iaitu Cafe Tomesseli yang menarik perhatian pelancong.

Dari Salzburg kami menuju ke Hallstatt, yang juga dikenali sebagai The Pearl of Austria dan kota garam.

Menurut sejarah, ia adalah satu daripada lombong garam tertua di dunia dan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Perjalanan lebih dua jam dengan bas tidak terasa apabila dihidangkan dengan pemandangan amat menakjubkan dengan kepulan kabus melitupi permukaan tasik membiru berarak perlahan-lahan ditiup sang bayu dilatari jajaran gunung-ganang.

KEINDAHAN Salzburg menggamit kehadiran pengunjung.
KEINDAHAN Salzburg menggamit kehadiran pengunjung.

Di Hallstatt, segala yang indah di dunia ini ada di sini termasuk gunung yang menjulang, dipenuhi pepohon musim luruh berdaun kemerah-merahan dan kuning keemasan, tasik jernih terbentang luas, air terjun dari pergunungan, langit membiru, sungai jernih, rumah kayu tradisional atau klasik yang dibina di lereng gunung.

Semuanya bersatu di satu tempat membentuk keindahan yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Keupayaan penduduk Hallstatt menjaga rumah tradisional sangat dikagumi dengan ukiran yang menghiasi kekisi tingkap dan beranda, hampir sama dengan rumah Melayu mengingatkan kami kepada negara tercinta.

Kami susuri pesisiran tasik untuk meneroka Old Town dan Market Square yang dikeliling rumah klasik Austria yang dibina bersusun-susun mengikut ketinggian cerun atau lereng gunung dan semuanya menghadap tasik.

KAFE tertua di Salzburg iaitu Cafe Tomesseli yang menarik perhatian pelancong.
KAFE tertua di Salzburg iaitu Cafe Tomesseli yang menarik perhatian pelancong.

Rumah klasik di bahagian hadapan kebanyakannya dijadikan kedai cenderahati atau kafe sementara di bahagian belakang dibuat hotel atau kediaman penduduk.

Sungai jernih dari air terjun yang mengalir di celah-celah rumah dan pokok yang menjalar dibiarkan pada dinding rumah sebagai menambah seri.

Sinonim dengan garam, banyak cenderahati berupa garam gunung, sabun buatan tangan beraneka rupa dijual di sini.

Destinasi seterusnya kami ke Vienna yang juga ibu negara Austria.

DATARAN Herbet-Von-Karajan.
DATARAN Herbet-Von-Karajan.

Menelusuri sejarah Vienna, kami nikmati keindahan seni bina bangunan bersejarah seperti parlimen dan 'opera house' melalui Ringstrasse iaitu lingkaran jalan yang mengelilingi kota tua Vienna.

Bas berhenti di hadapan Maria Theresa Monument di tengah-tengah di antara Museum Kunsthistorisches dan Art History Museum.

Kami meneruskan perjalanan ke Hofburg Imperial Palace yang menyimpan koleksi sejarah suka duka monarki Hasburg yang institusi berajanya berakhir pada 1918.

Di dalam istana ini juga terdapat Sisi Museum iaitu muzium khas Permaisuri Elisabeth/Sisi, isteri King Franz Joseph I yang terkenal kerana kejelitaannya, personaliti menarik dan agak misteri.

AUSTRIA dipenuhi bangunan bersejarah selain alam semula jadi berwarna-warni.
AUSTRIA dipenuhi bangunan bersejarah selain alam semula jadi berwarna-warni.

Muzium ini mempamerkan kira-kira 300 koleksi peribadi seperti pakaian, puisi dan petua kecantikan. Sejarah hidupnya dari kecil, perkahwinan, penderitaan dan pembunuhannya sangat menarik untuk dikaji.

Di sini juga bebas daripada sebarang kenderaan bermotor dan hanya boleh dijelajahi dengan berjalan atau menyewa kereta kuda dikendalikan lelaki berbusana seperti pemain polo kerabat diraja Eropah.

Pekarangan Stephensplatz, iaitu gereja St Stephens yang unik dengan seni bina 'gothic' di persimpangan jalan dipenuhi orang ramai bersantai dan berbual sambil menikmati kopi.

Masa yang ada kami manfaatkan sepenuhnya meneroka keindahan dan sejarah Vienna.

Pengalaman dan memori indah sepanjang berada di Austria ini sangat berharga untuk dikenang dan menambahkan warna dalam hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 6:40 AM