PENGUNJUNG menaiki bot mengelilingi Tasik Cermin 2 bagi menyaksikan keindahan alam semula jadi
PENGUNJUNG menaiki bot mengelilingi Tasik Cermin 2 bagi menyaksikan keindahan alam semula jadi
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Sekitar lima tahun lalu, pengunjung yang mahu menikmati panorama Tasik Cermin yang menakjubkan di sini, perlu melalui jalan kuari berdebu dengan kenderaan masing-masing, seterusnya berjalan kaki ratusan meter dalam kawasan semak sebelum menemukan keindahan tasik hasil pembentukan 'dolina' atau runtuhan gua batu kapur ini.

Menyedari potensi kawasan ini sebagai antara tarikan utama ekopelancongan dan warisan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melantik Majuperak Holdings Berhad sebagai pemegang konsesi bersama rakan strategik, STG World Sdn Bhd, bagi menguruskan pembangunan infrastruktur, selain mengekalkan persekitaran semulajadi Tasik Cermin.

Hasilnya, syarikat Tasik Cermin Ipoh Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan pengoperasian sejak Ogos 2022 agresif menyediakan fasiliti awam seperti laluan jalan masuk berturap, tapak parkir, tandas, surau dan menambah baik produk pelancongan dari masa ke semasa bagi memenuhi jangkaan pengalaman dan keselesaan pelawat yang kian meningkat jumlahnya.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Awam Tasik Cermin Ipoh Sdn Bhd, Hazel Chai, kawasan itu kini ada tiga hentian utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular yang masing-masing berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai destinasi dalam Geopark Lembah Kinta.

Bagi Tasik Cermin 1, katanya, pengunjung perlu terlebih dahulu melalui Terowong Pelombong sepanjang 90 meter yang dibina pelombong pada awal 1900-an sebagai laluan ke tengah gua untuk aktiviti mengekstrak bijih besi.

"Kita mahu pelancong merasai lebih pengalaman yang meninggalkan memori, oleh itu diwujudkan aktiviti menaiki bot mengelilingi Tasik Cermin 1 dengan menyajikan pemandangan dinding gua menghijau dan permukaan tasik memukau.

"Jika pengunjung bernasib baik hadir ketika cuaca elok dan keadaan air tenang pada awal pagi dan lewat petang, mereka dapat melihat pantulan imej jelas pada permukaan tasik seakan cermin.

"Kakitangan kami terlatih sebagai pengendali bot, turut bertindak sebagai pemandu pelancong, menerangkan sejarah gua, selain menunjukkan bukti peninggalan aktiviti perlombongan bijih besi yang boleh dilihat saki bakinya di dinding gua," katanya.

TEROWONG Pelombong sepanjang 90 meter yang dibina pada
TEROWONG Pelombong sepanjang 90 meter yang dibina pada

Berdasarkan rekod pelancongan sepanjang 2023, Hazel berkata, purata jumlah pengunjung Tasik Cermin 1 adalah 45,000 sebulan dengan 8,500 daripadanya menggunakan perkhidmatan bot.

Katanya, Disember lalu, jumlah pelancong meningkat mendadak iaitu 75,000 dengan 21,500 daripadanya menggunakan perkhidmatan bot.

Katanya, Tasik Cermin 2 menawarkan pengalaman berbeza kerana pelancong dibawa menaiki bot melalui terowong digenangi air hasil aktiviti pelombong sepanjang 120 meter sebelum menemukan sebuah lagi tasik.

"Uniknya, tasik kedua ini memberikan elemen persekitaran lebih privacy kepada pengunjung yang membantu mereka menghayati percutian berasaskan alam semulajadi.

"Tasik dikelilingi litupan hutan ini memiliki 18 spesies fauna seperti kera, lotong dan kambing gunung yang menjadikan kawasan berbukit sekitar tasik berkenaan sebagai habitat.

"Manakala Gua Mulut Ular sebenarnya gua batu kapur yang laluan di dalamnya terbentuk secara semula jadi disebabkan titisan dan laluan air hingga menyerupai bentuk tekak ular, bagaimana pun ibu bapa tidak perlu risau kerana dipastikan tiada ular dan kawasan ini mesra kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, Pembantu Kanan Operasi Tasik Cermin Ipoh Sdn Bhd, Muhammad Luqman Azli berkata, pihaknya dalam fasa membina Pony Town, Rocky Walk dan spot sukan mendaki bukit sebagai tarikan baharu di Tasik Cermin bagi menggamit lebih ramai pengunjung, sekali gus menyahut seruan kerajaan negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.

Geopark Lembah Kinta adalah salah satu segmen melalui flagship Ekonomi Pengalaman dalam agenda pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad yang diterajui Pejabat Daerah dan Tanah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Taman Negeri Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:50 PM