SUASANA lorong yang usang, namun penuh sejarah tersendiri.
SUASANA lorong yang usang, namun penuh sejarah tersendiri.
Nurul Sabrina Jamali


CONCUBINE Lane atau turut dikenali sebagai Lorong Gundik sebenarnya adalah rumah warisan tinggalan pendatang Cina yang wujud pada 1908.

Dahulunya lorong itu dikatakan terkenal sebagai pusat perjudian, menghisap candu dan pelacuran. Malah, ada juga 'taikun-taikun' Cina yang menyimpan gundik atau perempuan simpanan di situ.

Walaupun dipanggil lorong dan kelihatan usang, namun ia adalah jalan utama yang digunakan suatu ketika dahulu sebelum kereta wujud di negara ini.

Berusia lebih daripada 125 tahun dan terletak di Lorong Panglima, Ipoh, Perak ia sering menjadi lokasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara bergambar serta berswafoto.

Meskipun hanya satu lorong kecil yang panjangnya kira-kira 100 meter, namun ia membuatkan penulis dan beberapa rakan terpesona ketika pertama kali menjejak kaki ke sana biarpun keadaan lokasi itu sendiri yang suram, tetapi unik.

Penulis mengakui kagum melihat keindahan lorong gelap dipenuhi akar kayu yang menjalar dan sebahagian strukturnya adalah peninggalan pengaruh seni bina Cina yang masih utuh.

Bukan sahaja menempatkan pelbagai kedai cenderahati, malah ada banyak kafe unik dan kedai pakaian aksesori yang pastinya memukau pandangan pengunjung.

Sepanjang melalui lorong itu, mata tidak terlepas pandang dinding yang dihiasi dengan mural dengan membawa maksud tersendiri.

Menambahkan keunikan, lorong itu turut dipenuhi payung hiasan warna-warni yang pastinya mewujudkan unsur kontra dalam lorong berkenaan dan membawa pengunjung bagaikan melangkah ke dunia berbeza.

CONCUBINE Lane yang wujud sejak 1908.
CONCUBINE Lane yang wujud sejak 1908.

KUIH titisan hujan mempunyai rasa unik.
KUIH titisan hujan mempunyai rasa unik.

Bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah Concubine Lane itu juga diangkat sebagai Jejak Warisan Ipoh oleh kerajaan Perak.

Menariknya, seperti yang penulis nyatakan tadi, di sana ada pelbagai kedai menjual pakaian, aksesori, cenderahati dan makanan yang menjadi identiti Concubine Lane itu sendiri.

Tidak hairan apabila ada pengunjung yang sanggup datang dari jauh semata-mata mencari makanan dan kafe unik di situ.

Rakan penulis, Nurul Tasha Zuraimi, 23, yang turut sama berkunjung ke situ berkongsi pengalaman pertamanya menyusuri Concubine Lane.

Menurutnya, dia teruja dalam masa sama agak terkejut apabila melihat keadaan struktur seni bina usang yang ada di lorong itu.

"Bagi saya lorong itu memiliki suasana yang klasik dan terasa berada di zaman ketika ia dibangunkan dengan maju.

"Aura peniaga yang menjual secara berhadapan juga dapat dilihat mereka saling berinteraksi antara satu sama lain dengan begitu akrab.

"Tambahan pula, saya juga berkesempatan merasakan makanan unik yang jarang dijumpai di tempat lain," katanya.

Antara makanan yang ada di lorong itu adalah kuih titisan hujan yang berasal dari Jepun.

Menariknya pencuci mulut dari negara matahari terbit ini dipercayai mempunyai kalori yang rendah dan apabila digigit terasa seperti 'makan' air hujan.

SUASANA kafe yang diinspirasikan daripada filem Harry Potter.
SUASANA kafe yang diinspirasikan daripada filem Harry Potter.

PENGUNJUNG mengenakan gaya Harry Potter.
PENGUNJUNG mengenakan gaya Harry Potter.

Pada masa sama, penulis dan rakan turut mencuba Roti Bakar Pelangi KUMA yang menyelerakan dengan keju mozarella cair di dalamnya.

Roti itu sangat rangup dengan gabungan tekstur keju warna-warni yang boleh ditarik hingga satu meter panjang membuatkan rasanya sungguh istimewa.

Tidak sah jika ke lorong itu jika tidak mencuba ais kepal yang melegakan tekak tatkala penat berjalan lebih-lebih lagi apabila cuaca panas.

Istimewanya pelanggan boleh meminta tiga pilihan perisa berbeza seperti sarsi, sirap, asam boi, limau, anggur, pandan dan tembikai susu.

Bagi seorang lagi rakan penulis, Ahmad Shazarul Ahmad Khalil, 19, ais kepal itu dihidang bersama sebatang lidi dan dibungkus dengan kertas minyak bagi mengelakkan ia cepat cair.

Tidak ketinggalan, ada juga sebuah kafe dinamakan Platform 9 1/2 yang diinspirasikan daripada filem terkenal Harry Potter.

Pelanggan boleh merasai suasana kedai yang seperti berada dalam filem itu dengan memakai kostum ala Harry Potter berserta tongkat dan penyapu ajaibnya.

Enggan balik dengan tangan kosong mendorong penulis membeli cenderahati berbentuk gelang bersama rakan-rakan sebagai tanda kenang-kenangan menjejak kaki di Concubine Lane.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:00 AM