SUASANA bersih, tenang dan damai di Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA
SUASANA bersih, tenang dan damai di Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Langat: Bidikan lensa kamera seorang jurugambar profesional merakam keindahan panorama di tengah-tengah hutan bakau yang berusia ratusan tahun, memecah keheningan suasana petang Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang.

Berlatar belakangkan kedamaian Sungai Langat yang mengalir tenang di hujung taman, disusuli bunyi riuh kicauan pelbagai spesies burung berterbangan dan sesekali hinggap di dahan pokok bakau, pastinya menambah keasyikan kepada peminat burung serta pencinta alam.

Di satu sudut, kelihatan sekumpulan pengunjung pelbagai peringkat umur melakukan aktiviti jungle trekking, merentasi titian yang diperbuat daripada susunan kayu Resak, sesekali berhenti melihat tumbuh-tumbuhan yang hidup subur melata di kawasan paya ini.

Tidak hairanlah, faktor alam semula jadi menjadikan taman rekreasi ini tumpuan utama untuk mereka yang ingin menghayati permai hutan bakau juga golongan anak muda yang gemarkan 'berootd' (memperaga dan merakam pakaian yang dikenakan pada hari itu OOTD (Outfit of The Day).

"Memang begini keadaannya setiap hujung minggu. Bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk kampung Sijangkang beriadah tetapi juga tumpuan orang luar yang gemarkan aktiviti lasak termasuk jungle trekking .

Tidak kurang juga pasangan pengantin yang datang untuk bergambar," kata Ketua Komuniti Kampung Sijangkang, Mohd Suhaimi Sanusi.

Komuniti Kampung Sijangkang ini secara asasnya ditubuhkan atas inisiatif sekumpulan 15 orang penduduk kampung ini dengan diketuai Mohd Suhaimi yang bekerja sebagai peniaga kecil, bagi memelihara kebersihan kawasan sekitar kampung termasuk kawasan hutan bakau.

Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang ini terletak kira-kira dua kilometer (km) di hujung pinggir Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang dan lebih kurang 12km dari arah Klang ke Banting di Kuala Langat, mula dibuka kepada umum sejak penghujung 2015.

Tarikan taman ini bukan setakat keunikan pelbagai pokok bakau yang melebihi 15 jenis mahupun khazanah flora dan fauna, tetapi juga titian diperbuat daripada susunan kayu sepanjang 1.8 kilometer yang memudahkan pengunjung menerokai keindahan panorama hutan bakau tanpa kaki dicemari selut.

PENDUDUK kampung yang juga sukarelawan menanam anak pokok bakau di Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA
PENDUDUK kampung yang juga sukarelawan menanam anak pokok bakau di Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA

Pengiktirafan antarabangsa dan tempatan

Tidak sia-sia penat jerih hampir tujuh tahun berjaya mengubah kawasan yang sebelumnya 'kotor dan busuk' kini menjadi taman rekreasi hutan bakau yang memberi manfaat kepada semua termasuk kelestarian alam dan meraih pelbagai pengiktirafan sama ada kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pernah merangkul anugerah Friends of River Negeri Selangor daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Green Initiative Awards: Sijangkang Mangrove Edu-Recreation Park - From Wasteland to Wanderland daripada MPKL sebagai pemenang platinum dalam kategori taman awam luaran serta pengiktirafan antarabangsa, Japan-Asean Integration Fund (JAIF) dan Institute of Global Environment Strategies (IGES).

Daripada 'wasteland' ke 'wetland'

Melihat kecantikan alam di sini, mungkin sukar dipercayai kawasan ini sebelumnya hutan bakau terbiar yang langsung tidak dipedulikan.

Malah, dengan kedudukannya di hujung kampung menyebabkan banyak pihak mengambil kesempatan menjadikannya tempat pembuangan sampah haram.

Lokasi kawasan berkeluasan 24 hektar terletak di bahagian barat daya Selangor yang sunyi tanpa sebarang penempatan dan hanya sesekali dilalui pekerja kebun kelapa sawit berdekatan serta mereka yang ingin memancing di muara Sungai Langat, sekali gus memudahkan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati.

Isu sampah semakin memburuk dan serius sejak awal 2015 apabila kawasan ini menjadi tempat pembuangan sisa penduduk sekitar Sijangkang, selain sisa industri pembinaan.

"Di kampung ini, tidak ada sistem pengurusan buang sampah seperti di bandar, jadi kebanyakannya sama ada ditanam di sekitar kawasan rumah atau dibakar, selain ada juga dibuang di sini sebab kawasannya terletak di hujung kampung.

"Timbunan sampah tidaklah setinggi seperti di tapak pelupusan kerana ada orang kampung membakarnya apabila nampak semakin meninggi.

Cuma, ia tetap kotor dan busuk sebab sisa berselerakan khususnya apabila anjing, kucing, kera mencari makanan," katanya.

MOHD Suhaimi memberi taklimat kepada pengunjung di Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA
MOHD Suhaimi memberi taklimat kepada pengunjung di Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA

Beberapa kawasan longgokan sampah boleh dilihat sepanjang 6km ke hutan bakau berkenaan.

Menurut Mohd Suhaimi, keadaan itu turut membahayakan kanak-kanak dan warga emas kerana dipenuhi banyak sisa paku yang bertaburan, kayu pembinaan serta batu-bata, di samping risiko tinggi diserang anjing liar.

Beliau dan beberapa penduduk kampung beberapa kali menyuarakan permasalahan itu kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), memohon supaya diadakan sistem pengurusan sampah yang lestari selain membangkitkan isu sampah haram pembinaan.

Hasil aduan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan proses pembersihan beberapa kali namun pembuangan sampah haram masih berlaku disebabkan tiadanya pemantauan.

Melihat isu yang tidak berkesudahan ini membuatkan Mohd Suhaimi yang sudah tinggal di kampung itu lebih 35 tahun dan beberapa penduduk nekad menggerakkan komuniti kampung untuk menangani masalah pembuangan sampah haram, selain isu penebangan pokok bakau secara haram semakin berleluasa.

TAMAN Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang terletak kira-kira dua kilometer di pinggir Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat. Dari Klang jauhnya lebih kurang 12 kilometer dan  dibuka kepada umum sejak penghujung tahun 2015. FOTO BERNAMA
TAMAN Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang terletak kira-kira dua kilometer di pinggir Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat. Dari Klang jauhnya lebih kurang 12 kilometer dan dibuka kepada umum sejak penghujung tahun 2015. FOTO BERNAMA

Bukan mudah

"Apabila sampah sudah terlalu banyak, tidak terkawal dan tidak dilupuskan dengan baik, ada dibawa angin tersangkut di akar pokok bakau bahkan ada juga yang sudah sampai ke Sungai Langat sehingga menjejaskan kehidupan sumber makanan di sungai.

"Tidak mahu keadaan semakin teruk, kami mula menggerakkan satu komuniti dianggotai pada awalnya hanya 15 sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan berkenaan sekitar Ogos, 2015.

Kerjasama rapat penduduk kampung dan PBT berjaya mencipta perubahan besar di situ," katanya.

Bapa kepada enam anak ini mengakui usaha memajukan kawasan berkenaan untuk dijadikan sebagai ekopelancongan tidak melalui jalan mudah kerana pelbagai rintangan termasuk pandangan sinikal penduduk kampung serta kesukaran mendapat kerjasama mereka untuk turut sama membersihkan lokasi itu.

"Namun, syukur kami mendapat kesedaran untuk memberikan sumbangan dengan cara begini kepada penduduk kampung melalui penjagaan alam sekitar bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan sihat dengan melakukan aktiviti riadah dan meningkatkan sumber ekonomi," katanya.

Masalah sampah haram akhirnya membuka pintu rezeki kepada penduduk kampung apabila hutan bakau itu kini menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara.

ANTARA flora dan fauna yang hidup di kawasan Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA
ANTARA flora dan fauna yang hidup di kawasan Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang. FOTO BERNAMA

Dikenali rekreasi pendidikan

Sejak dibuka pada akhir 2015, taman rekreasi ini menjadi tumpuan syarikat korporat khususnya pada hari minggu untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), antaranya menanam pokok bakau selain sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), biasanya pada hari bekerja untuk aktiviti pendidikan hutan bakau.

Malah, turut menjadi pilihan beberapa IPT tempatan dan luar negara melakukan kajian hutan bakau dan perkembangan positif ini menyumbang kepada impak ekonomi penduduk sehingga menarik mereka untuk turut serta menjadi sukarelawan komuniti Kampung Sijangkang.

Mahu dikenali sebagai taman rekreasi pendidikan (edu-ekopelancongan), Komuniti Kampung Sijangkang turut bekerjasama dengan beberapa IPT tempatan untuk menambah baik infrastruktur dan pengetahuan berkaitan hutan bakau yang boleh digunakan semasa aktiviti pendidikan bersama pengunjung.

"Kami memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mereka juga mempunyai beberapa makmal di sini.

"Misalnya, kami bekerjasama dengan UPM dan Jabatan Perhutanan untuk membangunkan kod bar yang diletakkan pada pokok bakau bagi membolehkan pengunjung mengenal jenis pepohon hijau di sini dengan hanya mengimbas kod bar itu menggunakan telefon pintar mereka," katanya.

Perkembangan positif ini menarik minat lebih ramai penduduk kampung untuk turut serta dalam Komuniti Kampung Sijangkang melakukan kerja pembersihan dan pemantauan untuk aktiviti sampah haram, selain menjadi pemandu pelancong menerangkan kepentingan penjagaan hutan bakau kepada pengunjung.

Beberapa kemudahan dan aktiviti disediakan termasuk sukan desa, tapak perkhemahan, mencari siput di hutan bakau, memancing (atas permintaan) selain jungle trekking dan bergambar yang boleh dilakukan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:01 AM