LEMBAH Danum Hutan Simpan Kelas 1 kaya dengan pelbagai flora dan fauna.
LEMBAH Danum Hutan Simpan Kelas 1 kaya dengan pelbagai flora dan fauna.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SYURGA untuk pencinta alam sekitar.

Keindahan panorama alam yang disajikan di Lembah Danum, Lahad Datu, Sabah, semakin menjadi sebutan.

Biarpun terletak jauh ke kawasan pedalaman iaitu 80 kilometer (km) dari pekan Lahad Datu namun Lembah Danum adalah pilihan yang tepat untuk pencinta flora dan fauna.

Ia kini menjadi antara lokasi pelancongan yang harus dikunjungi jika berkunjung ke negeri di bawah bayu itu.

Lembah Danum adalah kawasan konservasi tadahan luas yang juga habitat kepada badak sumbu Sumatera, gajah Asia, harimau dahan, kera bangkatan, Orang Utan, ungka, kancil dan harimau bintang.

Selain itu, terdapat ribuan spesies serangga dan 300 spesies burung direkodkan di kawasan berkenaan selain ia antara destinasi yang diakui mempunyai ekosistem antara paling kompleks di dunia.

Lembah Danum terletak jauh di dalam hutan hujan tropika dara yang juga kawasan Hutan Dipterokarp Pamah.

Kawasan Konservasi Lembah Danum yang berkeluasan 43,800 hektar (438 km persegi) itu adalah Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.

LOKASI yang sering menjadi  tumpuan pelancong  dalam dan luar negara.
LOKASI yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

PANORAMA indah di sekitar Lembah Danum.
PANORAMA indah di sekitar Lembah Danum.

Bandar yang terdekat, Lahad Datu iaitu kira-kira tiga jam perjalanan melalui jalan pembalakan dan jalan raya.

Jika berkunjung ke Lembah Danum, jangan ketinggalan untuk mencuba laluan titi gantung yang popular sepanjang 100 meter.

Titi gantung di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan itu sememangnya menjadi pilihan utama pengunjung sama ada pelancong tempatan atau pun dari luar negara.

Perjalanan di titi gantung itu bermula pada ketinggian 35 meter (m) merentasi Sungai Danum pada jarak 50 m pertama.

Ketinggian titi gantung itu meningkat kepada 40 m pada laluan 50 m kedua yang membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat Hutan Simpan Segama Malua.

Lebih menarik di pertengahan laluan, pengunjung perlu mendaki pokok balak yang dikatakan berusia lebih 100 tahun selain turut dilengkapi tangga besi setinggi lima meter.

Tidak perlu bimbang kerana ia menepati ciri-ciri keselamatan ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Apapun, pemandangan indah dari atas titi gantung itu sememangnya sukar untuk dibayangkan dengan kata-kata dan buangkan perasaan gayat seketika untuk menikmati keindahan ciptaan yang Esa.

Selain itu, pengunjung yang datang ke Lembah Danum berpeluang menginap di ekoresort yang pertama di Sabah iaitu Borneo Rainforest Lodge (BRL).

DVFC diwujudkan bagi menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan alam semula jadi dan rekreasi hutan tanah pamah.
DVFC diwujudkan bagi menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan alam semula jadi dan rekreasi hutan tanah pamah.

SYURGA untuk pencinta alam sekitar.
SYURGA untuk pencinta alam sekitar.

SPESIES fauna unik yang boleh ditemui di Kawasan Konservasi Lembah Danum.
SPESIES fauna unik yang boleh ditemui di Kawasan Konservasi Lembah Danum.

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada pengunjung antaranya menjejaki laluan trek dalam hutan, mandi di sungai, memerhati burung dan meninjau hutan pada sebelah malam.

Jika berani, pengunjung juga boleh melawat kawasan perkuburan Orang Asli siap dengan keranda kayu belian.

Sementara itu, inisiatif kerajaan negeri turut mewujudkan Pusat Luar Lembah Danum (DVFC) di kawasan terbabit bagi menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan alam semula jadi dan rekreasi hutan tanah pamah yang belum terusik.

Ia dikendalikan Kumpulan Yayasan Sabah di bawah naungan Jawatankuasa Pengurusan yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sabah dan agensi lain.

Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai flora dan fauna di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, termasuk spesies badak Sumatera yang berhadapan dengan kepupusan yang menjadikan hutan berkenaan sebagai habitatnya.

Jadi, tunggu apa lagi? Jangan ketinggalan masukkan Lembah Danum dalam senarai tempat yang anda mahu kunjungi selepas sekatan perjalanan rentas negeri ditarik balik kelak!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:00 AM