RUANG luas untuk majlis rewang bersama keluarga.
RUANG luas untuk majlis rewang bersama keluarga.
Nor Hairulnizam Wahid


TIDAK dinafikan banyak destinasi percutian yang menyajikan kedamaian suasana desa, sekali gus mengimbau nostalgia zaman dahulu yang pastinya segar dalam ingatan.

Begitu pun, tidak semua menawarkan gaya hidup dan kemandirian seperti di desa.

Pengisian itu yang cuba ditampilkan dengan sebaiknya oleh Dusun Suku Abad yang terletak di Bukit Cherakah, Shah Alam, Selangor ini.

Semuanya bermula apabila Mohd Amin Abdullah, 47, menyedari bahawa generasi kini tidak lagi mengenali jenis pokok yang ada di dusun, meskipun buahnya sering mereka nikmati.

"Saya ingatkan hanya anak saya yang tidak tahu, tetapi apabila saya membawa pelajar dari sekolah berdekatan mereka juga mengalami masalah sama. Mereka tidak kenal pokok durian, rambutan, duku dan langsat," katanya yang akhirnya mengambil keputusan membuka Dusun Suku Abad pada Julai 2019.

Uniknya nama Dusun Suku Abad dipilih disebabkan nama yang diberi selepas pertukaran alamat mengundi, yang menurut beliau turut menggambarkan kawasan berkenaan yang baru saja dibuka.

PENGINAPAN unik menjanjikan pengalaman berbeza.
PENGINAPAN unik menjanjikan pengalaman berbeza.

"Ia juga melambangkan aktiviti kampung yang ingin kita perkenalkan kepada generasi muda ini," kata lulusan akauntan itu.

Menurut Mohd Amin, di sebalik pelbagai pendidikan yang dipelajari di sekolah, kebanyakan bagaikan terasing daripada hakikat kehidupan, gagal menguasai kemahiran hidup.

"Apabila kita buat aktiviti berkhemah dan memancing, jelas sekali mereka tiada kemahiran asas lalu kami menjuruskan untuk menjadikan tempat ini sebagai tempat di mana ibu bapa boleh menghubungkan kembali anak mereka dengan cara kehidupan sebenar.

"Sekiranya berlaku 'malapetaka,' sekurang-kurangnya anak kita tahu bagaimana untuk hidup berdikari,"katanya.

Menjelaskan lagi mengenai perkara itu, Mohd Amin mengakui betapa pentingnya mencipta bekalan makanan yang mudah iaitu ubi kayu yang menurutnya lebih mudah diusahakan berbanding gandum dan padi.

Menggunakan konsep 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai, ubi kayu boleh dinikmati selepas tiga bulan tanpa perlukan penjagaan rapi termasuk baja.

Menurutnya jika ditanam dan dituai secara bergilir, Ia boleh menampung keperluan sesebuah keluarga.

PENGALAMAN dikejar angsa pasti memberi kenangan.
PENGALAMAN dikejar angsa pasti memberi kenangan.

"Namun di sini, jika anak ingin makan ubi kayu, kita akan berikan parang dan cangkul kepada si bapa untuk membantu anak mereka mengorek dan menanam ubi, belajar mengupas kulit, menyalakan api dan merebus ubi," katanya yang kembali menerima tetamu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jika mereka ingin makan ubi dengan kelapa, mereka perlu mendapatkan kelapa daripada pokok, kupas dan belah kelapa sebelum memarutnya menggunakan kukur.

"Pengunjung juga diajar bagaimana untuk mendapatkan ikan yang dibela di kolam bermula daripada mencari umpan, mengikat mata kail, membuat joran sebelum menyiang ikan, menghidupkan unggun api dan membakar sebelum menikmatinya.

"Pengalaman itu memberikan mereka kitaran yang lengkap, bagaimana mendapatkan makanan.

"Kita bukan mahu mereka menjadi petani atau nelayan, tetapi mahu mereka mempunyai idea, bagaimana untuk memanfaatkan sumber di sekeliling dan secara tidak langsung ia memupuk aktiviti kekeluargaan dalam suasana kampung," katanya yang turut menyediakan aktiviti menggagau ikan.

Ternyata, percutian dan nostalgia pengalaman hidup seperti kampung itu, mendorong pengunjung bertandang ke Dusun Suku Abad bersama keluarga masing-masing.

Dusun Suku Abad turut menyediakan ruang untuk mengadakan kenduri keluarga di mana mereka boleh menjalankan aktiviti merewang sebelum menikmati juadah yang dimasak sesama mereka.

"Kita dapat merasai suasana merewang seperti di kampung, pengunjung bawa anak ke sini dan menyembelih ayam sendiri

"Ada keluarga yang datang, mencari kambing supaya mereka boleh sembelih, melapah dan memasaknya di sini. Secara tidak langsung ia memupuk semangat keakraban seisi keluarga," katanya yang menyediakan platform terbaik mengadakan aktivti berkenaan.

MOHD Amin bersama rusa jinak yang dibela di Dusun Suku Abad.
MOHD Amin bersama rusa jinak yang dibela di Dusun Suku Abad.

Selain itu, pelbagai aktiviti fizikal antaranya flying fox, berakit dan memanah ditawarkan. Permainan zaman dahulu seperti capteh, kaki tempurung, selipar gajah dan baling tin yang pastinya mengimbau nostalgia.

Tidak ketinggalan, pelbagai terapi haiwan seperti terapi ikan, ayam dan rusa jinak yang boleh dibelai pengunjung jika.

"Jika tidak pernah dikejar angsa, pengalaman dikejar angsa di sini, pastinya sesuatu yang istimewa,"katanya.

Menepati namanya, Dusun Suku Abad menghimpunkan lebih 100 jenis pokok, 22 daripadanya boleh dimakan daunnya iaitu dijadikan ulam, yang menurut beliau adalah sumber makanan pertama apabila berlaku bencana.

Akuinya juga, apabila melalui fasa Covid-19, ramai ibu bapa membuka mata di mana selama ini kita mempunyai sistem pendidikan yang formal tetapi kekurangan pendidikan alternatif supaya anak-anak mempunyai pengalaman hidup yang praktikal.

Tidak keterlaluan, jika Dusun Suku Abad ini boleh disifatkan sebagai 'sekolah kehidupan', tetapi dalam suasana yang lebih santai dan mesra keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 6:25 AM