RUMAH Tradisional Lotud.
RUMAH Tradisional Lotud.
Abd Razak Hussin


SALAH satu destinasi kunjungan ke Sabah pada awal Mac lalu ialah ke Rumah Tradisional Lotud yang diusahakan Salome Dominus @ Nur Hayati Abdullah, sahabat lama penulis.

Pada 1993, kami menyertai Program Persahabatan Malaysia - Jepun Abad ke-21 anjuran bersama Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai salah satu program di bawah Dasar Pandang ke Timur. Saya dalam kumpulan pegawai Asean dan Salome dalam kumpulan pemimpin belia.

Sekembalinya daripada program itu, kami didorong menganggotai Persatuan Alumni Program Persahabatan Malaysia-Jepun Abad ke-21 (Pamaja).

Sejak itu, kami beberapa kali bertemu dalam program Pamaja. Beberapa tahun kebelakangan, saya mengetahui Salome, orang Dusun dari suku Lotud dengan melakukan sesuatu yang amat bermakna kepada budaya kaumnya.

Saya mengagumi inisiatifnya yang bermula secara bersendirian untuk membina sebuah rumah tradisional Lotud, salah satu suku etnik Dusun di Kampung Sawah Tuaran.

Ternyata pengalaman dan pengamatannya terhadap pelestarian budaya dan kesenian Jepun mempengaruhi jiwanya untuk melakukan sesuatu bagi melestarikan warisan adat, budaya, seni dan nilai sukunya sendiri yang pada pandangannya tiada usaha jitu dilakukan.

Atas kerisauannya, beliau mengambil keputusan bersara awal pada penghujung 2012 daripada perkhidmatan lebih 30 tahun dengan salah satu syarikat berkaitan kerajaan.

Apatah lagi sekitar 2013, beliau terbaca sebuah blog seorang pelancong Eropah yang mencatatkan bahawa dia tidak menemui sebuah pun rumah tradisi Lotud di sepanjang pengembaraannya di Tuaran.

Bagaikan jentikan berbisa, Salome berasa tercabar dan berazam untuk membina sebuah rumah tradisi Lotud di kampung halamannya. Beliau menganggap misi ini adalah amanah peribadi terhadap suku kaum sendiri.

Bermodalkan wang yang diperoleh sempena persaraan, beliau bertekad menjelmakan impiannya. Beliau akhirnya menemui Anthony Salag @ Johnny, tukang yang mempunyai kepakaran membina rumah tradisional.

Dalam tempoh tiga bulan berdiri sebuah rumah tradisional suku Lotud yang lengkap dengan kos menjangkau RM100,000. Rumah yang didirikan atas tanah keluarga, dikelilingi sawah padi yang terbentang dan Gunung Kinabalu di kejauhan, bukan sahaja menjadi mercu tanda Kampung Sawah, malah tarikan pelancongan baharu bagi Tuaran, apatah lagi kedudukannya hanya satu kilometer dari pekan.

Kesungguhan Salome mempromosi kelestarian identiti Dusun suku Lotud, membuka mata banyak pihak. Ini termasuk kesediaan Presiden United Sabah Dusun Association juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Ewon Ebindatang merasmikan pembukaan Rumah Tradisional Lotud itu pada 6 Disember 2014.

TARIKAN pelancong di Tuaran, Sabah hasil inisiatif Salome.
TARIKAN pelancong di Tuaran, Sabah hasil inisiatif Salome.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan kekagumannya dengan inisiatif Salome dan menegaskan bahawa kelestarian budaya, nilai dan identiti etnik menjadi tanggungjawab etnik itu sendiri. Tanpa kesedaran dan langkah-langkah konkrit, lama-kelamaan jati diri etnik itu pupus dan hanya tercatat dalam sejarah.

Memang wajar kalau saya katakan, Rumah Tradisional Lotud itu adalah mercu tanda berpendidikan. Menurut Salome yang juga aktivis dan pejuang budaya, rumah itu hanya sebuah simbol.

Berdirinya rumah itu adalah pengungkapan adat, budaya, seni dan identiti Lotud. Seni bina dan reka bentuknya mempunyai naratif yang bermakna.

Misalnya, bahan binaan diperbuat daripada kayu, buluh, rotan dan daun nipah adalah lambang alam yang berlangsung secara berimbang, mencipta keharmonian dan kenyamanan dalam kehidupan.

Ketinggian 10 kaki, tiang rumah dari aras tanah ke lantai adalah langkah mengelakkan dinaiki air banjir dan faktor keselamatan daripada gangguan musuh serta binatang buas.

Bilik tingkat atas pula adalah untuk menempatkan anak perempuan, sekali gus membuktikan suku Lotud sangat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan anak perempuan mereka.

Sinungkiap pula adalah tingkap yang dibina di bahagian atap rumah, bertujuan melancarkan pengudaraan dan menyejukkan keseluruhan ruang dalam rumah.

SALOME lengkap berpakaian tradisional Lotud.
SALOME lengkap berpakaian tradisional Lotud.

Ponintingan pula adalah ruang yang dibina antara atas tingkap dengan atap dijadikan tempat simpanan barang keperluan seperti tikar, bantal, selimut, pakaian dan barang dapur.

Satu lagi ruang yang menarik adalah tilud. Pada asasnya, tilud yang dibina di bahagian siling berfungsi sebagai stor menyimpan hasil pertanian khususnya padi.

Namun pada era tradisi silam, seorang pahlawan yang memenangi pertarungan, memenggal kepala musuhnya, membawanya pulang dan meletakkan di ruang tilud sebagai lambang keperwiraan, keberanian dan kekentalan semangat Lotud yang perlu tersemai dalam jiwa generasi muda.

Bagi Salome, melangkah ke rumah Lotudnya bererti suku Lotud perlu menyedari banyak sekali warisan yang perlu terus dipelajari dan dilestarikan.

Kesenian pakaian, muzik, lagu, masakan dan makanan, seni bina, adat istiadat, bahasa dan nilai suku Lotud perlu dihayati sepenuhnya.

Namun, muncul kebimbangan berterusan dalam jiwanya. Melihat kenyataan hari ini, ramai anak muda Lotud yang sudah tidak lagi boleh berbahasa sukunya apabila berinteraksi sesama mereka.

Lantas muncul persoalan dalam dirinya, tanggungjawab siapa untuk melestarikan ciri kelangsungan suku Lotud? Malah, beliau percaya permasalahan sama turut dihadapi pelbagai suku etnik bukan sahaja di Sabah bahkan di seluruh negara.

Baginya walaupun pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah terus membantunya sedikit sebanyak dalam menyelenggara rumah Lotudnya, namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan kebudayaan dan kesenian perlu dirangsang dan diperkasakan dengan program mendidik masyarakat untuk mempelajari, menghayati dan melestari nilai-nilai warisan etniknya.

Hanya dengan pendekatan sedemikian, kepelbagaian budaya Malaysia dapat dipertahankan dan mengekalkan ungkapan mengenali Asia, menerusi mengenali kepelbagaian di Malaysia.

Justeru, kerisauan mengenai siapa yang nanti meneruskan inisiatif ini selepasnya, Salome wirawati tidak didendang itu terus tabah merencanakan pelbagai aktiviti kreatif untuk menarik anak-anak muda dalam kerangka mendidik, menyubur dan melestarikan budaya Lotud.

Beliau ingin memunculkan lebih ramai Salome untuk kesinambungan dan kelestarian Lotud di bumi Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:00 AM