MELASTIK tin antara aktiviti boleh disertai penduduk.
MELASTIK tin antara aktiviti boleh disertai penduduk.
TARIK tali dalam sungai.
TARIK tali dalam sungai.
Nurul Husna Mahmud


Sukan rakyat mungkin tidak sepopular sukan arus perdana seperti bola sepak, hoki dan sebagainya.

Namun ia antara aktiviti riadah yang boleh menggamit perhatian jika dianjurkan secara besar-besaran.

Masyarakat setempat bukan sahaja dapat menyertai aktiviti yang lebih sihat menerusi sukan rakyat, malah mereka juga dapat menjalinkan silaturahim lebih erat antara satu sama lain.

Temasya sukan rakyat anjuran bersama Pemuda Pemudi Kampung Trosor dan Persatuan Anak Rantau Trosor di kawasan sungai Kampung Changkat Nering Trosor, Sungai Siput, Perak baru-baru ini, nyata mengimbau kemeriahan suasana di kampung.

Menurut Pengarah program terbabit Anuar Mohd Rashid, temasya yang dinamakan Sukan Tradisional Kampung dan Memancing itu berjaya menarik hampir 600 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat untuk memeriahkan acara terbabit.

Kata Anuar, acara itu adalah kali kedua selepas program denai sungai yang pernah dianjurkan Ahli Parlimen Sungai Siput, Datuk Zulkifli Harun selaku Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam (INTAP) Negeri Perak tahun lalu.

"Fokus utama adalah mempopularkan kembali sukaneka atau sukan tradisional yang pernah popular di zaman dahulu dalam kalangan orang kampung.

"Acara pukul bantal, tangkap itik dalam bendang, tarik tali antara aktiviti sukan yang cukup nostalgia.

PUKUL bantal aktiviti kegemaran orang kampung.
PUKUL bantal aktiviti kegemaran orang kampung.

"Tidak hanya itu, temasya sukan ini juga menghidupkan kemeriahan cara orang kampung dulu-dulu seperti sarapan bersama dan kenduri kampung turut dijalankan.

"Pada anak rantau kampung Trosor yang balik dan turut serta bersama-sama belia kampung, ini juga sesuatu pendekatan muhibah.

"Tidak mustahil jika acara ini dianjurkan secara tahunan, ia dapat perhatian pihak luar dengan menarik lebih banyak penyertaan sekali gus menjadi produk pelancongan kampung yang baik," katanya.

Program sukan tradisi itu juga berlangsung padat sehingga ke malam bagi acara memancing pula.

"Saya yang juga anak jati kampung berharap generasi baru juga didedahkan dengan elemen sukan tradisional supaya mereka dapat mengenal dan merasai keseronokan permainan orang dahulu.

"Selain itu, penganjuran acara ini dapat diadakan pada skala lebih besar dengan memberi peluang lebih ramai orang menyertainya," katanya.

MEMANCING antara pengisian menarik.
MEMANCING antara pengisian menarik.

Bagi peserta belia kampung, Mohd Yuszaifi Mohd Yusri, 23, dia teruja dapat menyertai pelbagai aktiviti sukan yang dianjurkan.

"Pengalaman saya dalam aktiviti sukan pukul bantal adalah sukan yang paling disukai penduduk kampung.

"Walaupun ia membabitkan perlawanan dua orang saling memukul untuk menjatuhkan lawan dan pelbagai keletah dan usikan dilakukan oleh peserta menjadikan acara itu tarikan untuk ditonton.

"Paling unik bagi saya ialah acara tarik tali kerana selalunya dilakukan di atas padang atau tanah lapang. Tetapi kali ini penganjur lakukan aktiviti itu di dalam air," katanya.

Percubaan penganjur itu dilihat memberi keunikan kepada slot aktiviti sukan air dan mengurangkan kemungkinan kecederaan berlaku apabila acara tarik tali dilakukan di dalam air.

TANGKAP itik aktiviti kanak-kanak.
TANGKAP itik aktiviti kanak-kanak.

Sementara itu, peserta pertandingan memasak, Intan Zarina Zainal Abidin, 45, berkata, temasya sukan tradisional itu tidak hanya menyajikan aktiviti fizikal, ada juga slot menguji kemahiran sesuai untuk disertai golongan wanita.

"Sukan rakyat tidak semestinya senaman atau aktiviti fizikal semata-mata. Terdapat juga cabaran memasak ala kampung dianjurkan.

"Kali ini pertandingan memasak memerlukan peserta menyediakan sajian berasaskan ubi atau pisang. Saya memilih untuk menyediakan sajian wajik ubi.

"Proses penyediaannya remeh di mana ubi perlu dipotong nipis, direndam semalaman, air masamnya dibuang, kemudian dikukus dan dimasak pula dengan air gula.

"Resipi ini cadangan kakak ipar yang berkongsi resipi orang lama menyediakan wajik ubi. Sajian itu seakan-akan pupus dan saya ambil kesempatan untuk perkenalkan kembali hidangan manisan terbabit," katanya.

Reaksi diterima Intan Zarina, baik dari juri hinggalah ke pengunjung yang menghadiri temasya itu, ramai tidak pernah menjamah hidangan itu lagi.

"Orang lama kampung dalam usia antara 50-an hingga 60-an gembira apabila dapat lihat balik sajian lama ini.

"Manakala orang muda pula kebanyakannya tidak tahu apa itu wajik ubi kerana wajik pulut juga kini sukar ditemui melainkan dalam majlis kenduri kampung sahaja," katanya.

Dia berharap untuk tahun akan datang lebih banyak hidangan kampung semakin pupus dapat dihidupkan kembali dalam program sebegini.

RESIPI wajik ubi disediakan Intan Zarina.
RESIPI wajik ubi disediakan Intan Zarina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 6:31 AM