Nurul Husna Mahmud


Tidak ramai memelihara angsa kerana khuatir dengan tabiatnya dilihat agresif selain rasa terganggu dengan bunyinya yang agak bising.

Sikap haiwan yang sangat 'menjaga kawasan' itu menyebabkan ramai beranggapan angsa bukanlah haiwan sesuai untuk dijadikan peliharaan terutama apabila memiliki anak kecil.

Apatah lagi haiwan ini gemar menyudu dan boleh mencederakan sesiapa sahaja terutama apabila ia rasa terancaman dengan kehadiran orang asing.

Bagaimanapun, suri rumah dari Felda Selasih, Besut, Terengganu Zuraida Mohamad Azami, 30, melihat karakter itu sebagai satu kelebihan untuk menjadikan angsa sebagai haiwan peliharaan.

Kata Zuraida, dia memelihara angsa kerana sukakan 'bunyi riuh' haiwan itu yang memeriahkan suasana di sekitar kediamannya.

"Satu kepuasan apabila mendengar bunyi angsa setiap hari seolah-olah ia satu irama yang menenangkan.

"Mungkin bagi orang lain bunyi angsa yang kuat itu 'memekak,' tapi bagi saya ia mampu menghilangkan segala rasa penat dan stres.

"Pada saya bunyi bising itu juga menjadi penarik bagi angsa untuk dipelihara bagi menggantikan anjing sebagai penjaga kediaman.

"Sikapnya sangat sensitif dengan pergerakan. Apa sahaja yang melintas di depannya, ia akan berbunyi sebagai tanda amaran," katanya.

Minat Zuraida terhadap angsa juga cukup istimewa apabila sanggup membelanjakan ribuan ringgit bagi mengumpul pelbagai spesies unggas itu dengan membeli baka daripada penternak tempatan.

BERKONGSI minat yang sama, Zuraida dan suami memelihara angsa sebagai hobi. FOTO Ghazali Kori
BERKONGSI minat yang sama, Zuraida dan suami memelihara angsa sebagai hobi. FOTO Ghazali Kori

"Kebanyakan angsa ini diperoleh daripada penternak dari Kelantan. Harga setiap spesiesnya berbeza mangikut baka.

"Sebagai contoh koleksi angsa Lionhead, ada warna kelabu dan putih tetapi paling mahal

berwarna putih iaitu RM1,600 sepasang untuk saiz anak.

"Keistimewaan Lionhead ialah ada kulit yang jatuh pada leher dan sedikit mengembang pada bahagian pipi membuatkan ia tampak comel.

"Paling mahal baka angsa saya pernah beli ialah Buff Giant Golden Goose yang labuh pada bahagian perut dan matanya sepet pada RM6,800 sepasang," katanya yang mula berminat mengumpul pelbagai spesies angsa sejak tahun 2019.

Berbanding baka tempatan, kata Zuraida, saiz angsa baka luar negara besar sekali ganda.

"Angsa luar seperti baka Eropah, Toulouse, Lionhead dari China dan Buff Giant Goose mempunyai saiz besar selain beratnya boleh capai antara lapan hingga 10 kilogram bergantung kepada makanan serta suplemen diberikan.

"Ketinggian angsa ini juga kalau diukur berdasarkan kepala boleh mencecah paras pinggang orang dewasa.

ANGSA menurut arahan untuk masuk ke reban semula apabila cuaca mulaI  panas. FOTO Ghazali Kori
ANGSA menurut arahan untuk masuk ke reban semula apabila cuaca mulaI panas. FOTO Ghazali Kori

"Saya sendiri sudah tidak mampu lagi untuk dukung angsa peliharaan baka jenis ini apabila ia menjangkau usia dewasa. Angsa domestik atau spesies kampung biasanya berat sekitar 5 hingga 6 kilogram dengan makanan atau diet yang sama," katanya.

Katanya, dia pasti teruja apabila setipa kali melihat keletah manja angsa kesayangannya menguak kepak.

"Saya boleh jadi 'ralik' (leka) tengok aksi angsa. Lebih-lebih lagi apabila ia mengibas-ngibas kepak sebaik keluar dari kolam.

"Agak melucukan lagi apabila melihat angsa tidur. Ia akan 'jungkitkan' salah satu kaki dan mengiringkan kepala bagi mencari posisi selesa untuk meletakkan lehernya yang panjang. Kemudian matanya akan mula tertutup menandakan ia tidur," katanya.

Kata Zuraida lagi, penjagaan haiwan itu juga mudah kerana tidak perlu kawasan terlalu luas. Namun pastikan ada kolam untuk angsa berenang.

"Bagi memelihara angsa ini asasnya, kena ada sedikit ruang untuk kolam dan juga reban. Kolam penting kerana tempat ia bermain dan mengawan bersama pasangan.

"Kawasan reban juga tidak perlu terlalu besar memadai bagi haiwan ini berteduh dan berehat. Lebih baik juga kalau ada ruang untuk dia merayau dan bermain.

"Saya pernah jual sepasang angsa untuk pemilik yang tinggal di kawasan taman perumahan. Jadi, bergantung kepada pemiliknya untuk memanfaatkan ruang dalam kediaman masing-masing bagi memelihara angsa," katanya.

Tambah beliau, pemakanan haiwan ini juga mudah kerana selain dedak, boleh beri sayur-sayuran lain seperti sawi, kobis selain lebihan nasi semalam.

ZURAIDA tertarik membela angsa kerana sukakan bunyinya yang kuat. FOTO Ghazali Kori
ZURAIDA tertarik membela angsa kerana sukakan bunyinya yang kuat. FOTO Ghazali Kori

Bagi memastikan kesihatan angsa kesayangannya itu Zuraida, dia turut memberi vaksin kepada angsa sebaik usia haiwan itu menjangkau dua bulan.

"Meskipun angsa antara haiwan yang lasak kerana ia mudah dijaga, namun saya tidak mengambil mudah hal kesihatannya.

"Saya akan pastikan vaksin diberi seawal usia dua bul

an dan juga pemeriksaan veterinar apabila ada angsa yang sakit. Angsa seperti unggas yang lain mudah terkesan dengan wabak seperti penyakit selsema burung. Kena lebih berhati-hati jika wabak atau hawar berkait dengan unggas mula merebak," katanya.

Kata Zuraida, penyakit biasa bagi angsa ialah kaki lembik dan boleh terjadi disebabkan terdedah kepada suhu atau persekitaran sejuk.

"Walaupun angsa sifatnya suka kepada air, terdedah terlalu lama atau dibiarkan pada cuaca sejuk boleh mengakibatkan penyakit kaki lembik. Jika tidak dirawat angsa akan mati.

"Ini berlaku pada baka Black Swan. Mencabarnya untuk baka Black Swan apabila seekor mati, pasangannya akan setia dan selang beberapa minggu ia juga ikut mati," katanya.

Hayat angsa boleh mencecah 40 tahun dalam rekod yang pernah dipelihara manusia dan dalam peliharaan Zuraida, angsa kampung dimiliki sudah mencecah usia 8 tahun.

Selain angsa, Zuraida turut memiliki lebih 100 ekor haiwan peliharaan terdiri daripada pelbagai spesies itik dan ayam sebagai kepuasan diri.

"Saya membelanjakan hampir RM1,000 sebulan untuk pembelian dedak. Meskipun ia membebankan kerana saya hanyalah suri rumah sementara suami, Muhammad Azam Hadi, 33, bekerja sendiri. Saya menjual baka kepada peminat haiwan yang membantu saya untuk mengumpul spesies lain pula," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:00 AM
MEMBERI makan kepada angsa dan itik peliharaan. FOTO Ghazali Kori
MEMBERI makan kepada angsa dan itik peliharaan. FOTO Ghazali Kori