BANDAR popular di Songkhla tawar panorama indah tasik dikelilingi gunung ibarat berada di Switzerland.
BANDAR popular di Songkhla tawar panorama indah tasik dikelilingi gunung ibarat berada di Switzerland.
PENGALAMAN berbuka bersama masyarakat Muslim Pattani.
PENGALAMAN berbuka bersama masyarakat Muslim Pattani.
Adina Abdullah


PENULIS begitu teruja apabila mendengar Chana iaitu salah satu bandar dalam Wilayah Songkhla, Thailand mendapat jolokan 'Switzerland' di bumi gajah putih itu.

Difahamkan di bandar itu terdapat lokasi yang menawarkan pesona pemandangan tasik dikelilingi pergunungan membuatkan ia tular ketika pasca pandemik Covid-19.

Atas faktor panorama indah dan rona tasik seakan-akan hijau kebiruan sehingga memperlihatkan bayangan gunung dan pokok sekitarnya terhasil di permukaan tasik membuatkan nama Switzerland terkait sama.

Meskipun tidak banyak maklumat mengenai lokasi itu ditemui, penulis tekad untuk sampai ke Chana ketika perjalanan ke Pattani, baru-baru ini.

Dalam perjalanan menerusi pintu masuk sempadan Padang Besar - Thailand, penulis mendapat bantuan kenalan warga Thailand, Hassan untuk menyewa kereta.

Perjalanan dari pintu sempadan, Padang Besar, Perlis mengambil masa satu jam setengah menggunakan sistem penentu sejagat atau GPS.

Lucunya, perjalanan penulis dan seorang lagi teman sangat mencabar kerana dibawa sehingga ke pelusuk kampung termasuk menyusuri ladang tanaman sebelum sampai ke destinasi sebenar.

Kecut perut juga rasanya kerana kami tidak menjangka lokasi tarikan itu agak terpencil apatah lagi sebaik tiba, suasana tasik cukup hening tanpa kelibat seorang pun pengunjung.

PEMANDANGAN tasik yang indah di Chana, Thailand.
PEMANDANGAN tasik yang indah di Chana, Thailand.

Keadaan di lokasi tasik seakan-akan tidak terjaga kerana rumput dan denai tumbuh meliar. Tetapi dari sudut lain, keindahan kawasan tasik tampak menonjol dengan ketiadaan kerja-kerja pembangunan dan penambahan infrastruktur di kawasan itu termasuk kemudahan jalan bertar. Kawasan itu hanya diliputi jalan tanah merah.

Satu perkara di luar jangkaan penulis adalah kawasan itu sepi tanpa kunjungan penduduk tempatan berbanding khabar angin lokasi terbabit ada kalanya dipenuhi pengunjung tempatan.

Mungkin juga hari kunjungan kami bukan cuti sekolah, selain jatuh pada bulan puasa yang mana masyarakat tempatan di daerah ini rata-ratanya Muslim sedang menjalani ibadah puasa.

Itu antara pengalaman kami yang menjalani ibadah puasa sambil bercuti ke destinasi itu dan ia dirasakan 'meletihkan' kerana menempuh perjalanan jauh, selain cuaca ketika itu sangat panas.

PENULIS (kiri) bersama teman yang sertai percutian ke Pattani, Songkla Ramadan baru-baru ini.
PENULIS (kiri) bersama teman yang sertai percutian ke Pattani, Songkla Ramadan baru-baru ini.

Mujur fokus utama perjalanan ke Songkla untuk merasai pengalaman Ramadan di Masjid Utama Pattani bagi aktiviti berbuka dan bertarawih. Perancangan ke lokasi bertasik itu hanya aktiviti tambahan dalam percutian kali ini.

Suatu yang tidak kurang menarik dalam perjalanan penulis ke daerah paling selatan di negara gajah putih itu juga lawatan ke kawasan penghasilan garam atau perusahaan ladang garam di daerah itu.

Walaupun ladang yang dinamakan Salt Sweet Farm itu antara ladang terkecil berbanding lain-lain daerah yang melaksanakan perusahaan sama, namun rasa garam di kawasan itu sedikit unik.

Cumanya difahamkan pengusaha ladang garam terbabit berdepan cabaran kerana hasil berkurangan atas perubahan cuaca ekstrim dan faktor lain.

MENARIK seni bina dapat dilihat pada Masjid Kerisik.
MENARIK seni bina dapat dilihat pada Masjid Kerisik.

Kesempatan melihat kegigihan pekerja menuai hasil tidak seberapa dalam cuaca panas itu memberi keinsafan dan menerbitkan rasa syukur kerana usaha mereka membuatkan pengguna dapat menikmati keunikan garam 'manis' terbabit.

Meskipun kami berpuasa namun kami masih boleh menikmati percutian dengan aktiviti riadah yang sesuai.

Ia termasuk aktiviti di kawasan tarikan yang dinamakan Bangpu apabila kami memilih menaiki bot panjang menyusuri paya bakau rimbunan daun seperti 'gua daun.'

Pemandangan paya bakau sangat sesuai untuk mereka yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi dengan suasana berbeza berbanding percutian kawasan gunung mahupun air terjun.

BANGPU menawarkan pemandangan mendamaikan di hutan paya bakau.
BANGPU menawarkan pemandangan mendamaikan di hutan paya bakau.

Tidak sempurna juga jika tidak mengunjungi masjid jika sudah sampai ke Pattani. Suatu kesempatan dalam percutian kali ini adalah mengunjungi Masjid Kerisik.

Ia antara masjid pertama kali dibangunkan di Asia Tenggara menggunakan bata merah.

Malah, masjid ini juga antara tinggalan kesan peperangan apabila musnah beberapa kali akibat serangan kerajaan Siam dan Palembang atau kerajaan Pattani dan Siam pada 1786.

LADANG garam yang wajib dilawati ketika berada di Pattani.
LADANG garam yang wajib dilawati ketika berada di Pattani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 6:30 AM