KAWASAN batu bersusun.
KAWASAN batu bersusun.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SEBUT saja Bukit Kuari atau Bukit Matt di Rawang, Selangor mungkin ramai tidak begitu mengenali nama kawasan pendakian ini melainkan komuniti pendaki yang aktif di Lembah Klang.

Tetapi jika panorama bukit itu membabitkan 'spot' ikonik, iaitu sebahagian Lebuhraya Rawang-Serendah atau lebih dikenali dengan nama Rawang Bypass dapat dilihat pada kemuncaknya, mungkin hampir semua pendaki di Malaysia mengetahui mengenai keistimewaan lokasi 'viral' itu.

Reputasi dengan menjadikan latar belakang jambatan lebuh raya tertinggi di Malaysia itu sebagai foto latar pemandangan untuk menghiasi akaun media sosial, ia antara kepuasan nyata bagi sesiapa yang dapat menawannya.

Bagi peminat aktiviti riadah pula, 'spot' berkenaan dilihat sebagai tempat yang sesuai untuk memenuhi aktiviti pendakian lebih santai sebagai latihan sebelum menghadapi trek lebih sukar.

Menurut pembantu arkitek yang menetap di Serendah, Nur Shamim Alia Masnoor, 23, Bukit Kuari antara lokasi untuk beriadah hujung minggu kerana trek yang santai selain sesuai untuk dikunjungi bersama saudara dan kenalan perempuan.

"Saya bersama adik, Safiya Nursyahadah,17, dan rakan, Haiza Yusof, 35, memang aktif dalam aktiviti sukan mendaki sejak sebelum pandemik Covid-19 lagi. Aktiviti terhenti apabila pandemik dan lebih banyak berdiam diri di rumah.

BERGAMBAR di puncak dengan latar belakang Rawang Bypass.
BERGAMBAR di puncak dengan latar belakang Rawang Bypass.

"Sehinggalah kerajaan memberi kebenaran untuk aktiviti sosial dan rekreasi, kami memilih bukit yang selamat dan tidak jauh dari lokasi rumah sebagai pemulaan untuk aktif kembali.

"Kebetulan Taman Negeri Selangor masih banyak tidak dibuka, jadi lokasi ini yang sering menjadi tempat riadah komuniti setempat kerana dirasakan sesuai dan selamat untuk dikunjungi," katanya.

Menjelaskan mengenai pilihannya untuk mendaki Bukit Kuari, katanya perjalanan dari rumah dengan menyusuri jambatan berkembar yang juga jalan pintasan dari lokasi kediaman ke kawasan itu membuatkan tempoh pemanduan pendek iaitu kira-kira 20 minit untuk sampai.

"Dari segi trek untuk sampai ke puncak atau lokasi hentian bergambar dengan latar belakang pemandangan Rawang Bypass, ada dua laluan yang boleh dipilih pendaki.

LALUAN mendaki perlu bergantung dengan tali.
LALUAN mendaki perlu bergantung dengan tali.

"Kami memilih trek B berbanding trek A. Trek B lebih mencabar kerana laluan berbukit dan mencanak. Laluan B ini ada kawasan mendaki sempit iaitu memanjat batu yang tinggi sehingga terpaksa berpaut dengan bantuan tali.

"Tempoh masa untuk sampai mengikut langkah biasa adalah kira-kira 40 minit hingga sejam sama ada naik dan turun di laluan yang sama. Masa dipengaruhi trafik yang sesak di laluan bertali kerana tali yang sama bertukar giliran antara naik serta turun," katanya.

Nur Shamim turut menyarankan bagi anda yang pertama kali menyusuri trek berkenaan untuk membawa aksesori tambahan seperti sarung tangan bagi melindungi tangan ketika memanjat batu mahupun menggunakan tali.

"Trek di sini mudah kerana sudah ada laluan yang jelas dan tidak ada pohon besar di kawasan terbabit. Hanya lebih banyak pokok renek dan sederhana besar.

"Jadi, laluan di kebanyakan tempoh mendaki menyusuri kawasan terbuka dan panas. Bagi anda yang tidak biasa boleh bawa topi atau bekalan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi terutama ketika musim panas.

"Teduhan yang ada hanyalah di kawasan tertentu iaitu di puncak yang ada latar belakang pemandangan Rawang Bypass. Bagaimanapun, tidak boleh berada lama di situ untuk beri laluan kepada kumpulan pendaki lain selain perlu memastikan penjarakkan sosial demi keselamatan selain mencegah penularan Covid-19," katanya.

NUR Shamim di dalam terowong.
NUR Shamim di dalam terowong.

Antara lokasi lain yang menarik dan sempat Nur Shamim bergambar di laluan terbabit termasuklah lokasi batu bersusun dan terowong bawah jalan yang perlu dilalui sebelum menyambung menuju trek mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:05 AM