PEMANDANGAN indah di puncak Bukit Batu Kumbang.
PEMANDANGAN indah di puncak Bukit Batu Kumbang.
Sharifah Liza Suriani Syed Mustaffa
rencana@hmetro.com.my

Pada 27 Mac lalu, kumpulan Siput Trackerzs Adventure Club yang diasaskan penulis menganjurkan satu ekspedisi pendakian santai ke Bukit Batu Kumbang, Selangor.

Dalam ekspedisi santai ini, seramai 30 peserta termasuk lima kru mengambil bahagian.

Ekspedisi diketuai penunjuk arah/malim gunung, Asri Ahmad dengan bantuan 'sweeper', Muhammad Syamil dan dua pembantu penunjuk arah iaitu Muhammad Nur Azhani dan Muna Mohd.

Penulis sendiri yang sering bersama 'sweeper' membantu memantau peserta di barisan belakang dan 'menutup pagar.'

Istilah menutup pagar merujuk kepada memastikan 'sweeper' adalah orang terakhir dan tiada peserta ditinggalkan di belakang.

Bukit Batu Kumbang yang terletak di Hutan Simpan Hulu Langat memiliki ketinggian 675 meter juga boleh didaki dari Sungai Congkak, Hulu Langat.

Biarpun berstatus bukit, ia agak mencabar fizikal dan mental kepada pendaki baharu kerana jarak keseluruhannya dari parkir ke puncak adalah 10 kilometer (km) yang mengambil masa tiga hingga lima jam bergantung kepada pergerakan peserta.

Memandangkan penulis pernah mendaki dari Hulu Langat, untuk ekspedisi kali ini kami memilih untuk naik dari sebelah Kemensah.

PESERTA memulakan perjalanan.
PESERTA memulakan perjalanan.

Perlu diingat, sebelum mendaki bukit ini, anda perlu mendapatkan kebenaran atau permit pendakian dari Pejabat Hutan Selangor Tengah Cheras yang boleh dimohon dua minggu lebih awal.

Pendakian bermula dari parkir kereta di Kombat Zone Paintball, Kemensah jam 8 pagi selepas taklimat pendakian, senaman ringan dan bacaan doa.

Di awal pendakian, peserta perlu melalui jalan tar dan terus memasuki jalan kenderaan serba rupa bumi (ATV) sejauh empat km sebelum memasuki trek hutan.

Trek yang dilalui kenderaan ATV memang tidak rata dan tidak terlalu curam, tapi tetap terasa 'pacak-pacak' manjanya.

Selepas memasuki trek hutan, kami menuju Air Terjun Batu Hampar dengan melalui sebatang pokok tumbang. Di sini peserta perlu berhati-hati untuk melepasi batang dan dahan pokok yang tumbang merintangi trek.

SEMPAT menyejukkan badan di Air Terjun Neelofa.
SEMPAT menyejukkan badan di Air Terjun Neelofa.

Dari Air Terjun Batu Hampar, bermulalah cabaran trek memacak. Mujur ada tempat dipasang tali yang sangat membantu dalam pendakian namun penunjuk arah dan kru tetap memastikan peserta sentiasa dalam keadaan selamat.

Trek seterusnya walaupun tidak 'sepacak' trek dari Batu Hampar, tapi menaik sehingga sampai ke puncak Bukit Batu Kumbang sejauh tiga km.

Peserta pertama tiba di puncak Batu Kumbang jam 1 tengah hari sebelum disusuli peserta lain.

Oleh kerana puncak Bukit Batu Kumbang agak sempit dan berbatu, peserta perlu bergilir-gilir untuk naik ke puncak.

TREK ATV yang perlu dilalui peserta.
TREK ATV yang perlu dilalui peserta.

Pemandangan di puncak Bukit Batu Kumbang adalah bergantung kepada cuaca. Sekiranya cuaca baik anda berpeluang melihat puncak Bukit Chenuang di Hulu Langat.

Untuk kali ini, kami dihidangkan pemandangan yang sangat cantik di puncak Bukit Batu Kumbang.

Peserta tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan dengan bergambar selepas mengharungi cabaran mendaki untuk sampai ke sini.

Kebiasaannya, pendaki akan melakukan pendakian ke dua puncak iaitu Bukit Batu Kumbang dan Bukit Chenuang (sejam ke sejam setengah pendakian dari Batu Kumbang), namun untuk kali ini penganjur terus turun ke air terjun di Kemensah.

Daripada 30 peserta, 26 pergi ke Air Terjun Maya Karin dan Air Terjun Neelofa manakala penulis bersama 'sweeper' menemani dua peserta yang mengalami keletihan dan kejang kaki.

Dalam perjalanan pulang, kami diuji dengan hujan lebat menyebabkan air mengalir di trek ATV. Kami perlu berhati-hati untuk elak terjatuh.

Pada masa sama, kami perlu melompat ke bahu trek untuk memberi laluan kepada ATV yang turut melalui laluan itu.

Semua peserta berjaya keluar dan tiba di parkir jam 5.30 petang tanpa sebarang kecederaan atau insiden buruk.

PEMANDANGAN indah di Air Terjun Maya Karin.
PEMANDANGAN indah di Air Terjun Maya Karin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 7:00 AM