Hafiz Ithnin


MELIHAT imej di not wang RM100, membuatkan pemuda berusia 25 tahun ini memasang impian untuk menerokai khazanah alam semul jadi negara yang terkenal di Sarawak itu.

Bukan mudah baginya untuk mengejar impian menerokai destinasi berkenaan kerana ia membabitkan masa dan kos agak tinggi untuk mereka yang mengembara dari luar negeri itu.

Muhammad Najmi Mohamad Shukor yang ditemui penulis baru-baru ini ternyata cukup puas apabila berjaya menerokai Taman Negara Gunung Mulu yang terletak di Miri itu.

Pengembaraannya itu mengambil masa tiga hari dua malam. Di taman negara itu sebenarnya terdapatnya lokasi yang begitu popular untuk diterokai pengembara iaitu Pinnacles, hasil formasi batu kapur yang tajam di Gunung Api.

Katanya, Pinnacles adalah salah satu tempat pendakian yang agak mencabar bagi pendaki kerana bukan sahaja perlu mendaki, bahkan melakukan aktiviti mendaki tebing tinggi untuk sampai ke puncak.

"Perjalanan hari pertama menaiki bot dari Ibu Pejabat Taman Negara Mulu ke Kuala Litut yang mengambil masa sejam perjalanan. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan keindahan sungai dan hutan yang begitu cantik.

"Kemudian kami perlu menerokai laluan denai sejauh sembilan kilometer (km) yang mengambil masa kurang tiga jam untuk ke Camp 5. Setiap pendaki perlu bermalam di Camp 5 sebelum melakukan aktiviti pendakian ke Pinnacles," katanya.

Tambahnya, di Camp 5 terdapat sungai untuk pendaki mandi dan berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

"Sebelum terlupa, pendakian ke Pinnacles perlu menggunakan khidmat penunjuk arah kerana trek yang agak mencabar dan bahaya," katanya.

MENAIKI titi hayun ketika perjalanan menuju Camp 5.
MENAIKI titi hayun ketika perjalanan menuju Camp 5.

Katanya, penunjuk arah yang berpengalaman menerangkan dan memberi taklimat ringkas perjalanan untuk mendaki. Turut ditekankan pastinya aspek keselamatan mendaki kerana ada banyak batu tajam ketika mendaki dan ada sebahagian tempat perlu memanjat tangga.

"Pendaki perlu fokus dan berhati-hati ketika melakukan pendakian untuk mengelakkan berlaku kecederaan.

"Seterusnya pendakian ke Pinnacles bermula pada jam 6.30 pagi dari Camp 5 ke Mini Pinnacles. Mini Pinnacles adalah lokasi pertama yang terletak 400 meter dari paras laut dan 900 meter jarak perjalanan dari Camp 5," katanya.

TREK mendaki yang mencanak dan perlu menggunakan tali sebagai sokongan untuk memanjat.
TREK mendaki yang mencanak dan perlu menggunakan tali sebagai sokongan untuk memanjat.

Katanya lagi, perjalanan agak mencabar kerana trek mencanak dan panas kerana hutan agak tebal dan tiada angin. Selepas berehat sebentar pendakian diteruskan ke lokasi seterusnya iaitu Halfway sejauh 1.2km.

"Sepanjang perjalanan trek mencanak dan terdapat batu kecil yang tajam memerlukan pendaki sentiasa berwaspada. Setibanya di Halfway pendaki berhenti berehat dan di sini pendaki boleh mengisi air untuk digunakan ketika turun nanti," katanya.

Muhammad Najmi berkata, penunjuk arah juga memaklumkan jika hujan mulai turun pendakian dibatalkan serta-merta kerana ia membabitkan isu keselamatan pendaki.

"Seterusnya pendaki bergerak dari km 1.2 ke km 2. Perjalanan mengambil masa sejam. Sepanjang perjalanan pendaki perlu bijak mencari tempat berpaut dan melangkah dengan sebaiknya kerana di sini pendaki bukan sahaja diuji dengan kekuatan tangan dan kaki, malah mental juga perlu dititikberatkan.

PEMANDANGAN yang memukau di puncak seperti pada not RM100.
PEMANDANGAN yang memukau di puncak seperti pada not RM100.

"Setibanya di km 2 pendaki perlu memanjat tangga pertama.Terdapat 17 tangga semuanya dari km 2 untuk smpai ke puncak Pinnacles. Ketika pendakian, pendaki juga perlu menggunakan tali yang diikat pada pokok bagi memudahkan aktiviti mendaki dan semua tangga masih kuat dan kukuh," katanya.

Jelasnya lagi, selepas memanjat semua tangga dan mendaki tebing batu, pendaki tiba di puncak Pinnacles iaitu terletak pada km 2.4.

"Tepat jam 10 pagi saya tiba di puncak dan dapat menyaksikan keindahan Pinnacles yang memukau pandangan. Terpampang batu-batu tajam yang begitu besar dan cantik seperti dalam gambar not RM100.

"Sungguh menakjubkan pemandangan di puncak Pinnacles dan cuaca yang begitu baik memberikan pengalaman berharga kepada pendaki seperti saya.

"Usai menikmati pemandangan di puncak, semua pendaki mulai turun pada jam 11 pagi. Pendaki perlu berhati-hati ketika turun kerana perjalanan balik begitu curam.

"Batu-batu kecil juga tajam. Kira-kira tiga jam perjalanan turun pendaki akan tiba semula di Camp 5 untuk berehat dan bermalam sebelum berangkat pulang pada keesokan harinya ke Ibu Pejabat Taman Negara Mulu," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 7:00 AM