Zaid Salim

Setiu: Pokok pandan laut gergasi dengan ketinggian hampir tujuh meter yang terdapat di trek pendakian Bukit Batu Bulan di Pulau Lang Tengah, di sini, menjadi tarikan utama pengunjung.

Pengurus Besar Summer Bay Resort, John Chong Tze Seng berkata, pakej pendakian Bukit Batu Bulan itu mula diperkenalkan pada 10 Jun lalu dan mendapat sambutan baik daripada peminat aktiviti mendaki.

"Lang Tengah sama seperti pulau lain yang berhampiran seperti Perhentian dan Redang yang menawarkan aktiviti air seperti selam skuba dan snorkel.

"Jadi bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke pulau ini, kita memperkenalkan aktiviti baru iaitu mendaki bukit.

"Sejak dibuka hingga kini pelancong yang menginap di sini, pasti tidak melepaskan peluang untuk menikmati flora dan fauna sepanjang pendakian selain kawasan teluk berbatu yang ideal untuk merakamkan gambar," katanya ketika ditemui sempena lawatan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengusaha resort oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazim ke pulau itu, Jumaat lalu.

Katanya, sebanyak dua trek disediakan kepada pengunjung membabitkan laluan sejauh 730 meter untuk laluan santai dan 1.5 kilometer bagi laluan mencabar yang mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam.

Beliau berkata, bukit berketinggian 85 meter daripada aras laut bukan sahaja mencabar, malah menyajikan keindahan flora dan fauna yang memukau selain deretan pokok pandan laut bersaiz gergasi membuatkan pengunjung bagaikan berada di lokasi penggambaran filem Avatar.

Pendaki tidak melepaskan peluang melihat  keunikan Pokok pandan laut gergasi dengan ketinggian hampir tujuh meter yang terdapat  sepanjang laluan pendakian Bukit Batu Bulan di Pulau Lang Tengah  yang menjadi tarikan utama pengunjung ketika bercuti di pulau ini. Bukit ini ketinggian 85meter dari aras laut melaluai lauan yang mencabar kira kira 45 minit sebelum tiba di kawasan teluk berbatu yang ideal untuk bergambar. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 6:38 PM