Ahmad Rabiul Zulkifli

“IKAN ibu gelama itu kali pertama dipancing di pantai itu kerana kebiasaannya ikan bersaiz besar seperti itu hanya hidup di kawasan laut dalam,” kata Mazly Mamat, 44.

Gambar dan video Mazly menaikkan ikan ibu gelama seberat 18 kilogram (kg) di Pantai Rhu Muda, Marang, kelmarin tular di Facebook (FB) sejak semalam.

Mazly atau lebih dikenali di kalangan kaki pancing dengan panggilan Matoyo berkata, niatnya hanya untuk memancing ikan ebek namun tidak menyangka ikan ibu gelama sebesar itu menyambar umpan.

“Pada mulanya saya ingatkan ikan gerong atau pari berikutan kekuatan ikan itu melarikan umpan, tetapi sangkaan saya meleset apabila melihat kelibat ikan itu dipermukaan air.

Mazly Mamat, 44, dari Kampung Bukit Gasing menunjukkan ikan ibu gelama seberat 18 kilogram yang dipancingnya di Pantai Rhu Muda. FOTO Ihsan Mazly Mamat
Mazly Mamat, 44, dari Kampung Bukit Gasing menunjukkan ikan ibu gelama seberat 18 kilogram yang dipancingnya di Pantai Rhu Muda. FOTO Ihsan Mazly Mamat

“Dengan kekuatan perambut yang sederhana saya menyangka tali kail itu akan putus seterusnya ikan itu gagal dinaikkan tetapi rezeki lebih berpihak kepada saya,” katanya yang berkerja sebagai tukang rumah.

Menurutnya, dia mengambil masa lebih setengah jam untuk menewaskan ikan ibu gelama terbesar dan pertama kali dipancing di pantai berkenaan.

“Saya pernah bertarung dengan pelbagai jenis ikan eksotik bersaiz besar tetapi ikan ibu gelama itu ialah ikan yang paling sukar ditewaskan,” katanya.

Katanya, ikan ibu gelama sukar diperolehi dipasaran menyebabkan harga ikan itu tinggi sekitar RM20 hingga RM26 sekilogram.

“Isi ikan itu sangat sedap dan ia boleh dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan termasuk gulai kuning.

“Ramai rakan yang menyatakan hasrat untuk membelinya tetapi saya menjualnya kepada keluarga terdekat dengan harga RM360 seekor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 11:11 AM