BERSAMA ikan gerepoh atau GT (giant trevally) yang berjaya dipancing.
BERSAMA ikan gerepoh atau GT (giant trevally) yang berjaya dipancing.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kepenatan menempuh perjalanan panjang antara 20 hingga 22 jam untuk tiba ke lokasi lubuk ikan yang menjangkau jauh jarak 130 batu nautika (240 kilometer) lenyap apabila gewang direntap ganas spesies ikan diburu.

Maka bermula pertarungan mencabar kaki pancing untuk melawan tindakan agresif ikan gerepoh atau lebih popular sebagai ikan GT (giant trevally) yang cuba untuk melepaskan diri.

Ikan gerepoh berwarna putih perak atapun hitam dan ada kalanya ikan itu juga berwarna kelabu adalah ikan buruan ramai kaki pancing laut dalam termasuk Mohd Sazali Salleh, 41, dari Pahang yang lebih mesra disapa Pokli dalam kalangan kaki pancing.

Kejayaan menaikkan ikan gerepoh ke atas bot adalah satu kepuasan buat Mohd Sazali walaupun melalui pertarungan 'sengit.' Keseronokan itu memanggil-manggil kaki pancing untuk bermain dengan 'dunia hanyir' berulang kali.

Pensyarah di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu berkata, dia berjinak-jinak memancing di laut dalam sejak 2007 dan pernah menaikkan ikan gerepoh seberat 27 kilogram (kg) di perairan Terengganu.

Menurutnya, itu pencapaian terbaiknya setakat ini sebagai pemancing laut dalam. Spesies berkenaan menjadi buruan ramai kaki pancing kerana saiznya yang besar dan perlawanan sangat padu apabila melawannya.

"Ada pelbagai cara menaikkan ikan ini antaranya menggunakan teknik 'jigging' iaitu menggunakan 'jig' (umpan tiruan yang diperbuat daripada kepingan timah berbentuk anak ikan bagi menarik perhatian ikan untuk memakan umpan).

"Satu lagi ialah teknik 'popping' yang menjadi 'kegilaan' pemancing untuk menjerat gerepoh.

TURUT gemar memburu ikan tenggiri.
TURUT gemar memburu ikan tenggiri.

"Teknik ini menggunakan 'popper' ataupun 'chugger' dan 'stickbait' (umpan tiruan daripada kayu atau plastik yang digayakan di permukaan air menyerupai anak ikan sakit atau melarikan diri dari ikan pemangsa). Ia menghasilkan bunyi 'pop' dan gelekan 'mengoda' ketika proses menarik umpan selepas lontaran," katanya.

Mohd Sazali berkata, ikan gerepoh ialah spesies yang suka makan ikan atas permukaan air. Apabila menggunakan teknik 'popping,' kaki pancing boleh melihat gerepoh menyambar gewang dan percikan air yang kuat akibat sambaran ikan.

"Lubuk saya memburu ikan gerepoh ialah di kawasan pelantar minyak di perairan Terengganu dan kawasan terumbu karang di Pahang.

"Saya melakukan aktiviti memancing di laut dalam tiga kali setahun kerana kos yang agak tinggi selain disebabkan komitmen tugas dan keluarga.

"Satu trip memancing laut dalam boleh mencecah RM1,000 hingga RM1,500 seorang dan tempoh berada di tengah laut selama tiga hingga lima hari," katanya.

Katanya, di sebalik keseronokan menewaskan ikan gerepoh, ada pengalaman tidak boleh dilupakan dilaluinya bersama sembilan rakan lain.

BERSAMA rakan-rakan kaki pancing.
BERSAMA rakan-rakan kaki pancing.

"Enjin bot yang dinaiki rosak dan bot hampir kehabisan minyak yang memaksa tekong melencong ke pulau berhampiran untuk mengisi diesel.

"Diesel hampir habis berpunca daripada masalah enjin yang membakar minyak itu lebih cepat," katanya.

Menurutnya, pengalaman menakutkan ialah kipas bot tercabut ketika laut bergelora. Ini menyebabkan bot tidak boleh bergerak dan terumbang-ambing dipukul ombak kuat.

"Saya dan rakan-rakan memakai jaket keselamatan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka.

"Namun, bernasib baik kerana tekong bot mempunyai radio amatur dan berjaya menghubungi bot nelayan berhampiran untuk bantuan.

"Situasi mendebarkan itu berlangsung satu jam pada 2010 dan peristiwa ini masih diingati hingga kini," katanya.

Katanya, dia menyedari risiko tidak dijangka menantinya apabila memancing di laut dalam, tetapi aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

MEMANCING di lubuk ikan gerepoh.
MEMANCING di lubuk ikan gerepoh.

Jelasnya, perkara penting yang perlu dipatuhi sepanjang berada di laut ialah tidak bercakap besar. Di samping itu berdoa sebelum memulakan perjalanan.

"Lazimnya saya akan memberikan beberapa maklumat kepada isteri sebelum pergi memancing iaitu lokasi memancing, nombor telefon rakan-rakan mengikuti trip berkenaan dan tekong bot.

"Tekong bot aktif mengemas kini aktiviti sepanjang trip memancing di Facebook dan isteri boleh memantau pergerakan saya daripada laman sosial ini," katanya.

Tambahnya, buat masa ini dia tiada hasrat 'menggantung' joran (bersara), tetapi memilih untuk mengurangkan aktiviti memancing di laut dalam kerana risiko bahaya.

"Sekarang saya lebih banyak memancing tempoh singkat iaitu perjalanan sehari di sekitar perairan Pahang.

"Bagaimanapun, saya ada keinginan untuk cuba memancing di perairan Sabah kerana di laut berkenaan ada spesies ikan yang tiada di perairan Semenanjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 7:02 AM