Faliq Lajim


FAKTOR masa melayakkan peserta memancing muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 hari ini.

Itu rezeki Muhamad Faiz Mat Ruzi, 25, yang diumumkan juara Cabaran Joran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Indah di Pusat Hidrografi (PHN) Pelabuhan Klang.

Pemuda yang juga kontraktor itu berjaya menaikkan ikan kurau 1.33 kilogram (kg).

Dalam pertandingan itu, tiga ikan kurau dengan berat sama menyebabkan penganjur memutuskan memberi kemenangan kepada peserta yang terpantas menaikkan ikan.

Muhammad Faiz berkata, dia tidak menyangka diumumkan pemenang berikutan hanya mengeluarkan modal RM120 bagi yuran penyertaan, umpan dan kos minyak kenderaan.

“Saya memang kerap menyertai pertandingan memancing di merata tempat namun hanya memenangi tempat kedua atau sagu hati.

“Tidak sangka saya menjadi pemenang dengan masa tangkapan paling awal kerana jumlah berat ikan bagi tempat pertama hingga ketiga adalah sama,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Hanafiah Hassan.

Hanafiah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Muhamad Faiz yang menjadi juara. FOTO Faiz Anuar
Hanafiah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Muhamad Faiz yang menjadi juara. FOTO Faiz Anuar

Tempat kedua dimenangi Nor Azhar Mohammed Hussien, 50, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, tempat ketiga diraih Badrul Hisham Bakhtiar Jamali, 34, dengan hadiah RM1,000.

Sementara itu, Pengerusi penganjur Leftenan Muhammad Nabbil Faiz Alias berkata, pihaknya tidak menyangka pertandingan memancing itu menerima sambutan menggalakkan.

“Kita menerima 1,186 penyertaan orang awam dari pelbagai negeri termasuk Johor, Perlis, Terengganu.

“Pertandingan ini dianjurkan sempena Hari TLDM ke-85 dan peserta diberi peluang memancing di Jeti Pangkalan TLDM Pulau Indah sepanjang hampir 500 meter.

“Jeti ini kawasan larangan memancing dan kita memberi peluang itu kerana ia menjadi antara ‘lubuk’ ikan seperti senangin, kerapu, bawal, gelama dan kerapu,” katanya.

Antara peserta yang menyertai Cabaran Joran TLDM di Pelabuhan Klang hari ini. FOTO Faiz Anuar
Antara peserta yang menyertai Cabaran Joran TLDM di Pelabuhan Klang hari ini. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:40 PM