TERBUKA terima kunjungan pelancong. FOTO NSTP
TERBUKA terima kunjungan pelancong. FOTO NSTP
Aniza Zainudin

TERSENARAI sebagai pulau kedua terbesar di Sabah, Pulau Jambongan tidak begitu popular dalam sektor pelancongan tempatan mahupun asing seperti pulau lain di negeri berkenaan.

Terletak di Teluk Paitan, Beluran, Sandakan, pulau yang wajar digelar dengan ‘wajah senyuman’ ini memiliki keistimewaan tersendiri.

Wakil Anak Sabah di Pulau Jambongan, Sh Zakaria Sh Atar, 56, berkata, pulau ini dibuka sebelum Perang Dunia Kedua dan didiami kira-kira 5,000 penduduk daripada empat kaum utama iaitu Bugis, Bajau, Suluk dan Brunei.

Menurutnya, pulau ini jarang dikunjungi pelancong tempatan dan asing, sekadar penduduk tanah besar yang datang untuk menangkap hasil laut dan bekerja di ladang serta kilang sawit.

“Dulu pernah ada ura-ura usaha mewujudkan kawasan pelancongan namun hingga kini tiada khabar berita. Mungkin juga masih menanti kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Sebagai penduduk asal, pulau ini mempunyai keistimewaan dan sejarah tersendiri termasuk tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua.

“Terdapat enjin kapal tentera Jepun yang ditenggelamkan penduduk tempatan semasa kedatangan tentera Jepun ke pulau ini dan hingga kini masih boleh dilihat.

“Di sini juga, ada lokasi menarik bagi pelancong termasuk kawasan batu karang seakan-akan Semporna yang cantik dan bersih, malah air juga jernih.

“Pantai pulau ini juga bersih dan sesuai untuk melakukan aktiviti santai bersama keluarga dan rakan. Selain itu, kawasan bakau juga masih dara dan tidak diterokai sesuai untuk dikunjungi bagi menyaksikan kepelbagaian.

MILIKI potensi besar dalam sektor pelancongan. FOTO NSTP
MILIKI potensi besar dalam sektor pelancongan. FOTO NSTP

“Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak, boleh mencuba melakukan sendiri rutin masyarakat setempat yang hampir 80 peratus nelayan, turun ke laut untuk menangkap hasil laut seperti ikan, ketam nipah, ketam surih, balat, gamat dan siput laut. Jika ada rezeki, mungkin mereka boleh ternampak penyu berenang di perairan itu,” ceritanya.

Menyifatkan Pulau Jambongan selamat untuk pelancong, namun terdapat fasiliti asas perlu ditambah baik seperti kemudahan inap desa, bekalan elektrik yang hanya bergantung pada generator (kini projek tenaga solar sedang dilaksanakan) serta sumber air bersih yang bergantung kepada air hujan.

Selain itu, kemudahan jalan raya bertar juga kurang dan kebanyakannya masih tanah merah dan berbatu boleh dipertingkatkan bagi kesenangan penduduk serta potensi pelancongan.

Ujarnya lagi, penduduk tempatan sangat mengalu-alukan kunjungan tetamu ke Pulau Jambongan.

Usaha memajukan sektor pelancongan di pulau yang mempunyai lima kampung ini dijangka dapat mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi dan melestarikan keunikan budaya setempat.

Bagi mereka yang ingin berkunjung ke sini boleh mendapatkan khidmat pengangkutan air di Pejabat Daerah Kecil Paitan, jeti di Kanibongan dan Kampung Pantai sama ada dari Sandakan (yang disarankan kerana lebih dekat) serta Kota Kinabalu.

Selalunya perjalanan darat dari Sandakan ke tiga hentian utama ini mengambil masa antara tiga hingga enam jam, manakala empat hingga enam jam dari Kota Kinabalu. Tempoh perjalanan bagi pengangkutan air pula memakan masa kira-kira dua jam dengan menaiki bot laju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:41 AM