TUKUN tiruan dapat membantu memulihara ekosistem dasar laut.
TUKUN tiruan dapat membantu memulihara ekosistem dasar laut.
Nurul Husna Mahmud

Peranan tukun tiruan dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem marin cukup besar kerana peranannya sebagai pengganti batu karang.

Menjadi habitat untuk hidupan seperti udang, ketam dan ikan kecil berlindung daripada pemangsa, tukun tiruan bertambah menarik apabila ia turut berfungsi sebagai ‘stesen pembersihan’ bagi ikan lain seperti kerapu.

Pengarah Tourism Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, selain pembinaan tukun tiruan ini dilihat dapat memperkayakan khazanah biodiversiti di lautan, usaha murni itu boleh dikembangkan sebagai produk pelancongan unik yang mampu menarik minat pencinta alam mahupun penggiat sukan air.

Itu senario yang dilihat menerusi kesinambungan program komuniti End In Sipadan 1Voluntarism Pembinaan Tukun Tiruan di Mari-Mari Pulau Sepanggar dirintis Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Negeri Sabah bersama Persatuan Pengusaha Backpackers Sabah, baru-baru ini.

PENYELAM profesional memasang tukun tiruan di dasar laut.
PENYELAM profesional memasang tukun tiruan di dasar laut.

“Idea dizahirkan menerusi inisiatif Pengusaha Mari-Mari Pulau Sepanggar, Octavius Dares Asaad menemui kaedah ekonomi pembinaan tukun menerusi plaster adunan air, simen, tanah lumpur bakau tahan lasak dan melekat lebih baik berbanding kaedah konvensional gam Epoxy.

“Kos menggunakan material campuran itu jauh lebih murah iaitu 20 hingga 30 sen untuk segelas berbanding RM50 untuk gam Epoxy.

“Kos lain turut diserap menggunakan kaedah sama ialah pengangkutan kerana kebiasaannya tukun konvensional ini dibina di darat sebelum diletakkan di dalam air. Ada pula sebahagian tukun dipasang di dasar menggunakan tali kabel tidak mesra alam,” katanya.

Potensi program End In Sipadan 1Voluntarism Pembinaan Tukun Tiruan diharap terus menyemai tanggungjawab bersama dalam pemeliharaan marin membabitkan agensi, pengusaha dan pelancong itu sendiri.

“Ketika ini kami sedang mempromosi program 1Voluntarism Pembinaan Tukun Tiruan bagi memberikan pengalaman kepada pelancong untuk turut serta dalam aktiviti ini.

“Kami melihat prospek produk pelancongan eko sebegini sebagai tarikan terbaru buat penyelam skuba tempatan mahupun luar negara terutama China dan Eropah,” katanya.

TERUMBU karang yang hidup pada tukun tiruan.
TERUMBU karang yang hidup pada tukun tiruan.

Selain Sepanggar, projek tukun tiruan kedua di Pulau Bum-Bum terbukti berhasil di mana tukun ini menjadi rumah kepada spesies hidupan makro yang sukar dilihat seperti sotong katak flamboyant, sotong pop corn dan udang peacock mantis.

Spesies ini menjadi buruan penyelam yang meminati aktiviti selaman muk (muck dive) atau menyelam hingga ke dasar atau ke lantai laut yang dipenuhi pasir dan lumpur gunung berapi dan biasanya menjadi tumpuan untuk fotografi marin) atau selaman makro iaitu aktiviti penyelaman untuk menikmati keindahan hidupan marin yang kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:08 AM