Poliana Ronnie Sidom


Sandakan: Kehadiran pelancong yang semakin meningkat di timur Sabah jelas memperlihatkan usaha dan langkah berkesan yang digerakkan kerajaan dan Pihak Berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ia hakikat sebenar diakui mereka yang berkecimpung dalam industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Pengusaha pelancong yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN), Johnny Lim berkata, jumlah tempahan bilik bagi operator pelancong berdaftar dengan persatuan itu meningkat tahun lalu kepada 31 peratus berbanding 29 peratus pada tahun 2016.

Katanya, tahap keselamatan kukuh, selain kehadiran berterusan pasukan keselamatan mengawal perairan dan pulau antara faktor meningkatkan keyakinan pelancong.

“Selain pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan khususnya ESSCOM, persatuan dan operator pelancongan bekerjasama membuat promosi bagi meyakinkan pelancong mengenai tahap keselamatan di sini.

“Lebih meyakinkan pelancong apabila pasukan keselamatan mengiringi perjalanan mereka ke pulau seperti dilakukan baru-baru ini membabitkan sekumpulan pelancong dari China ke Pulau Selingan, sekali gus memberi gambaran positif terhadap terhadap kawalan keselamatan kita,” katanya.

Sementara itu, pengusaha pelancong di Semporna, Kerinu Jalani, berkata, kehadiran pelancong ke daerah itu bertambah dengan purata 1,000 pelancong sehari.

Dia yang juga Pengerusi Persatuan Syarikat Pelancongan Tempatan Semporna berkata, peningkatan itu direkodkan selepas perintah berkurung dilaksanakan ESSCOM dengan tempahan bilik penuh pada musim tertentu menyebabkan pengunjung perlu membuat tempahan sebulan lebih awal.

“Paling ketara apabila bot kampung semakin laris. Ini terbukti apabila daripada cuma 30 bot pada tahun lalu kepada 80 bot bulan lalu susulan jumlah pelancong yang semakin bertambah.

“Kehadiran pelancong yang bertambah menyebabkan pusat penginapan tidak dapat menampung jumlah mereka,” katanya.

Kerinu berkata, selain pengunjung dari Eropah, sebahagian besar pelancong datang ke daerah itu dari China seraya membuktikan usaha kerajaan mengukuhkan keselamatan di perairan berupaya mengembalikan keyakinan pelancong.

“Kami harap kehadiran pelancong ke Sabah, khususnya pantai timur terus bertambah manakala langkah kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung diteruskan,” katanya.

Perintah berkurung di perairan ESSZONE yang dikuatkuasakan sejak Julai 2014 membabitkan perairan di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Pusat pemeriksaan inisiatif terbaik

Pelaksanaan Road Check Point (RCP) atau pusat pemeriksaan di daratan yang dijangka diwujudkan di Telupid dalam tempoh terdekat mampu meningkatkan lagi tahap keyakinan penduduk membabitkan tahap keselamatan di Sabah.

Penduduk yakin pelaksanaan RCP bukan saja dapat menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), malah penyeludupan barang terlarang termasuk dadah, rokok atau minuman keras, selain menjamin keselamatan penduduk di kawasan sekitarnya.

Ketua Kampung Berayong, Osmond Lawansa, berkata, langkah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mewujudkan RCP tepat kerana daerah itu dikelilingi ladang kelapa sawit yang dibimbangi turut menggaji PATI, selain digunakan bagi aktiviti penyeludupan kerana terletak di laluan utama menghubungkan pantai timur dan barat.

ANGGOTA keselamatan melakukan kawalan di sekitar tempat  peranginan di Pulau Mabul. FOTO Izhari Ariffin.
ANGGOTA keselamatan melakukan kawalan di sekitar tempat peranginan di Pulau Mabul. FOTO Izhari Ariffin.

“Ada pro dan kontra jika pusat pemeriksaan di darat ini dilaksanakan... baiknya dapat mengurangkan jumlah PATI di kawasan ini atau di sekitar ladang namun mungkin memberi kesan ke atas peniaga kerana kurang pelanggan.

“Bagi kami keselamatan lebih utama dan langkah ESSCOM wujudkan pusat pemeriksaan ini akan meningkatkan keyakinan dan kemampuan pasukan keselamatan menangani isu di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Melton Martin, 37, berkata, pewujudan pusat pemeriksaan itu meningkatkan taraf daerah Telupid untuk dijadikan status daerah penuh, selain menambah jumlah pasukan keselamatan di kawasan itu.

Katanya, kekurangan jumlah anggota keselamatan khususnya polis di kawasan itu dengan kawasan yang luas meliputi 1,953 kilometer persegi, antara cabaran perlu ditangani pasukan keselamatan bagi menangani ancaman keselamatan khususnya jenayah.

“Biarpun mungkin jenayah di Telupid tidak teruk, tetapi kehadiran PATI masih menyebabkan penduduk rasa kurang selesa.

“Biarpun ESSCOM mungkin cuma beroperasi di pusat pemeriksaan namun sekurang-kurangnya menimbulkan rasa takut kepada penjenayah,” katanya.

Melton berkata, penduduk berharap pusat pemeriksaan itu dikekalkan dan ESSCOM memperluaskan aspek pemeriksaan ke kawasan sekitar terutama ladang kelapa sawit yang dikhuatiri menjadi ‘laluan tikus’ bagi penyeludupan pelbagai aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:50 AM