RUMAH tradisional yang dihuni Shay bersama keluarga. FOTO Zulfadhli Zulkifli
RUMAH tradisional yang dihuni Shay bersama keluarga. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nurul Husna Mahmud


PERCUTIAN eksotik! Itu yang penulis rasai ketika menyertai program Kembara Hulu Langat 3.0 menyusuri tarikan unik sekitar daerah Selangor itu.

Rombongan diketuai Ketua Unit Pelancongan Majlis Perbandaran Kajang, Hadzli Hamid membawa media menjengah destinasi memberi kelainan dalam atur cara pelancongan boleh dinikmati peserta kali ini.

Pembukaan lawatan kali ini semestinya mendekati masyarakat pribumi iaitu Orang Asli Temuan di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Lalang.

Dalam perjalanan tentunya suasana damai menemani kami apabila melewati laluan dikelilingi hutan simpan Selangor selain pemandangan indah sekitar empangan Sungai Tekala.

Menurut Hadzli lawatan kali ini semestinya bukan hanya mendekati destinasi unik malah turut menyelami kehidupan etnik masyarakat Orang Asli yang arif dengan ilmu ikhtiar hidup.

SESI pengenalan herba oleh wakil kampung. FOTO Zulfadhli Zulkifli
SESI pengenalan herba oleh wakil kampung. FOTO Zulfadhli Zulkifli

“Ini antara kampung Orang Asli paling dekat dengan ibu kota dan masih mengamalkan cara hidup serba sederhana. Namun mereka ini kaya dengan pengalaman terutama dalam mencari hasil hutan termasuk herba. Jadi, selain mengenali cara hidup mereka, ilmu berkenaan herba bagi tujuan perubatan juga dapat dipelajari menerusi lawatan kali ini,” katanya.

Ketika tiba, peserta turut dipakaikan selendang dan perhiasan khas di kepala iaitu anyaman daripada pelepah kelapa.

Menurut wakil kampung yang menyambut kedatangan kami iaitu Piah Bintu, perhiasan itu digayakan untuk meraikan tetamu. Turut mengisi jadual lawatan ialah singgah ke rumah tradisi Orang Asli dibuat daripada buluh.

Kediaman berkenaan milik Shay Hock You iaitu lelaki berbangsa Tionghoa yang menetap di kampung itu selepas mengahwini isterinya, wanita masyarakat Orang Asli.

Kata Shay, meskipun ada pilihan untuk memiliki rumah batu yang jauh lebih selesa, dia tetap membuat pilihan tinggal dalam rumah tradisi berkenaan.

AKSI peserta yang berjaya menyumpit belon. FOTO Zulfadhli Zulkifli
AKSI peserta yang berjaya menyumpit belon. FOTO Zulfadhli Zulkifli

“Kalau orang lihat rumah saya, pasti berpendapat susah dan sebagainya, tetapi secara peribadi ia sesuai untuk saya. Rumah ini tidak perlukan pendingin hawa sebaliknya memadai angin keluar masuk secara semula jadi.

“Paling penting rumah ini dibina bersama keluarga dan masyarakat kampung ketika saya berkahwin dengan isteri. Ia membuatkan saya menghargai kerja keras selain semangat bersatu padu mereka yang sanggup membina kediaman selesa untuk saya. Meskipun sedia maklum status saya hanyalah orang luar,” katanya.

Tidak lupa juga peserta diraikan dengan aktiviti termasuklah menyumpit belon digantung pada dahan pokok. Tampak mudah tetapi sebaik dicuba ia perlukan daya fokus dan teknik betul supaya mata mengenai sasaran.

Lebih bermakna penutup kepada lawatan kami ke kampung itu, minuman herba disajikan selain ubat herba sebagai cenderamata kepada tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 12:29 PM