TTCM mempunyai hubungan sesama ahli yang rapat.
TTCM mempunyai hubungan sesama ahli yang rapat.
Hafiz Ithnin

Aktiviti memandu kenderaan pacuan empat roda (4x4) sudah sinonim dengan pergerakan secara berkumpulan. Bahkan bagi peminatnya, aktiviti memandu secara berkumpulan lebih menyeronokkan terutama ketika menyertai program yang memerlukan mereka bermalam.

Bahkan, komuniti 4x4 yang semakin berkembang di Malaysia mempunyai pelbagai kelab bagi mengumpulkan individu mempunyai minat sama dan mudah menganjurkan sebarang aktiviti.

Kelab Triton Tuners Malaysia (TTCM) umpamanya kini mempunyai 300 ahli aktif di seluruh Malaysia dan 25,000 pengikut di Facebook, begitu aktif melaksanakan pelbagai program yang bukan saja memberi keseronokan dalam aktiviti mengembara, malah turut terbabit dalam kegiatan amal.

Presidennya Mohamad Adli Ibrahim berkata, kelab itu mula didaftarkan secara rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 2012 mempunyai imejnya tersendiri terutama membabitkan modifikasi kenderaan.

Beliau berkata, di bawah kelabnya terdapat tiga kategori pemanduan iaitu lasak membabitkan laluan denai hutan, bandar dan merentasi sempadan negara yang mana setiap kategori itu mempunyai pengikutnya tersendiri dalam kalangan ahli kelab.

SENTIASA memastikan pergerakan berkumpulan dalam keadaan selamat.
SENTIASA memastikan pergerakan berkumpulan dalam keadaan selamat.

“Di Malaysia, kita begitu beruntung kerana ada banyak lokasi bagi aktiviti 4x4 yang boleh dijalankan dalam kumpulan berskala besar terutama bagi laluan denai di hutan.

“Jika memandu kenderaan 4x4 di hutan Malaysia, kita bukan saja dapat mencabar diri untuk memandu dalam keadaan laluan lasak, tapi ia turut memberi ketenangan apabila merentasi kawasan indah seperti sungai dan air terjun yang belum terusik,” katanya.

Adli berkata, ahli kelabnya begitu aktif melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan pemanduan 4x4 di seluruh Malaysia dan boleh dikatakan setiap bulan pasti ada satu program diadakan.

Katanya, program yang diadakan ahli kelabnya termasuk menjelajah, membuat kerja kebajikan masyarakat, membantu kerajaan dalam acara sukan dan menyokong projek pembangunan masyarakat luar bandar.

MEMANDU 4x4 memerlukan kepakaran menguruskan laluan.
MEMANDU 4x4 memerlukan kepakaran menguruskan laluan.

“Aktiviti menjelajah tidak kira menerusi acara laluan denai, bandar atau merentas sempadan kerap kali diadakan kerana ia penting bagi membolehkan kami mengasah teknik pemanduan masing-masing.

“Dalam masa sama, aktiviti membabitkan kerja amal juga tidak boleh dipinggirkan kerana kami mahu memanfaatkan fungsi kenderaan 4x4 untuk membantu banyak pihak dan meringankan beban mereka khususnya yang tinggal jauh di pedalaman atau ketika bencana,” katanya.

Antara program amal yang pernah dilaksanakan kelab berkenaan ialah memberi bantuan kepada mangsa banjir, program keagamaan dan membaik pulih di perkampungan masyarakat Orang Asli, memberi sumbangan bagi meringankan beban warga emas dan memberi sumbangan kepada pelajar sekolah tidak berkemampuan.

 AKTIVITI yang boleh mengeratkan hubungan ahli selain memandu secara berkumpulan kerap dianjurkan.
AKTIVITI yang boleh mengeratkan hubungan ahli selain memandu secara berkumpulan kerap dianjurkan.

Aktiviti seperti itu dapat menerapkan elemen bersantai sambil beramal. Bahkan, ia juga dapat mengeratkan hubungan kelab dengan masyarakat dan sesama ahli serta keluarga.

“Dalam program mengembara pasti ada ahli yang membawa keluarga sebagai penumpang dan perkara ini bagus kerana kami dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Malah, para isteri dan anak-anak dapat berkenalan. Apabila selalu bertemu, kami menjadi mesra terasa seperti sebuah keluarga besar,” katanya.

Adli turut berpendapat, kewujudan kelab memandu 4x4 turut menjadikan generasi muda khasnya terdedah kepada kegiatan berfaedah termasuk menghargai alam semula jadi dan mendekatkan diri dengan masyarakat.

“Kami tidak mengehadkan memandu 4x4 sebagai aktiviti santai semata-mata, tapi turut memastikan ia dapat memberi manfaat kepada orang lain dan melahirkan generasi muda yang gemarkan sukan lasak serta berkebajikan,” katanya.

KEINDAHAN alam semula menjanjikan kedamaian ketika berhadapan cabaran laluan.
KEINDAHAN alam semula menjanjikan kedamaian ketika berhadapan cabaran laluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:20 PM