Hafiz Ithnin


Laluan berlumpur menjadi jalan utama untuk tiba ke kawasan sasaran. Bukan mudah meredah laluan yang kadangkala leretan tayar pacuan empat roda tenggelam di dalam selut tebal yang mengambil masa berjam-jam untuk dilepaskan.

Itu antara pengalaman dalam kalangan pengembara masa kini yang semakin mendapat perhatian kerana mereka bukan inginkan keseronokan memandu kenderaan pacuan empat roda semata-mata. Tujuan hakiki mereka untuk bertaut kasih dengan masyarakat Orang Asli.

Malaysian Mountaineer Four Wheelers (MM4W) yang terdiri daripada 20 ahli tetap yang dahulunya gemar menerokai hutan atau kawasan pergunungan, kini lebih cenderung mengisi masa lapang dengan memandu kenderaan pacuan empat roda ke lokasi perkampungan Orang Asli.

Perjalanan pengembaraan diisi dengan aktiviti kemasyarakatan yang boleh dipuji kerana mereka juga membawa pelbagai barangan untuk masyarakat Orang Asli antaranya keperluan harian, makanan dan alat tulis untuk kanak-kanak masyarakat berkenaan.

SELUT menjadi ­cabaran kepada ­pergerakan kenderaan ke kampung Orang Asli.
SELUT menjadi ­cabaran kepada ­pergerakan kenderaan ke kampung Orang Asli.

Di samping itu, ahlinya yang mempunyai ilmu dalam bidang perubatan turut bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) menerusi Kumpulan Penyelamat dan Respons (IMARET) mengadakan program pemeriksaan kesihatan serta mengagihkan keperluan ubat-ubatan kepada masyarakat Orang Asli yang dikunjungi.

Kesempatan turut serta dalam MM4W menerokai laluan ke perkampungan Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan memberi pengalaman pengembaraan yang cukup menarik serta mencabar buat kami yang menyertainya.

Pos Gob adalah perkampungan Orang Asli yang terletak 70 kilometer dari Kuala Betis dan mengambil masa antara lima hingga tujuh jam perjalanan melalui jalan denai termasuk menyeberangi beberapa anak sungai.

Sepanjang perjalanan itu, pengalaman mengharungi cabaran getir sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana laluan denai yang berbukit, curam dan licin selepas hujan untuk menuju ke perkampungan Orang Asli paling hujung di Gua Musang sememangnya memberi makna kepada pengembara lasak yang sebenar.

Sebaik saja tiba di Pos Gob, sekumpulan penduduk kampung yang terdiri daripada keturunan Temiar menyambut kami dengan penuh senyuman. Air sungai yang mengalir lembut di tepi kawasan perkhemahan bersulam dengan panorama hutan hijau tropika sememangnya menjadikan perjalanan tujuh jam yang ditempuhi amat berbaloi.

 PEMERIKSAAN kesihatan sering mendapat sambutan di kampung Orang Asli.
PEMERIKSAAN kesihatan sering mendapat sambutan di kampung Orang Asli.

Selama tiga hari dua malam berada di Pos Gob, kumpulan pengembara tanpa membuang masa melaksanakan tugas masing-masing bagi mengisi aktiviti bersama Orang Asli antaranya ada peserta yang membungkus barangan keperluan harian mengikut jumlah rumah, memasak, mengadakan sukaneka bersama kanak-kanak manakala kumpulan perubatan memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada penduduk setempat.

Kumpulan IMARET yang turut serta membuat lawatan dari rumah ke rumah untuk membuat pemeriksaan kesihatan kepada penduduk Orang Asli yang sakit atau ibu yang baru bersalin.

Baru-baru ini, MM4W bersama IMARET sekali lagi mengadakan aktiviti mengembara ke perkampungan Orang Asli dan kali ini mereka memilih Pos Bihai, Gua Musang yang terletak sekitar 60 kilometer dari Kuala Betis.

Dalam agenda pengembaraan sambil mengisi program kemanusiaan itu, IMARET menjadi penganjur utama dan MM4W memainkan peranan sebagai pihak yang menyediakan logistik serta mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat.

IMARET turut membawa doktor gigi untuk pemeriksaan gigi masyarakat Orang Asli di Pos Bihai.
IMARET turut membawa doktor gigi untuk pemeriksaan gigi masyarakat Orang Asli di Pos Bihai.

Perjalanan ke Pos Bihai juga tidak kurang dari segi cabarannya kerana selain bentuk muka bumi yang biasanya cerun dan berbukit, ia menjadi bertambah sukar dengan adanya laluan sungai yang perlu direntasi sehingga mengambil masa tiga jam untuk melepasinya.

Malah, ketika dalam perjalanan pulang dari Pos Bihai, kumpulan pengembara itu juga perlu menempuh laluan denai sehingga 17 jam kerana berdepan dengan jalan berselut dan ada antara 25 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai pengembaraan itu mengalami masalah teknikal.

Nikmati cabaran pemanduan

Pengerusi MM4W Nizam Ab Majid berkata, berdepan dengan cabaran cerun berselut, kenderaan rosak mahupun merentas sungai deras sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan ‘pengembara masyarakat’ seperti mereka.

Beliau berkata, aktiviti pengembaraan ke kampung Orang Asli dimulakan sejak tahun lalu dan sehingga kini enam projek ke kampung masyarakat berkenaan sudah dilaksanakan.

“Sebenarnya, kebanyakan kami terdiri daripada pendaki gunung yang juga berminat memandu kenderaan pacuan empat roda bagi merasai sendiri cabaran memandu di kawasan denai.

“Pada masa yang sama, selain menikmati cabaran pemanduan, kami juga mahu menyumbang kepada masyarakat dengan melakukan kerja amal terutama misi kemanusiaan membabitkan Orang Asli,” katanya.

AKTIVITI bersama kanak-kanak antara agenda wajib dilakukan bersama Orang Asli.
AKTIVITI bersama kanak-kanak antara agenda wajib dilakukan bersama Orang Asli.

Nizam berkata, meskipun mengadakan aktiviti pengembaraan amal, MM4W atau pihak penganjur yang bekerjasama dengannya perlu mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) sebelum berkunjung ke mana-mana kampung Orang Asli yang dipilih.

Katanya, langkah melaporkan aktiviti mereka kepada pihak berkuasa terutama JKAO dan orang kampung itu sendiri penting bagi mengelakkan kejadian menceroboh ke kawasan Orang Asli.

“Melakukan aktiviti melawat ke kampung Orang Asli ini adalah baik kerana kita boleh mengenali kehidupan mereka yang unik dan berbeza berbanding masyarakat di bandar.

“Selain itu, kehadiran kita juga sedikit sebanyak boleh membantu mereka mendapatkan bekalan keperluan harian kerana ada antara kampung Orang Asli seperti di Pos Gob yang terletak jauh di pedalaman,” katanya.

Kehadiran pengembara masyarakat seperti MM4W atau IMARET sebenarnya mewujudkan satu trend baru dalam segmen pengembaraan iaitu pengembara masyarakat kerana mereka bukan saja mengembara untuk mendapat keseronokan, malah puas dapat membantu golongan luar bandar yang sehingga kini tidak jemu berbakti kepada alam.

KUMPULAN pengembara dalam misi kemanusiaan ke Pos Bihai, Gua Musang.
KUMPULAN pengembara dalam misi kemanusiaan ke Pos Bihai, Gua Musang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 1:57 PM