FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Junainah Ahmad Esa

Mac 2024, umat Islam kembali bertemu Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Uniknya tahun ini, Ramadan bermula selang sehari atau dua hari selepas pembukaan sesi persekolahan 2024. Malah, sebulan selepas itu, umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Hakikatnya, di sana sini, tidak kira di pusat beli-belah, suasana meriah promosi jualan pakaian dan kuih-muih hari raya sudah kelihatan. Tidak kurang juga promosi berbuka puasa di restoran dan hotel. Itu belum lagi di bazar Ramadan yang dibuka di merata pelosok kawasan menjual pelbagai aneka makanan dan minuman.

Melihat kepada pertembungan perbelanjaan tiga serangkai yang meliputi musim awal persekolahan, menyambut Ramadan sehinggalah ke Syawal, ketiga-tiga senario ini memerlukan pengurusan kewangan yang lebih teliti supaya sumber kewangan yang ada dapat diuruskan dengan baik serta mengikut prinsip keutamaan dalam Islam. Persoalannya, bagaimana kita merancang dan melaksanakan bajet kewangan secara berkesan untuk memastikan keseimbangan antara tuntutan pendidikan anak, persiapan juadah berbuka puasa dan persediaan menyambut Aidilfitri?

Oleh itu, kita tampilkan formula S.A.H.U.R. bagi membimbing anda dalam membuat keputusan bajet tiga serangkai yang bijak dan berhemah seperti berikut:

1. Susun keutamaan perbelanjaan

Berpandukan prinsip keutamaan dalam Islam, sebaik-baiknya ketiga-tiga bajet perbelanjaan itu disusun mengikut penilaian yang jujur dan teliti antara keperluan dan kehendak. Gunakan fikiran rasional untuk mendahulukan keperluan berbanding dengan perasaan emosional yang mengutamakan kehendak.

Contohnya, anda pastinya akan mementingkan dan mendahulukan perbelanjaan persekolahan anak kerana ia keperluan utama bajet isi rumah ketika ini.

Pada masa sama, sudah menjadi tradisi setiap Ramadan, semua orang dihidangkan pelbagai juadah istimewa untuk berbuka puasa. Begitu banyak jualan sehinggakan kebanyakan kita berbelanja berlebihan dan tanpa sedar mengakibatkan pembaziran. Di situlah faktor berbelanja ke arah kehendak melebihi keperluan itu terbukti. Di sinilahlah titik mulanya kejayaan atau kegagalan dalam pengurusan kewangan itu diukur melalui penilaian rasional mengatasi penilaian emosional kita.

2. Adakan perbincangan harmoni keluarga

Satu lagi elemen yang mempengaruhi kejayaan dalam pengurusan kewangan ialah kebersamaan. Sebagai manusia, kita mudah terdorong oleh keadaan sekeliling atau kebiasaan. Tidak hairanlah kalau skrip sebegini biasa kita dengar, "Orang beli perabot baharu, kita pun nak beli perabot baharu."

Oleh itu, satu kaedah untuk mengekalkan disiplin perbelanjaan yang sihat dalam keluarga ialah perbincangan apa yang patut dibelanjakan. Dengan persefahaman dalam keluarga tentang hala tuju perbelanjaan, tidak adalah sketsa anak-anak meminta itu dan ini yang akhirnya terlebih berbelanja semasa shopping raya.

3. Hadkan perbelanjaan

Setelah jelas perbelanjaan apa yang patut didahulukan sebagai keluarga yang bersefahaman, langkah seterusnya adalah mengehadkan perbelanjaan mengikut bajet realistik untuk persekolahan seperti pembelian alatan, pakaian seragam, dan kelengkapan lain, tidak termasuk perbelanjaan wajib seperti yuran.

Tetapkan juga had perbelanjaan untuk juadah berbuka, lebih-lebih lagi pembelian di bazar Ramadan serta rancangan berbuka mahupun bersahur di luar. Begitu juga dengan perbelanjaan hari raya, hadkan peruntukan baju raya, juadah dan kuih-muih, serta dekorasi rumah dan duit raya.

Tujuan mengehadkan perbelanjaan ini bagi memastikan perbelanjaan dan komitmen tetap setiap bulan tidak terjejas seperti bil utiliti dan bayaran ansuran bulanan.

4. Urus hutang

Musim perayaan sinonim dengan musim meminjam. Apatah lagi bila melalui pertembungan peristiwa tiga serangkai ini. Apa tidaknya, permohonan pinjaman dikatakan meningkat dengan ketara pada Januari 2024, iaitu sebanyak 40 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023. Menurut penganalisis, terdapat kemungkinan keperluan modal bagi menyambut musim perayaan yang bakal tiba mendorong peminjam yang berpotensi membuat pinjaman.

Perlu diketahui, antara amalan pengurusan kewangan yang bijak untuk musim perayaan adalah mengelak daripada membuat hutang baharu. Prinsipnya mudah: kepuasan jangka pendek tidak harus didanai oleh hutang yang akan melibatkan komitmen kewangan jangka panjang. Kalau pun perlu berhutang, pastikan hutang baharu ini (contoh, kad kredit) boleh dibayar semuanya sebelum tarikh akhir, atau (contoh, pinjaman peribadi, sewa beli) tidak menaikkan jumlah ansuran bulanan anda melebihi 40 peratus daripada gaji atau pendapatan bersih.

5. Rancang perbelanjaan

Akhir sekali ialah masa untuk menjadi tamu di kedai, arked dan pusat beli-belah (termasuk platform membeli-belah dalam talian) untuk 'berburu'.

Di sinilah, 'keimanan' kita akan diuji (jangan terpesong daripada pelan perbelanjaan) termasuk kecekapan kita mencari tawaran harga dan pilihan yang terbaik.

Gunakan juga insentif dan bantuan seperti bantuan awal persekolahan (RM150 setiap pelajar) dengan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran dan persekolahan.

Mengamalkan lima langkah S.A.H.U.R. anda bukan sahaja dapat mencapai ketenangan minda bagi menentukan hala tuju perbelanjaan yang betul, anda juga dapat berjimat sehingga ada lebihan wang dan bukan defisit pada akhir musim perayaan.

Penulis Ketua Cawangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kuala Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 6:30 AM