Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Umat Islam daripada seantero pelosok dunia berebut-rebut ganjaran pahala sebanyak yang mungkin pada Ramadan ini. Ringkasnya Ramadan boleh diibaratkan sebagai bulan amal ibadah bagi seluruh Muslimin. Hal ini menjadi amalan dan budaya seluruh umat Islam, termasuk di negara kita sejak turun-temurun.

Namun, perubahan zaman menyaksikan kini tradisi sambutan Ramadan lebih dilihat sebagai bulan pesta boros. Kita terlalu memikirkan apa hendak beli mahupun masak untuk juadah berbuka dan terus fokus kepada aspek perhiasan rumah dan persiapan diri menjelang Aidilfitri berbanding pengisian kerohanian yang sepatutnya diutamakan sepanjang bulan mulia ini.

Perbelanjaan secara boros mengikut nafsu pada setiap Ramadan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pemborosan dan pembaziran yang berlaku ketika menyediakan juadah berbuka puasa dan ketika ‘menikmati’ aktiviti jualan murah yang tumbuh bagai cendawan pada setiap musim perayaan besar seperti Aidilfitri ini.

Walaupun Islam dengan jelas memperincikan kesederhanaan yang perlu ada ketika berbelanja baik dalam aspek pemakanan mahupun perbelanjaan harian seperti pembelian barangan, namun ia masih gagal untuk kita hayati bersama secara mendalam pada bulan yang sungguh mulia. Maka, berlaku segala jenis pembaziran ketika pembelian juadah berbuka yang selalunya dibeli mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut keperluan.

Akibatnya sejumlah besar hidangan berbuka yang dibeli dibuang begitu saja dek tidak mampu dan larat lagi untuk dijamah ataupun dihabiskan ketika berbuka.

Buktinya laporan akhbar baru-baru ini mendedahkan hampir 1,000 tan makanan dibuang rakyat kita sehari pada bulan puasa iaitu jumlah makanan ini dikatakan boleh menampung tujuh juta orang.

Ini satu statistik yang boleh dikatakan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan seharian kita pada setiap Ramadan. Persoalannya sampai bila kita mahu terus membazir seperti ini?

Pembaziran makanan ini cukup menyedihkan apabila kita membandingkan dengan kesusahan dan kebuluran rakyat di negara luar yang begitu miskin dan susah untuk memperoleh makanan walaupun sekali untuk sehari.

Kita terus leka dan lalai tanpa mengambil iktibar dengan kebuluran dan kesusahan yang dialami rakyat di negara lain. Malah, lebih menyedihkan tatkala ada sekumpulan manusia mati kerana tidak dapat makan, rakyat kita mati akibat terlebih makan kerana menghidapi pelbagai penyakit yang kritikal berpunca daripada makanan.

Begitu juga halnya dengan pembelian pelbagai jenis peralatan dan perkakasan rumah sempena menyambut Aidilfitri lantaran tergoda dengan aktiviti jualan murah dan runtuh yang sudah pun mula berlangsung di seluruh negara sejak sebelum Ramadan lagi.

Masyarakat kita seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada budaya keperluan dan kewajipan untuk menukar segala jenis peralatan rumah seperti langsir dan perabot setiap kali menjelang musim perayaan walaupun masih elok dan boleh digunakan dengan baik.

Ini terbukti apabila walaupun baru memasuki fasa awal Ramadan, kita sudah pun dapat lihat keghairahan rakyat kita keluar berpusu-pusu untuk membeli-belah bagi persiapan menyambut Aidilfitri.

Akibatnya ramai kalangan kita terpaksa meminjam dan sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pembaziran. Akhirnya ramai yang terjerumus ke lembah hutang yang serius.

Sewajarnya rakyat kita menginsafi situasi ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan kita. Pada saat kritikal sebegini kita sepatutnya berbelanja secara berhemah.

Maka kita seharusnya berubah dan mengubah gaya hidup mengikut tuntutan semasa dan peredaran zaman. Mana mungkin kita terus menikmati gaya hidup yang mewah dalam situasi seperti ini.

Apapun Ramadan yang dikasihi dan disayangi baru saja memasuki fasa pertama, justeru, belum terlewat untuk kita insaf dan memperbetulkan keadaan ini.

Mari kita mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara luar seterusnya mensyukuri segala nikmat yang kita kecapi. Penuhkan Ramadan dengan amal ibadat dan bukan pembaziran yang tidak berfaedah. Ringkasnya biar Ramadan terus kekal sebagai bulan amal ibadah dan bukan bulan boros umat Islam.

Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 8:07 AM