GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Mohamed Shakil Hameed

Insya-Allah, jika tidak ada aral, esok kita mula berpuasa. Alhamdulillah, tahun ini kita dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam keadaan yang lebih normal berbanding tahun lalu.

Keputusan kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri membenarkan aktiviti Ramadan seperti solat Tarawih, majlis berbuka puasa serta operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri cukup melegakan khalayak.

Ia berikutan, pada tahun lalu kita terpaksa berkurung di rumah kerana ancaman wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun perlu diingat, ini bukan lesen untuk kita membazir dan berbelanja tanpa kawalan.

Ironinya, krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara sejak setahun lalu menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan secara total.

Kedudukan ekonomi rakyat secara umumnya cukup meruncing dan mendesak. Ramai yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup serta semakin sukar untuk menampung keperluan harian seisi keluarga.

Malah, ramai juga yang terperangkap dalam keterhutangan yang serius, misalnya laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 Bank Negara menunjukkan hutang isi rumah ialah 87.5 peratus berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Komponen hutang isi rumah ini termasuk pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi serta kad kredit.

Dalam pada itu, statistik kes muflis yang direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2015 hingga 2019 pula ialah 299,186. Jadi, jelas kedudukan kewangan rakyat tidak begitu stabil dan semakin serius sejak wabak Covid-19.

Namun kita khuatir trend perbelanjaan yang tidak terkawal dan keinginan untuk berbelanja melebihi kemampuan akan mengeruhkan lagi kedudukan. Ironinya, masih ramai yang tidak mengukur baju di badan sendiri atau lupa untuk berjimat sebelum habis.

Kita tidak mahu ketibaan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini mengeruhkan lagi kedudukan kewangan rakyat. Anggota masyarakat perlu sedar sikap kealpaan dan keborosan boleh meningkatkan lagi beban hutang yang lebih serius.

Walaupun pada ketika ini hampir semua sektor ekonomi sudah dibuka, namun pertumbuhan ekonomi masih terlalu perlahan dan berada di peringkat awal.

Pada hakikatnya, proses dan tempoh pemulihan ekonomi rakyat dan negara pasti akan mengambil masa yang lebih lama, terutama jika ancaman wabak ini masih berterusan.

Oleh itu, ini adalah satu tempoh masa yang cukup kritikal dalam aspek ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat.

Sepatutnya pada tahap ini, kita mengamalkan budaya penjimatan, penabungan dan perbelanjaan secara berhemat. Ini bukan masanya untuk kita berjoli atau berbelanja sakan dengan alasan ingin melepaskan geram tidak dapat menyambut Ramadan dan Aidifitri seperti biasa pada tahun lalu. Antara tip yang boleh diamalkan ketika menyambut Ramadan ialah belanja berhemah ketika membeli juadah berbuka puasa.

Boleh dikatakan hampir setiap tahun kita didedahkan pembaziran yang berlaku ketika umat Islam membeli juadah berbuka. Justeru, elakkan membeli juadah mengikut nafsu sebaliknya hanya membeli mengikut keperluan seisi keluarga.

Pada masa sama, jika tidak berkemampuan, elak berbuka puasa di hotel. Walaupun tahun ini kita sudah boleh berbuka puasa di hotel, biar beringat dan jangan sesekali mudah terpengaruh dengan promosi bufet Ramadan.

Manakala bagi yang ada ruang dan kesempatan, masak sendiri juadah yang diperlukan. Dengan cara ini, kita bukan saja berjimat serta elak pembaziran, kita juga dapat menyediakan makanan yang bersih dan berkhasiat kepada keluarga di sepanjang Ramadan.

Bagi yang bujang pula, gunakan kemudahan agihan juadah berbuka yang disediakan masjid dan surau di seluruh negara. Tidak perlu segan dan malu dalam hal ini.

Dalam pada itu, berbelanja juga secara berhemah untuk persiapan menyambut Aidilfitri. Kebiasaannya masyarakat akan mula membuat persiapan dengan aktiviti pembelian pelbagai keperluan seperti pakaian baharu dan kuih raya sejak awal Ramadan.

Antara tip penting ialah fikir masak-masak sebelum berbelanja, seelok-eloknya fokus kepada keperluan dan bukan kemahuan. Dalam hal ini, sediakan senarai keperluan dan kekal berdisiplin dalam menuruti senarai itu tanpa terpengaruh pelbagai promosi jualan kelak.

Anggota masyarakat juga wajar menggunakan kuasa sebagai pengguna untuk membuat perbandingan harga dan kualiti dari beberapa orang peniaga atau penjual sebelum memutuskan untuk membelinya. Ini termasuk urus niaga pembelian secara dalam talian.

Kita percaya peniaga akan berlumba-lumba membuat promosi jualan pada tahun ini, justeru gunakan kebijaksanaan kita dalam memilih dan membeli mengikut kemampuan kewangan diri dan keluarga.

Pada hakikatnya, krisis kesihatan dan ekonomi yang dicetuskan wabak Covid-19 belum pulih sepenuhnya dan dijangka mengambil masa lebih lama daripada apa yang diramalkan.

Justeru, hanya yang bijak menguruskan perbelanjaan dan kewangan diri mampu terus bertahan dan berdikari. Tuntasnya, ini bukan lagi zaman biar papa asal bergaya. Sambutlah Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan secara sederhana.

Tiada gunanya kita menghabiskan semua duit pada Ramadan dan Aidilfitri sehingga terpaksa berhutang pula untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas itu.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:03 AM