KITA disaran bersedia hadapi cabaran perbelanjaan selepas ‘bersilat’ ketika sesi buka sekolah, sambutan Aidilfitri.
KITA disaran bersedia hadapi cabaran perbelanjaan selepas ‘bersilat’ ketika sesi buka sekolah, sambutan Aidilfitri.
Muhamaad Razis Ismail

PADA awal bulan lalu ibu bapa bergelut menyediakan segala keperluan untuk anak-anak memulakan sesi baharu persekolahan 2024.

Kurang sebulan selepas itu, sekali lagi ibu bapa berdepan situasi yang hampir sama iaitu menyediakan kelengkapan untuk Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Situasi ini menjadi lebih membebankan apabila rata-rata barang keperluan di pasaran meningkat mendadak sehingga membebankan ibu bapa.

Itu belum lagi dikira komitmen bulanan yang perlu dilangsaikan termasuk bil utiliti, barang keperluan keluarga, bayaran pinjaman bank dan sebagainya.

Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK), Profesor Madya Dr Azwan Abdullah berkata, keadaan ini memberi tekanan berterusan membabitkan perbelanjaan ibu bapa sekiranya tiada perancangan lebih awal dibuat.

Katanya, lebih membimbangkan keadaan mungkin menjadi lebih parah selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Dalam situasi sekarang sememangnya harga barangan meningkat dan kita tidak boleh salahkan sepenuhnya kepada peniaga kerana barang yang dijual berdasarkan kos meningkat yang turut dihadapi penjual.

"Perlu diketahui dalam konteks ekonomi, matlamat penjual adalah memaksimumkan keuntungan manakala pembeli ingin memaksimumkan kepuasan dengan nilai barangan yang dibeli.

"Oleh itu, sebagai pengguna, kita perlu bijak dalam menilai dalam membuat keputusan untuk membeli atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya, pengguna terutama ibu bapa perlu bersedia lebih awal dengan menyediakan peruntukan atau tabungan khas untuk berdepan musim yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

"Biasanya bajet ini dibuat sebelum memasuki tahun baharu dengan menyediakan peruntukan khas untuk berdepan dengan sesi persekolahan anak dan sambutan Aidilfitri yang pastinya akan menyebabkan perbelanjaan meningkat.

"Apabila kita sudah membuat perancangan awal, kita dapat tentukan keutamaan dan keinginan yang disesuaikan dengan kantung kewangan yang sedia ada," katanya.

Mengulas lanjut, dalam membuat keputusan membeli, pengguna perlu berfikir berkali-kali untuk memastikan pembelian dibuat berdasarkan keperluan dan bukannya kehendak semata-mata. Hal ini penting bagi mengelakkan berlakunya gejala kemiskinan situasi dalam kalangan pengguna.

"Sebagai contoh untuk pembelian barang keperluan Aidilfitri, tentukan bajet untuk pakaian, makanan dan sebagainya, Jika ada barang yang masih boleh digunakan, eloklah tidak membazir beli yang baharu.

"Jika sebelum ini kita beli dua pasang pakaian untuk anak, mungkin pada tahun ini boleh kecilkan bajet dengan menyediakan sepasang seorang," katanya.

IBU bapa membeli barang keperluan sekolah untuk sesi persekolahan baru-baru ini.
IBU bapa membeli barang keperluan sekolah untuk sesi persekolahan baru-baru ini.

Beliau berkata, tabungan awal penting supaya dapat menjadi benteng penyerap kepada ketidakseimbangan kantung kewangan apabila tiba musim perayaan.

"Apabila persediaan awal dibuat, kita sudah dapat menyesuaikan dengan suasana kekangan kewangan dengan tabungan sedia ada," katanya.

Jelasnya, perkara yang perlu dipertimbangkan ketika berbelanja persediaan Aidilfitri adalah sumber kewangan selepas sambutan hari raya atau pasca raya.

"Dibimbangi, pengguna yang berdepan masalah kewangan boleh terjerumus ke dalam kancah hutang sama ada dengan kawan, saudara mara atau lebih buruk dengan 'Along' yang boleh mengakibatkan kesan lebih buruk.

"Memang betul kita raya setahun sekali, tapi dalam berbelanja kita perlu fikir akibatnya sekiranya gagal mengawalnya dengan baik," katanya.

Pada masa sama, persediaan untuk berdepan situasi kewangan kecemasan juga diperlukan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Sebagai contoh, sekiranya pada Aidilfitri, ada dalam kalangan ahli keluarga dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan atau kereta rosak, tabungan kecemasan seperti ini amat diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Katanya, dalam berbelanja pengguna perlu bijak, bersikap proaktif dan sentiasa buat muhasabah kewangan dengan meninjau terlebih dahulu keperluan perbelanjaan untuk mengelakkan pembelian panik yang tidak dirancang sekali gus menjejaskan kantung kewangan.

"Buat pembelian bijak dengan memastikan ia memberi nilai kepada kewangan kita yang boleh manfaat kepada lebih ramai orang.

"Pada musim perayaan ini, banyak kedai yang menawarkan promosi, oleh itu pengguna perlu membuat penilaian maksimum sama ada ia memberi nilai atau sebaliknya," katanya.

Pada masa sama, sebagai pengguna juga perlu kreatif dan tidak bergantung kepada satu punca pendapatan sahaja dengan mencipta sumber pendapatan sampingan.

Mungkin dengan melaksanakan aktiviti keusahawanan kendiri seperti jualan barangan dalam talian bagi meningkatkan sumber kewangan bagi menghadapi musim perayaan ini.

"Mungkin ada yang boleh buat kuih atau ambil tempahan pakaian dan dijual secara dalam talian untuk meningkatkan pendapatan serta menyokong kewangan semasa," katanya.

Jelasnya, pengguna perlu membuat perancangan yang holistik bagi melicinkan lagi proses pengurusan kewangan keluarga bukan setakat untuk menyambut Aidilfitri saja.

"Dalam menguruskan kewangan di musim perayaan kita perlu fikir secara kritis dan menyeluruh supaya dapat bergembira pada ketika dan selepas sambutan Aidilfitri dengan lebih bermakna, mensyukuri nikmat yang ada dengan memanfaatkan peluang yang tersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 7:01 AM