Setiap langkah dalam episod kehidupan pastinya akan dilalui dengan seribu satu ujian dan cabaran.
Setiap langkah dalam episod kehidupan pastinya akan dilalui dengan seribu satu ujian dan cabaran.
Bersama Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Dalam menghadapi pelbagai situasi dan cabaran kehidupan, seorang Muslim dituntut sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Setiap langkah dalam episod kehidupan pastinya akan dilalui dengan seribu satu ujian dan cabaran. Allah SWT pasti menguji setiap hamba-Nya, bahkan ujian inilah yang menjadi neraca kepada keimanan seseorang. Tiada iman tanpa ujian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Surah al-Ankabut, ayat 1)

Allah SWT juga menganjurkan setiap Muslim sentiasa membuat persiapan rapi dalam kehidupannya sama ada menghadapi setiap hari yang mendatang, apatah lagi menghadapi kematian. Apabila seseorang itu memulakan kehidupan sehariannya, setiap kali jugalah dia sentiasa akan berhadapan ujian daripada Allah SWT. Ujian ini akan datang sama ada dalam bentuk kebaikan ataupun keburukan. Kedua-duanya mestilah dianggap sebagai ujian daripada Allah. Perkara ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya', ayat 35)

Tidak semestinya perkara buruk sahaja dianggap ujian dalam hidup, tetapi perkara yang baik juga tetap akan menjadi ujian daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Sekarang kita berada dalam bulan Rejab. Bermakna, tidak sampai dua bulan lagi memasuki Ramadan. Daripada segi ibadat puasa, ramai daripada kalangan umat Islam pada hari ini telah memulakan dengan berpuasa sunat pada Rejab. Seterusnya, akan disambung dengan berpuasa pada Syaaban sebelum memasuki Ramadan. Latihan berpuasa sejak Rejab ini akan menjadi medan latihan seorang Muslim untuk menghadapi satu ibadat yang besar iaitu berpuasa pada Ramadan. Latihan seperti ini sangat penting kerana berpuasa adalah ibadat yang menuntut kekuatan fizikal dan mental.

Daripada segi fizikal, ketahanan untuk menahan diri daripada makan dan minum atau berada dalam keadaan perut kosong sepanjang hari pastinya menuntut kesabaran tinggi. Begitu juga dengan mengawal hawa nafsu daripada melakukan perkar maksiat dan berdosa. Lantaran itu, umat Islam di seluruh dunia telah memulakan secara beransur-ansur untuk mula berpuasa bagi menghadapi puasa wajib pada Ramadan.

Untuk menghadapi suasana ataupun situasi yang menuntut kesabaran dan kekuatan fizikal mestilah didahului dengan persiapan dan latihan yang cukup. Tujuannya agar ibadat yang dilakukan nanti mampu dilaksanakan dengan baik tanpa gangguan atau halangan. Maka, umat Islam dijanjikan ganjaran besar dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan. Rasulullah SAW bersabda: "Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperoleh dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya". (Hadis Riwayat Tirmizi) Kegembiraan yang dicapai oleh setiap orang berpuasa itu sama ada semasa berbuka puasa ataupun janji Allah SWT pada hari akhirat nanti menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk meneruskan ibadat puasa.

Dalam konteks persiapan untuk menghadapi Ramadan bukanlah semata-mata perlukan persedian dan latihan berpuasa. Namun, keperluan pada masa kini juga menuntut agar persiapan dari segi kewangan dan keperluan harian yang lain juga sangat penting. Dalam hal ini, setiap Muslim dituntut agar bersederhana dalam berbelanja. Namun, kekangan kewangan dan cabaran kehidupan pada hari ini menuntut supaya persiapan juga dibuat dengan rapi.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang memahami konsep bersederhana di dalam apa jua aspek kehidupan, mestilah bijak untuk menguruskan keperluan kewangan terutama apabila menghadapi Ramadan. Termasuklah juga persiapan yang biasanya dibuat untuk menghadapi perayaan selepas Ramadan. Dalam konteks ini, konsep kesederhanaan adalah sangat penting dititikberatkan. Bukanlah bermakna tidak boleh untuk membelanjakan jumlah kos yang tinggi semata-mata untuk mencapai tahap ibadat yang lebih sempurna, namun keperluan lain juga mestilah diambil kira.

Ramadan pada tahun ini dijangka berkebetulan dengan permulaan sesi persekolahan yang baharu bagi 2023. Maka, semestinyalah setiap keluarga memerlukan perbelanjaan lebih besar menghadapi Ramadan, musim baharu persekolahan dan musim perayaan. Maka, sangat perlu setiap keluarga merancang dengan baik terutama kewangan supaya dapat meneruskan ibadat puasa dan perayaan dengan sempurna dan juga persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan yang baharu juga dapat dihadapi dengan lancar.

Dalam beribadat, umat Islam juga dianjurkan sentiasa melakukan persediaan rapi agar ibadat menjadi sempurna dan diterima Allah SWT. Persediaan menghadapi sesuatu perkara sangat penting termasuk hal berkaitan peperangan. Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 7:00 AM