NEVES Pretty Ugly
NEVES Pretty Ugly
Wan Asrudi Wan Hasan


LATIN cukup sinonim kepada negara di benua Amerika malah kehebatan mereka khususnya di Selatan diiktiraf sebagai antara skuad 'gergasi' bola sepak dunia selain seni muziknya.

Tak dinafikan irama Latin mempunyai gaya lenggok dan identiti tersendiri sehingga mudah dihadam dalam kelompok peminat muzik di peringkat global.

Sehingga ada di antara karyawan seni yang memilih irama ini selain mengadunkannya mengikut acuan dan identiti yang dimahukan mereka.

Ambil contoh bintang irama Latin seperti Enrique Iglesias, Ricky Martin, Jennifer Lopez atau J Lo dan ramai lagi yang mempunyai pengikut kuat seantero dunia.

Mereka antara beberapa selebriti yang mencipta nama menerusi lagu-lagu Latin sehingga berjaya melakar sejarah dalam beberapa anugerah membabitkan genre terbabit.

Di Malaysia sendiri, irama Latin atau pemilihan pop Latin didendangkan oleh beberapa artis tempatan mendapat tempat dan cukup diminati peminat muzik.

Sekadar memberikan beberapa contoh seperti kumpulan Phyne Ballerz yang pernah popular menerusi lagu berjudul Vida iaitu versi bahasa Melayu kepada lagu yang pernah dipopularkan oleh Son By Four, Purest of Pain.

Lagu yang mencetus fenomena tersendiri ketika drama rantaian dari Amerika Selatan yang disiarkan di TV cukup diminati ramai.

Sebut mengenai irama Latin penulis mempunyai seorang kenalan yang cukup popular suatu masa dulu dek kebolehan menyanyi dalam pelbagai bahasa.

Kemampuan Zainal Cugat atau nama sebenarnya Zainal Abidin Yassin menyanyi dalam lapan bahasa seperti Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Brazil, Jepun dan Tagalog (Filipina) sukar ditandingi.

Lagu pop dan malar segar bagaikan 'makanan' buatnya malah pernah diberikan jolokan penyanyi lagu Sepanyol pertama negara.

Bakatnya mula bersinar selepas menjuarai Talentime di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur dua tahun berturut-turut bermula 1954.

Lagu Vollare yang dipopularkan Dean Martin dan Come Closer To Me oleh Nat King Cole membuktikan kehebatan Zainal Cugat yang diiktiraf satu-satunya penyanyi Melayu berkebolehan menyanyikan lagu Latin.

Penyanyi veteran asal Kampung Baru, Kuala Lumpur itu cukup popular di kelab malam sekitar 1960-an.

Penulis juga berkesempatan menyaksikan beberapa persembahannya yang unik dan menghiburkan sekalipun sudah berusia 70-an ketika itu.

Dalam kalangan rakan artis Zainal Cugat pula dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja dan suka menolong rakannya menyebabkan beliau cukup disenangi ramai.

Sikapnya yang ramah membuatkan beliau mudah didekati.

Al-Fatihah buat arwah Zainal Cugat yang meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada Mac 2009.

Sekalipun lebih sedekad meninggalkan kita bakat seni Zainal Cugat masih disebut-sebut dalam kalangan peminat irama Latin.

Bakat seni Zainal Cugat turut diwarisi tiga anaknya, Raizan, Shahrizal dan Mohd Razif.

Raizan atau Neves adalah vokalis kumpulan Pretty Ugly yang popular dengan lagu Diari Seorang Wanita, Shahrizal berkebolehan menyanyi dan bermain gitar pernah mengadakan persembahan bersama bapanya dan kumpulan Lost Latinos.

Sementara, Razif pula mempunyai potensi mewarisi bakatnya menyanyikan lagu berentak Latin serta berkebolehan bermain gitar.

Manakala kumpulan The Cugat yang diambil sempena nama arwah bapa mereka aktif menjayakan beberapa persembahan. Kumpulan ini terdiri daripada ahli keluarga Neves dan Jay.

Sekalipun irama Latin tidak begitu popular dan mencetus fenomena seperti irama tertentu sejak kebelakangan ini, namun penulis yakin ia sentiasa mempunyai tempat di kalangan peminat muzik tanah air.

Dek keunikan dan identiti yang dimiliki membuatkan irama Latin mampu diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 5:59 AM