Dolla
Dolla
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Dolla terus menjadi nombor satu sohor kini untuk muzik di YouTube apabila muzik video (MV) lagu baharu mereka berjudul CLASSIC mendapat tontonan lebih 837,000 dalam tempoh sembilan hari.

Anggotanya Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby yang baru melancarkan album sulung berjudul New Classic berkata, mereka memang sasarkan untuk menembusi pasaran muzik luar negara menerusi pertaruhan itu.

"Sekarang masa yang terbaik untuk Dolla kembangkan nama ke negara jiran sekitar Asia Tenggara. Harapnya dengan album ini, kami dapat dan luaskan muzik kami di seberang," katanya.

Memuatkan hampir semua lagu Inggeris, Dolla percaya penerimaan daripada peminat luar pasti akan lebih berganda dengan pelancaran lagu-lagu Inggeris mereka.

Namun pada masa sama, mereka berazam akan terus kekalkan identiti sebagai kumpulan pop Malaysia atau M-Pop walaupun sudah menawan pasaran luar nanti.

"Ini langkah terbaik untuk perkenalkan siapa kami kepada orang luar Malaysia dengan lagu Inggeris. Tapi tak bermakna akan berterusan buat lagu Inggeris saja. Kami tetap akan hasilkan lagu Melayu.

"Kami akan teguh perjuangkan nama kami sebagai artis pop Malaysia. Kami pun bertutur bahasa Melayu dan kami sangat bangga terhadapnya. Cuma memang sekarang nak bagi negara jiran lain kenal Dolla.

"Dengan itu, mereka akan mendengar lagu-lagu lain kami serta mengenali budaya kita," katanya pada pelancaran album mereka, baru-baru ini.

Berdasarkan komen pada MV CLASSIC itu, lagu terbabit mendapat reaksi luar biasa bukan saja peminat tempatan bahkan dari Indonesia dan beberapa negara Latin.

Lagu terbabit mendapat sentuhan penerbit muzik terkenal Korea Selatan iaitu Hyun Shik yang pernah mencipta lagu untuk Justin Bieber, Super Junior, Girls' Generation, NCT dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 3:02 PM