Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla terus hangat apabila tular dengan video menari berdurasi 15 saat dalam single terbaharu mereka, Damelo di Billboard WOLO, Bukit Bintang.

Diianggotai empat wanita iaitu Sabronzo, Syasya, Tabby dan Angel, Dolla semakin kukuh memahat nama dan  bakat meskipun mula aktif dalam karier nyanyian sejak 2019 lalu.

Pada pelancaran single Damelo baru-baru ini, Tabby berkata, Dolla semamangnya suka bereksperimentasi dengan perkara baharu, selain mahu menghiburkan peminat tempatan dan antarabangsa termasuk dari Amerika Latin.

"Kami tampil dengan single Damelo yang khusus buat peminat Dolla di Amerika Latin kerana mereka sudah lama mengenali kami dengan single Impikan sebelum ini.

"Mereka (peminat dari Amerika Latin) tetap menyukai walaupun liriknya dalam bahasa Malaysia. Jadi, kami hasilkan lagu Damelo sebagai penghargaan untuk mereka," katanya.

Video Dolla menari di hadapan Billboard WOLO Bukit Bintang di lintasan pejalan kaki itu juga adalah salah satu rangka promosi bagi menghangatkan lagi kemunculan single Damelo.

Difahamkan juga, inisiatif itu daripada Dolla sendiri untuk meuar-uarkan sekali gus menzahirkan rasa bangga mereka apabila muzik video Damelo ditayangkan di 'billboard' kawasan Bukit Bintang itu yang menjadi tumpuan ramai serta pelancong luar negara.

Dolla yang popular dengan imej seksi, hingga kini sudah memenangi pelbagai anugerah, termasuk trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 (ABPBH35) pada 21 Julai lalu.

Sehubungan itu, single Damelo yang menampilkan Hard Lights juga masih kekal 'trending' menerusi muzik videonya di YouTube Music Malaysja sejak dilancarkan awal bulan ini.

Manakala, di Spotify pula Damelo berjaya menduduki 'playlist New Music Friday' di negara seperti Korea Selatan, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 8:23 PM