MUZIK folk daripada Bob Dylan dan Crosby, Stills, Nash & Young banyak mempengaruhi muzik M Nasir hingga hari ini.
MUZIK folk daripada Bob Dylan dan Crosby, Stills, Nash & Young banyak mempengaruhi muzik M Nasir hingga hari ini.


Dalam industri hiburan tempatan hari ini, individu paling layak digelar legenda ialah Datuk M Nasir.

Dalam tempoh 40 tahun kerjaya seninya, M Nasir berjaya sebagai penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, penerbit album, pelukis dan pernah mengarah filem.

Setahu saya, beliau cuma tidak pernah menjadi pengacara saja.

M Nasir juga antara individu yang dihormati hampir semua penggiat seni tempatan. Baik yang aktif di arus perdana atau insan seni yang mementingkan unsur seni dan menolak gosip hiburan.

Dalam erti kata lain, seni yang diketengahkan M Nasir terutama membabitkan lagu dan muzik ciptaannya diterima ramai.

Sehubungan itu, program Magnum Opus: 40 Tahun M Nasir - Kembara ke Solo anjuran kelab peminatnya, Sahabat M Nasir (SMN) di Auditorium Mini MaTic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini sangat menarik.

Ia memberi peluang kepada hampir 100 peminatnya berdiskusi dan berkongsi ilmu dengan M Nasir mengenai pembabitannya dalam bidang muzik bermula dengan album solo berjudul Untuk Peminat Seni pada 1979, bersama Kembara (1981 - 1986) hinggalah kembali merakamkan album solo berjudul S.O.L.O pada 1989.

Selain M Nasir, panel terdiri daripada penulis lirik, Hairul Anuar Harun, pengasas Tempatan Fest dan bekas pengarang majalah R.O.T.T.W Seir Rashid serta pengarang dan kartunis majalah Gila-Gila Ronasina selaku moderator.

Tentu ramai yang bersetuju, sepanjang kerjayanya M Nasir lebih menyerlah dalam bidang muzik. Secara peribadi, saya berasakan M Nasir cukup ‘versatile’ dalam bidang itu.

Selain bersama Kembara dan menaikkan nama Alleycats dan The Flybaits dengan lagu pop ciptaannya, M Nasir juga memainkan peranan penting ketika era kegemilangan muzik rock pada era 1980-an.

Beliaulah individu yang memperkenalkan Search hingga menjadi band rock nombor satu negara. M Nasir juga yang menerbit album dan mencipta lagu rock popular untuk Wings, Bloodshed, BPR, Rahim Maarof, Ella, Hattan, Ariwatan dan banyak lagi.

Pendek kata, ketika itu hampir semua band rock mahu mendapatkan sentuhan berbisa M Nasir.

Dalam program itu, M Nasir turut menceritakan pengaruh awalnya dalam muzik ketika masih menetap di Singapura iaitu lebih kepada lagu folk daripada Bob Dylan.

“Pengaruh banyak datang daripada abang saya yang banyak membeli rekod penyanyi luar. Saya kemudian diperkenalkan dengan Crosby, Stills, Nash & Young. Mereka menjana minat saya untuk menghasilkan lagu berunsur kerakyatan dan marhaen seperti apa yang saya lakukan bersama Kembara,” katanya yang turut mengambil Queen, Pink Floyd, Bob Marley dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebagai rujukan.

“Waktu itu juga kebanyakan anak muda lain lebih meminati muzik heavy rock daripada Deep Purple dan sebagainya, tetapi abang saya kemudian memperkenalkan Led Zeppelin kepada saya,” katanya.

Program ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mengenai albumnya bersama Kembara, pusingan kedua pula mereka membincangkan mengenai album S.O.L.O, manakala pada pusingan ketiga ialah sesi soal jawab bersama peminat.

Malangnya, akibat kekangan masa, hanya tiga soalan daripada penonton dapat dijawab.

Antara yang diperkatakan M Nasir dalam program itu ialah mengenai muzik Melayu yang dikatakan dekat dengannya, terutama dalam album solonya seperti S.O.L.O, Saudagar Mimpi, Canggung Mendonan dan Phoenix Bangkit.

“Lagu Melayu banyak dipengaruhi muzik Amerika Latin dan Hindi. Muzik Hindi juga pengaruhnya banyak diambil daripada muzik Amerika Latin. Jadi, sebenarnya tidak jelas di mana muzik Melayu itu sebenarnya,” katanya.

Pada penghujung program, M Nasir turut membuat persembahan secara akustik. Beliau dibantu pemain bass berpengalaman, Yan dan Johan Haron yang juga Presiden SMN bermain cajon.

Apa yang menarik, mereka sepatutnya membawakan dua lagu saja, tetapi M Nasir cukup ‘sporting’ dan penonton pada petang itu puas apabila sifu ini ‘belanja’ sembilan lagu!

Lagu yang dimainkan secara spontan itu ialah Impian Anak Jalanan, Rajawali Terbang Tinggi, Sesat Di Kuala Lumpur, Mustika, Ekspres Rakyat, Mentera Semerah Padi, Kupu-Kupu, Kepada Mu Kekasih dan Hati Emas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 12:55 AM