FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Dr Nur Hazrul Mohd Salleh

Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun setelah penurunannya secara sekali gus dari Luh Mahfuz. Sejarah penurunan al-Quran sangat besar maknanya bagi setiap Muslim kerana ia kitab suci umat Islam. Bahkan, al-Quran adalah perlembagaan yang terkandung di dalamnya segala perkara berkaitan agama Islam. Umat Islam sangat menjaga kesucian al-Quran dan mempertahankannya daripada sebarang penghinaan kerana perbuatan menghina al-Quran bermakna menghina Islam.

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan seperti dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9)

Allah SWT berfirman: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Perkaitan di antara bulan Ramadan dengan al-Quran sangat rapat. Oleh itu, antara sunah Rasulullah SAW apabila tibanya Ramadan ialah membaca dan tadarus al-Quran. Baginda bertadarus al-Quran dengan malaikat Jibril (AS) berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah terutama pada bulan Ramadan ketika malaikat Jibril (AS) menemuinya, dan adalah Jibril mendatanginya setiap malam di bulan Ramadan, di mana Jibril bertadarus (mengajarkan) al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW orang yang paling lembut daripada angin yang berhembus." (Hadis Riwayat Bukhari)

Ibadah puasa akan mendapat ganjaran pahala yang sangat besar. Gandaan pahala yang biasa ialah sepuluh kali ganda. Manakala, puasa pula akan mendapat pahala yang tidak terkira gandaannya. Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam akan digandakan. Sesuatu kebaikan setanding dengan 10 kebaikan yang seumpamanya, sehingga ia akan digandakan sebanyak 700 gandaan. Allah SWT berfirman: "Melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasan untuknya. Seseorang yang berpuasa itu meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding bau kasturi." (Hadis Riwayat Muslim)

Manakala, membaca al-Quran adalah tuntutan yang sangat besar ganjaran pahalanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di Hari Kiamat nanti memberi syafaat kepada pembacanya" - (Hadis Riwayat Muslim). Adapun ganjarannya, disebutkan: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakan (Alif-Lam-Mim) itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Pada bulan mulia ini, di samping membaca dan tadarus al-Quran kita hendaklah melangkah ke tahap seterusnya iaitu memahami al-Quran. Untuk memahami al-Quran bagi yang tidak memahami bahasa Arab adalah dengan membaca terjemahan al-Quran sebagai permulaan. Untuk lebih memahami dan mampu tadabbur makna ayat al-Quran, hendaklah membaca kitab tafsir al-Quran. Di pasaran banyak terdapat terjemahan kitab tafsir. Setiap Ramadan kita perlu melangkah maju ke hadapan untuk lebih memahami al-Quran agar dapat menghayati dan melaksanakan kandungannya.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Allah SWT menjelaskan dalam dua firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya" - (Surah al-Yusuf, ayat 2). "Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya." (Surah al-Zukhruf, ayat 3)

Imam al-Syatibi, bapa ilmu Maqasid Syar'iyyah berkata: "Syariat adalah dalam bahasa Arab. Maka, sesiapa pun tidak akan memahaminya (syariat) dengan kefahaman yang sebenar kecuali mereka yang memahami bahasa Arab. Sekiranya seseorang itu di peringkat permulaan dalam bahasa Arab, maka dia juga sebenarnya di peringkat permulaan dalam ilmu syariat. Sekiranya seseorang itu di peringkat pertengahan dalam bahasa Arab, maka dia juga sebenarnya di peringkat pertengahan dalam ilmu syariat. Sekiranya dia menguasai sepenuhnya bahasa Arab, maka begitulah juga dia akan memahami sepenuhnya ilmu syariat." (Al-Muwafaqat, 5/52)

Bukan mudah menguasai bahasa Arab. Namun, yang pasti ia sangat penting untuk mempelajarinya demi memahami al-Quran. Ilmu bahasa Arab juga termasuk dalam keperluan utama bidang Pengajian Islam. Secara tidak langsung ia termasuk dalam disiplin pengajian ilmu Islam. Mereka yang mempelajari dan menguasai bahasa Arab sepatutnya berada seiring dengan disiplin ilmu lain untuk memantapkan bidang Pengajian Islam di negara kita.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 7:01 AM