SESEORANG hamba yang berdoa hendaklah memahami maksudnya dan dengan penuh keyakinan  Allah SWT akan memakbulkan doanya.
SESEORANG hamba yang berdoa hendaklah memahami maksudnya dan dengan penuh keyakinan Allah SWT akan memakbulkan doanya.
Mohd Shahrizal Nasir

 Umum mungkin beranggapan bahasa Arab sekadar salah satu daripada bahasa yang wujud di dunia. Namun bagi umat Islam, bahasa Arab pastinya mempunyai kedudukan tersendiri berbeza daripada bahasa lain. Mana mungkin bahasa Arab dapat disamakan dengan bahasa lain sedangkan ia digunakan secara sedar dalam pelaksanaan ibadah yang disyariatkan Islam. Meskipun umat Islam khususnya di Malaysia tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan harian, namun ia tetap digunakan secara harian dalam pelaksanaan ibadah. 

Ini sekali gus membuktikan bahasa Arab perlu diletakkan pada kedudukan yang istimewa, bukan untuk menandingi bahasa ibunda, tetapi ia adalah satu syiar Islam yang tidak boleh sama sekali diketepikan. Kepentingan bahasa Arab dapat dilihat menerusi beberapa fakta termasuk berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya."  (Surah Yusuf, ayat  2). Allah SWT juga berfirman yang maksudnya: "Dan demikianlah Kami menurunkan al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab."  (Surah al-Ra'd, ayat 37)

Kedua-dua ayat tersebut memberi gambaran jelas betapa pentingnya umat Islam mempelajari dan menguasai bahasa Arab bagi memahami ayat-ayat al-Quran. Kitab suci al-Quran adalah panduan kehidupan manusia yang bukan sahaja perlu dibaca, tetapi juga perlu difahami dan diambil inti patinya untuk dijadikan pegangan hidup.

Sebab itu antara syarat diletakkan kepada seseorang bergelar  mujtahid  yang dapat memahami nas agama ialah menguasai bahasa Arab. Memahami maksud ayat-ayat al-Quran menerusi terjemahan pastinya tidak menyamai pemahaman secara langsung daripada nas ayat dalam bahasa Arab.

Seorang sarjana bahasa Arab bernama Ibnu Faris menyatakan:  "Oleh kerana itu, kami menyatakan ilmu bahasa Arab adalah satu ilmu yang mesti dikuasai oleh ahli ilmu (agama), supaya mereka tidak menyeleweng dalam penulisan ataupun fatwa mereka." Penguasaan bahasa Arab yang baik akan dapat membantu seseorang untuk memahami kandungan al-Quran dengan lebih baik.

Selain kepentingan bahasa Arab yang disandarkan kepada al-Quran sebagai Kalamullah, ia juga adalah bahasa yang dituturkan oleh Rasulullah SAW. Baginda yang merupakan idola unggul seluruh umat Islam menggunakan bahasa Arab dalam seluruh urusan kehidupannya. Justeru, penguasaan terhadap bahasa Arab akan dapat membantu umat Islam memahami sabda baginda SAW yang sarat dengan pedoman kehidupan dunia dan akhirat.

Bukanlah bermaksud apabila Rasulullah SAW berbahasa Arab, maka bahasa Arab adalah paling suci di dunia. Hal ini tidak juga menjadi petunjuk bahawa orang Arab itu lebih mulia berbanding orang lain. Namun jika seseorang yang mengatakan dirinya mencintai Rasulullah SAW, maka sepatutnya dia berusaha untuk mempelajari dan menguasai bahasa yang dituturkan oleh Rasulullah SAW. Jika ada orang menzahirkan kecintaannya kepada Rasulullah dengan mengiktiraf capal yang dikatakan mirip capal baginda, mengapa tidak mereka dan kita semua mencintai bahasa Arab yang sudah pasti merupakan bahasa yang dituturkan oleh lisan baginda.

Sesungguhnya dengan menguasai bahasa Arab atau paling kurang berusaha mempelajarinya, kita akan semakin memahami wasiat Rasulullah SAW yang dituturkannya.  Allah SWT mengiktiraf Rasulullah SAW diutuskan kepada umatnya dengan al-Quran dalam bahasa Arab yang jelas. Firman Allah SWT bermaksud:  "Supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada para pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Al-Quran diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata."  (Surah asy-Syu'ara', ayat 194-195)

Pembelajaran bahasa Arab juga dilihat sebagai satu keperluan bagi memperbaiki mutu ibadah yang dilaksanakan umat Islam. Dengan mempelajari bahasa Arab, setiap bacaan dalam ibadah akan mudah difahami. Ini kerana setiap ibadah yang dilakukan oleh umat Islam pasti menggunakan bahasa Arab. Perhatikanlah ibadah yang menjadi teras dalam Rukun Islam seperti kalimah syahadah dan solat sama ada fardu ataupun sunat semuanya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Arab.

Apatah lagi apabila keseluruhan ibadah solat itu adalah satu doa permohonan kepada Allah SWT. Oleh itu, kita perlu faham apa yang didoakan ketika menunaikan solat. Seseorang hamba yang berdoa hendaklah dengan penuh keyakinan Allah SWT akan memakbulkan doanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada jantung hati yang lalai dan alpa."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Bahasa Arab juga tidak asing dalam kehidupan masyarakat Melayu. Bahasa Arab mula masuk ke Alam Melayu sejak kurun pertama Hijrah iaitu selaras dengan penerimaan masyarakat Melayu terhadap Islam. Proses penyebaran Islam oleh pedagang Arab banyak merubah kehidupan masyarakat Melayu ketika itu meliputi aspek kepercayaan, ekonomi, perundangan, pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Akhirnya bahasa Arab berkembang secara aktif sebagai bahasa agama Islam. Pengaruh bahasa Arab juga telah memartabatkan bahasa Melayu sehingga mencapai status bahasa ilmu. Antara pengaruh terbesar bahasa Arab dalam bahasa Melayu ialah peminjaman kosa kata Arab yang seterusnya diterima pakai dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Perkataan seperti aman, berkat, rezeki, awal, akhir, wali, ajal, hidayah,  takwim, tarikh, insan, jasad, arif,  zikir, akad, fakir, fitnah, karib, kerabat, maaf, maruah, musafir, sedekah, tahniah, takziah, umat, waris, ziarah, adat, darjat, ghaib, hak, batil dan banyak lagi adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab.

Semua ini bukti jelas yang menunjukkan bahasa Arab sangat dekat dalam kehidupan umat Islam khususnya di negara ini. Malah tidak salah jika dikatakan bahasa Arab sememangnya menjadi sebahagian daripada elemen yang melatari kehidupan umat Islam di Malaysia. Oleh itu, usaha memperkasakan bahasa Arab perlu dimantapkan lagi bermula daripada peringkat pendidikan di sekolah rendah.

Usaha pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah pada ketika ini perlu terus dipergiatkan dengan pelbagai bentuk penambahbaikan. Ini bagi memastikan bahasa Arab terus difahami sebagai satu bahasa yang sangat penting bagi umat Islam.

Masjid dan surau juga perlu mengadakan kuliah berkaitan pembelajaran bahasa Arab agar orang awam juga berpeluang mempelajari bahasa al-Quran. Jangan memandang bahasa Arab sebagai satu bahasa yang sukar kerana hakikatnya ia adalah medium komunikasi antara kita dengan Allah SWT. Mengapa perlu menjarakkan diri daripada bahasa Arab sedangkan ia bahasa yang telah kita gunakan sejak mula melaksanakan ibadah ketika kecil dahulu.


Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 10:28 AM