AL-QURAN diturunkan dalam bahasa Arab kerana itu adalah bahasa yang difahami masyarakat Arab pada masa itu. FOTO AFP
AL-QURAN diturunkan dalam bahasa Arab kerana itu adalah bahasa yang difahami masyarakat Arab pada masa itu. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Bahasa adalah antara ciri utama yang membezakan manusia dengan makhluk lain, khususnya haiwan. Kebolehan berkomunikasi melalui bahasa adalah asas kehidupan manusia dalam masyarakat.

Dalam konteks ini, bahasa memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan manusia, daripada interaksi sosial hingga kepada pemikiran abstrak dan pemindahan ilmu pengetahuan. Setiap kumpulan manusia mempunyai bahasa sendiri yang mencerminkan identiti dan kebudayaan mereka. Bahasa memainkan peranan penting dalam mengekspresikan nilai, kepercayaan dan tradisi masyarakat. Oleh itu, kepelbagaian bahasa merangkumi kepelbagaian kebudayaan manusia di dunia.

Bahasa adalah alat utama yang digunakan untuk berkomunikasi. Tanpa bahasa yang sesuai, individu akan berdepan kesukaran dalam menyampaikan gagasan, emosi dan keperluan mereka kepada orang lain. Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian, bahasa membolehkan manusia untuk berinteraksi secara berkesan dengan keluarga, rakan sekerja dan masyarakat secara keseluruhannya. Melalui bahasa, manusia dapat merumuskan idea, bertukar fikiran dan menerangkan konsep rumit seperti sains dan matematik.

Hakikatnya, dengan menggunakan bahasa, ilmu pengetahuan dapat dipindahkan dari satu generasi ke generasi.

Apatah lagi dalam era globalisasi, kemahiran berbahasa adalah aset penting dalam persekitaran perniagaan dan ekonomi antarabangsa. Kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa membolehkan individu memperluaskan rangkaian perniagaan dan menjalin hubungan lebih kukuh dengan pelanggan dan rakan kongsi daripada pelbagai latar belakang budaya. Adapun dalam konteks keselamatan dan kesihatan, bahasa memainkan peranan penting dalam penyampaian arahan dan maklumat yang berkaitan dengan keselamatan awam dan kesihatan individu.

Bahasa juga adalah alat penting dalam pembangunan politik dan sosial. Melalui bahasa, manusia dapat menyampaikan pendapat, menyokong atau menentang dasar kerajaan dan menggalakkan perubahan sosial. Pembabitan dalam aktiviti politik dan kemasyarakatan sering bergantung kepada kemahiran berbahasa yang baik. Seterusnya dalam era digital, bahasa memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi dan sains. Bahasa adalah asas pengaturcaraan komputer dan pembangunan aplikasi perisian. Tanpa kemahiran berbahasa yang baik, penyelidik dan pembangun teknologi akan mengalami kesukaran dalam menyampaikan idea dan membangunkan produk yang inovatif. Apabila merujuk secara khusus kepada bahasa Arab, maka terdapat keunikan dan keistimewaan tersendiri sehingga menjadikannya pilihan Allah SWT dalam penurunan al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." (Surah Yusuf, ayat 2). Al-Quran sebagai kitab suci umat Islam, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab sebagai wahyu Allah SWT. Proses penurunan Al-Quran ini mempunyai signifikasi yang besar dalam sejarah agama Islam dan umat manusia secara keseluruhannya.

Bahasa Arab dipilih oleh Allah SWT untuk menurunkan al-Quran kerana kekayaan dan keindahan strukturnya, yang memudahkan pemahaman dan penghayatan makna yang terkandung dalam wahyu terbabit. Bahasa Arab juga mempunyai kemampuan untuk mengungkapkan konsep-konsep teologi yang kompleks dengan jelas dan terperinci. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu yang diterima baginda daripada Allah SWT. Proses ini bermula ketika Nabi menerima wahyu pertama di Gua Hira, Makkah pada usia 40 tahun.

Al-Quran tidak hanya kitab suci umat Islam, tetapi juga sebagai pedoman hidup yang menyediakan panduan moral, etika, hukum dan panduan spiritual bagi seluruh manusia. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab kerana itu adalah bahasa yang difahami masyarakat Arab pada masa itu. Bahasa Arab pada zaman Jahiliyah (pra-Islam) digunakan secara luas dalam puisi, sastera dan komunikasi sehari-hari. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Kemuliaan Arab itu daripada kebesaran bahasanya dan keagungan al-Quran itu daripada kemuliaan bahasa Arabnya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ada banyak kajian linguistik menunjukkan struktur bahasa Arab mempunyai kompleksiti yang tinggi. Sistem morfologi bahasa Arab, dengan akar kata dan pola kata yang berbeza, memberikan kekayaan dalam penggunaan kata dan ungkapan. Ini membolehkan penyampaian makna yang halus dan pelbagai dalam tulisan dan pertuturan. Manakala, dari aspek semantik, bahasa Arab mengandungi kekayaan kosa kata yang luas, membolehkan pengungkapan idea dan konsep yang kompleks. Bahasa Arab mempunyai banyak sinonim dan kata-kata bermakna ganda, memberikan penulis atau pencerita pilihan yang lebih untuk menyampaikan makna yang tepat dan mendalam. Di samping itu, bahasa Arab mempunyai sistem tatabahasa sempurna, teliti dan teratur. Struktur kalimatnya mengikuti pola yang konsisten, memudahkan pemahaman dan penggunaan dalam penulisan dan pertuturan. Kajian tatabahasa Arab sudah mengungkapkan prinsip yang menarik, termasuk aturan penggunaan huruf awal, perubahan makna melalui perubahan konsonan dan sebagainya.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UM), Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:01 AM