GANJARAN bagi orang yang menyediakan juadah berbuka puasa bagi orang yang berpuasa amat istimewa. FOTO AFP
GANJARAN bagi orang yang menyediakan juadah berbuka puasa bagi orang yang berpuasa amat istimewa. FOTO AFP
Mohd Shahrizal Nasir

Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara…" (Surah al-Hujurat, ayat 10) Oleh itu, setiap Muslim adalah bersaudara selagi mereka berpegang kepada akidah tauhid yang sama.

Apabila disebut sahaja Islam, maka setiap umatnya saling menguatkan antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kamus kehidupan orang Islam sifat ananiyyah atau keakuan sebaliknya mereka hidup dalam suasana umat yang satu.

Kebersamaan umat Islam yang didasari oleh akidah keimanan kepada Allah SWT adalah satu kekuatan yang dizahirkan menerusi kehidupan. Hal ini adalah perkara yang perlu dipelihara kerana Islam mendidik umatnya untuk menjalankan kehidupan berdasarkan ketetapan Allah SWT bagi memperoleh rahmat dan keredaan-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku." (Surah al-Anbiya', ayat 92)

Persaudaraan sesama umat Islam amat rapat sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Perumpamaan orang Mukmin dalam saling berkasih sayang dan perasaan belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai letih dan penat (tidak sihat)." (Muttafaq 'alaih)

Hadis terbabit memberi pemahaman yang cukup jelas bahawa umat Islam semestinya perlu akrab antara satu sama lain. Meskipun status kehidupan setiap umat Islam itu berbeza-beza, ada yang kaya dan ada yang miskin, namun keadaan ini tidak sekali-kali membuatkan setiap Muslim hidup dalam dunia masing-masing tanpa menghiraukan orang lain.

Lihat sahaja ibadah puasa pada bulan Ramadan yang sedang kita jalani sekarang. Setiap Muslim tidak kira daripada golongan kaya dan lebih-lebih lagi yang tidak berkemampuan semuanya menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang.

Kita diwajibkan supaya tidak makan dan minum pada waktu siang, antaranya untuk sama-sama merasai erti kesusahan dan keperitan yang dirasai golongan fakir dan miskin.

Kehidupan golongan fakir dan miskin merasai kesusahan sehingga kedudukan mereka diberi perhatian dalam Islam. Kebajikan mereka dijamin dalam Islam sehingga perbuatan mereka yang meminta bantuan tidak boleh diherdik. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Adapun orang yang meminta (bantuan) maka janganlah engkau tengking herdik." (Surah ad-Dhuha, ayat 10)

Dalam bulan Ramadan, setiap daripada kita merasai apa yang dikatakan sebagai 'lapar' dan 'dahaga'. Perasaan yang dilalui oleh setiap Muslim pada bulan ini sepanjang hari adalah sama semuanya. Lihat situasi ini dengan mata hati, betapa Islam membuat satu ketetapan yang sangat indah dalam merapatkan jurang kehidupan sesama umat Islam.

Pendek kata, orang miskin tidak akan berasa dengki dengan keadaan orang yang kaya. Ini kerana apa yang dimiliki oleh orang kaya juga tidak semuanya boleh digunakan untuk mengenyangkan perut mereka. Semua orang perlu menahan rasa lapar dan dahaga tanpa ada perbezaan.

Jika ini antara hikmah yang perlu dirasai dalam bulan Ramadan iaitu sama-sama merasai kesusahan yang dihadapi oleh golongan fakir dan miskin, maka sepatutnya kita perlu terus menyemai sifat bersederhana ketika berbelanja.

Sebagai contoh, ketika berada di bazar Ramadan, maka kawal nafsu makan dan minum kita supaya tidak membiarkan nafsu menguasai diri.

Pada saat golongan fakir dan miskin terus dalam keadaan serba kekurangan meskipun sudah tiba waktu berbuka puasa, kita pula bermewah-mewahan ketika membeli makanan yang akhirnya berlaku pula pembaziran ketika berbuka. Ini antara perkara yang perlu direnungi dalam bulan yang mulia ini.

Nafsu perlu dikawal bukan sahaja ketika berpuasa di siang hari, tetapi yang lebih perlu diberi perhatian adalah keghairahan nafsu menikmati juadah makan dan minum ketika berbuka puasa.

Justeru, tidak wajar sekiranya ada dalam kalangan kita menunjuk-nunjuk aneka juadah berbuka puasa sedangkan ramai lagi orang di luar sana yang tiada apa-apa untuk dimasukkan dalam mulut tatkala berkumandangnya azan Maghrib.

Islam bukan sekadar menetapkan bahawa setiap orang Islam perlu merasai kesusahan yang ditanggung oleh golongan fakir dan miskin dengan berpuasa, malah turut menganjurkan umatnya untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang terbaik sebagai seorang yang dermawan pada bulan Ramadan. Ibnu 'Abbas meriwayatkan bahawa: "Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan, saat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan sifat dermawan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sifat dermawan Rasulullah SAW pada bulan Ramadan turut menjadi ikutan sahabat baginda. Banyak riwayat yang menjelaskan sifat dermawan sahabat Rasulullah SAW seperti yang dilakukan oleh Ibnu 'Umar. Beliau tidak berbuka pada bulan Ramadan kecuali memanggil anak-anak yatim dan orang miskin untuk turut berbuka puasa bersamanya.

Sesungguhnya amalan bersedekah khususnya pada bulan Ramadan adalah amalan yang sangat dituntut. Malah, ia menjadi antara sebab yang kuat untuk kita berada dalam syurga Allah SWT kelak. Amalan sedekah juga menzahirkan rasa kasih sayang kita sesama saudara seagama walaupun berlainan taraf kehidupan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Kalian tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga kalian beriman. Dan (kalian) tidak akan menjadi orang Mukmin kecuali kalian saling mencintai." (Hadis riwayat Muslim)

Apatah lagi ganjaran besar akan dikurniakan kepada mereka yang memberi makan kepada orang lain untuk berbuka puasa. Ketika membeli juadah untuk berbuka puasa, ingat jiran tetangga dan saudara seagama yang lain terutama yang fakir dan miskin.

Usah kita hanya memikirkan kenikmatan makan untuk perut sendiri sehingga melupakan kesusahan orang lain kerana ganjaran bagi orang yang menyediakan juadah berbuka puasa bagi orang yang berpuasa amat istimewa. Indahnya Islam yang mementingkan keharmonian dalam kehidupan menerusi amalan bantu-membantu sesama Muslim.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesiapa yang memberi buka orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 9:15 AM