AL-QURAN perlu diajar pada peringkat awal kanak-kanak. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
AL-QURAN perlu diajar pada peringkat awal kanak-kanak. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Nur Baiin Che Harun

Al-Quran adalah kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, pengisian rohani dengan memperkukuhkan al-Quran perlu diisbatkan lagi. Wujudkan sesi tahsin al-Quran bersama keluarga. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) ialah sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian." Surah Fathir ayat 29

Imam al-Ghazali juga berkata: "Hendaklah anak kecil diajarkan dengan al-Quran, hadis dan sejarah orang soleh kemudian hukum Islam." Ia adalah amanah daripada Allah kepada semua ibu bapa dalam mendidik anak. Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya memberi gambaran perlunya al-Quran diajar di peringkat awal kanak-kanak.

Ia untuk membentuk asas dan teras keutuhan iman. Teruskan menghidupkan budaya membaca al-Quran di rumah terutama pada musim cuti persekolahan ini kerana anak tiada keperluan untuk menghadiri kelas dalam talian seperti sesi persekolahan sebelum ini. Menjadi kewajipan kita sebagai seorang Muslim untuk mempelajari al-Quran. Galilah kelebihan dan 1,001 rahsia di dalamnya. "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara serta menjaganya." Surah Al-Hijr ayat 9

Daripada Abu Umamah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." Hadis Riwayat Muslim

Dengan membaca al-Quran, ia akan menjadi syafaat pada hari akhirat kelak. Ia akan menjadi pembela, memberi ketenangan dan kebaikan dalam kehidupan seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bacalah al-Quran dengan 'tartil' (perlahan-lahan)." Surah Al-Muzammil ayat 4.

Daripada Abdullah bin Mas'ud, bahawa Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi 10 kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan 'Alif Laam Mim' satu huruf akan, tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf." Hadis Riwayat al-Tirmizi

Ilmu Al-Quran itu sangat luas apabila kita wajib tahu dan amal. Azam dan istiqamah sangat penting untuk melahirkan pembudayaan dan rasa cinta terhadap al-Quran. Almarhum Tuan Guru Datuk Haron Din ada memesan: "Ilmu yang sedikit jika kita amalkan lebih baik daripada ilmu banyak, tetapi tidak pernah diamalkan." Bacalah al-Quran setiap hari. Ajarkan anak al-Quran setiap hari supaya kita lebih cakna dan ambil tahu trek bacaan anak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." Hadis Riwat al- Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah

Antara kisah yang boleh kita ambil untuk dijadikan contoh ialah perjalanan al-Fadhil Ustaz Ahmad Tirmizi Ali iaitu Juara Akademi Al-Quran Musim Ke-4 yang berkongsikan cara arwah ayahnya iaitu tidak pernah bersembang dengan anaknya melainkan perihal al-Quran. Daripada perkongsian ini boleh dijadikan qudwah hasanah kepada semua ibu bapa dalam mendidik anak. Hasilnya, beliau berjaya membesarkan sembilan anak dan mereka menjadi juara dan hebat dalam bidang al-Quran. Amalan ini sangat mulia di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan itu oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." Hadis Riwayat Muslim

Akhlak yang ditunjukkan ibu bapa itu perlu menjadi sebaik-baik contoh kepada anak. Mereka ini ibarat kain putih dan ibu bapalah mencorakkannya. Rasulullah SAW bersabda: "Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi." Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jadikan waktu menunggu solat Isyak sebagai waktu eksklusif untuk sama-sama talaqi dan tasmi' bersama keluarga. Amalkan sekurang-kurangnya satu muka satu hari untuk memperbaiki bacaan supaya lebih mahir. Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, berkata yang bermaksud: "Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: "Bacalah (al-Quran) kepadaku." Aku berkata: Aku baca kepadamu sedangkan al-Quran itu diturunkan kepada engkau? Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya daripada orang lain." Maka aku pun membaca Surah An-Nisa' sehingga aku sampai pada ayat 'Maka bagaimanakah (keadaan orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (rasul mereka sendiri untuk menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan kamu (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?" Rasulullah SAW bersabda: 'Cukup, dan aku berpaling kepada Rasulullah SAW lalu aku melihat mata Rasulullah sedang berair (menangis)." Hadis Riwayat al-Bukhari

Merujuk kepada hadis al-Bukhari ini jelas menunjukkan Nabi SAW menangis apabila mendengar bacaan Abdullah bin Mas'ud, seorang sahabat utama dan banyak sumbangan kepada al-Quran. Hadis ini dikongsikan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Daripada Uthman bin Affan, "Andai hati kalian bersih maka kalian tidak akan pernah rasa kenyang (bosan) membaca al-Quran."

Seterusnya, mewujudkan satu ruang interaktif bersama keluarga dan anak untuk sesi mengaji al-Quran dan ta'lim. Persiapkan ruang ini dengan indah, wangi dan selesa. Boleh juga diletakkan satu mimbar atau tirai di satu ruang untuk memisahkan ruang suci ini supaya anak tidak bosan dan tahu ini adalah kawasan solat dan ruang mengaji al-Quran.

Jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan surat cintamu sepanjang masa seperti kata-kata Hassan al-Basri, "Orang sebelum kalian melihat al-Quran sebagai surat cinta daripada Rabb-Nya, direnungi pada malam hari, diamalkan pada siang harinya." Bacalah al-Quran walaupun satu muka surat setiap hari kerana ia memberi petunjuk ke jalan yang benar. Sabda Rasulullah: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya (sunah Rasulullah SAW)." Hadis Riwayat Malik

Penulis Guru Bahasa Inggeris, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:15 AM