RAMADAN merupakan satu bulan yang terlakar padanya sejarah kegemilangan Islam.
RAMADAN merupakan satu bulan yang terlakar padanya sejarah kegemilangan Islam.
Mohd Sharizal Nasir

Kini kita berada pada awal bulan Ramadan iaitu separuh pertama daripada tempoh sebulan. Ini bermakna setiap Muslim melalui beberapa hari dalam bulan penuh keberkatan ini. Persoalannya, bagaimana prestasi pelaksanaan ibadah puasa kitakali ini? Adakah sama seperti tahun lepas atau ada peningkatan dari sudut mutu ibadah puasa dan tuntutan Ramadan lain? Setiap Muslim perlu muhasabah diri agar setiap kekurangan dalam pelaksanaan ibadah wajib dan sunat sepanjang bulan Ramadan dapat diperbaiki.

Kita masih ada masa mempersiapkan diri sebelum tibanya sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Mengapa perlu muhasabah diri untuk memperbaiki mutu ibadah? Sudah pasti jawapannya berkaitan dengan ganjaran besar dikurniakan Allah SWT pada malam Lailatulqadar yang pasti berlaku pada satu daripada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Suruhan agar umat Islam merebut ganjaran Lailatulqadar memberi petunjuk jelas Ramadan bulan yang sarat dengan peluang mencipta kejayaan (al-fawz). Kejayaan dalam erti kata membebaskan diri daripada kekotoran dosa pernah dilakukan selama ini. Dengan melipatgandakan amalan pada malam Lailatulqadar dengan penuh ikhlas dan mengharapkan ganjaran Allah, maka seseorang itu layak mendapat pengampunan daripada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesiapa yang berdiri (menunaikan solat) pada malam Lailatulqadar dengan (penuh) keimanan dan pengharapan (pahala), maka akan diampuni semua dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syarat mendapat keampunan daripada Allah SWT mestilah didahului dengan usaha yang bersungguh-sungguh menghidupkan malam Lailatulqadar dengan amal ibadah wajib mahupun sunat. Pendek kata, keampunan daripada Allah SWT tidak datang bergolek, ia hadir dengan usaha daripada diri individu yang melakukan dosa kesalahan dalam kehidupannya.

Jika dirujuk dalam sejarah Islam, bulan Ramadan amat signifikan dengan bulan mencipta kejayaan. Meskipun umat Islam diwajibkan berpuasa pada Ramadan, tidak boleh makan dan minum waktu siang namun ia tidak sama sekali menjadi alasan untuk diri melayan rasa lemah, letih dan tiada daya yang cukup untuk melakukan sesuatu yang besar termasuk berada pada medan peperangan.

Perang Badar menyaksikan tentera Muslimin menang meskipun mereka terdiri daripada jumlah kecil berbanding tentera musyrikin Mekah. Apatah lagi tentera Muslimin tiada kelengkapan peperangan yang hebat jika dibandingkan dengan musuh mereka. Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk melemahkan diri sendiri.

Peristiwa berlaku dalam bulan Ramadan pada tahun kedua Hijrah ini menjadi bukti setiap kemenangan perlu dimulakan dengan usaha. Meskipun usaha tersebut pada mata kasar manusia tidak mampu mencipta kemenangan namun ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam perang Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)." (Surah Ali 'Imran, ayat 123)

Lihatlah kebesaran Allah SWT yang dapat mengatasi logik kebiasaan tergambar dalam minda manusia. Jika Allah SWT berkehendak untuk menganugerahkan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, maka tiada kuasa yang dapat menghalangnya asalkan manusia berusaha bersungguh-sungguh dan tidak menyerah kalah.

Begitulah pemahaman perlu dijelaskan dalam bab memohon keampunan daripada Allah SWT khusus pada malam terakhir Ramadan. Walau apa pun dosa dilakukan, asalkan ia tidak melibatkan dosa syirik kepada Allah SWT, maka berusahalah mendapat keampunan-Nya. Allah SWT pasti mengampuni setiap dosa dilakukan manusia dengan syarat perlu memohon keampunan daripada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman yang mafhumnya: "Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunimu." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Pada bulan Ramadan juga berlaku satu peristiwa penting iaitu pembebasan Kota Makkah daripada penaklukan golongan musyrikin. Peristiwa besar dikenali dengan nama Fathu Makkah ini berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Peristiwa ini membuktikan kasih sayang Allah SWT kepada umat Islam yang menjadikan kota suci tempat wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW akhirnya berjaya dimiliki umat Islam.

Kesengsaraan ditanggung umat Islam di Makkah pada awal kedatangan Islam akhirnya terubat apabila umat Islam yang pada mulanya diusir keluar kembali ke tempat suci tersebut. Allah SWT mendatangkan kemenangan kepada umat Islam setelah mereka menempuhi segala keperitan bersama Islam dan mereka yakin dengan janji Allah SWT dan Rasul-Nya.

Benarlah bahawa kebatilan akan tetap tenggelam tatkala munculnya sinar kebenaran iaitu Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap." (Surah al-Isra', ayat 81)

Kesimpulannya, Ramadan satu bulan yang terlakar padanya sejarah kegemilangan Islam. Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam kelihatan lemah dan tidak bermaya. Sebaliknya Ramadan merupakan wadah mencipta kejayaan termasuk melipatganda amalan khususnya pada sepuluh malam terakhirnya.

Setiap umat Islam berpeluang mendapat keampunan Allah SWT asalkan mereka tidak melepaskan peluang diberikan oleh-Nya. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara. Justeru, marilah kita sama-sama mencipta kejayaan dalam diri masing-masing agar dapat kembali kepada Allah SWT sebagai hamba yang meraih keredaan-Nya.

"Allah berfirman: Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat daripada kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia (Allah). Itulah kejayaan (al-fawz) yang amat besar." (Surah al-Ma'idah 119)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 7:00 AM