Mohd Shahrizal Nasir

Bagaimana prestasi pelaksanaan ibadat puasa kita tahun ini? Adakah sama seperti tahun-tahun lalu atau ada peningkatan?

Setiap Muslim perlu bermuhasabah supaya setiap kekurangan dalam pelaksanaan ibadat wajib dan sunat sepanjang bulan Ramadan dapat diperbaiki.

Kita masih ada baki 10 hari lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Muhasabah untuk memperbaiki mutu ibadat penting kerana ganjaran besar iaitu malam lailatulqadar pasti akan berlaku salah satu daripada 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Suruhan supaya umat Islam merebut ganjaran lailatulqadar pada penghujung Ramadan memberi petunjuk jelas Ramadan adalah bulan yang sarat dengan peluang mencipta kegemilangan.

Kegemilangan dalam erti kata membebaskan diri daripada kekotoran dosa yang pernah dilakukan selama ini.

Dengan melipatgandakan amalan pada malam lailatulqadar dengan penuh ikhlas dan pengharapan, seseorang itu layak mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang berdiri (menunaikan solat) pada malam lailatulqadar dengan (penuh) keimanan dan pengharapan (pahala), maka akan diampuni semua dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, syarat mendapat keampunan mestilah didahului dengan usaha bersungguh-sungguh menghidupkan lailatulqadar dengan amal ibadat wajib dan sunat.

Keampunan daripada Allah SWT tidak datang bergolek. Jika dilihat pada lipatan sejarah Islam, Ramadan amat signifikan dengan bulan mencipta kegemilangan.

Meskipun umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, mereka tidak boleh makan dan minum pada waktu siang, ia tidak sama sekali menjadi alasan untuk melayan rasa lemah, letih dan tiada daya melakukan sesuatu.

Perang Badar satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang menyaksikan tentera Muslimin menang meskipun jumlah mereka lebih kecil berbanding tentera musyrikin Makkah.

Apatah lagi tentera Muslimin tidak memiliki kelengkapan peperangan hebat jika dibandingkan dengan musuh mereka.

Peristiwa berlaku dalam bulan Ramadan tahun kedua Hijrah itu menjadi bukti setiap kemenangan yang dicapai perlu dimulai dengan usaha.

Pada mata kasar manusia, usaha itu sebenarnya tidak mampu mencipta kemenangan, namun ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah menolong kamu mencapai kemenangan dalam Perang Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 123)

Lihatlah kebesaran Allah SWT yang dapat mengatasi logik kebiasaan yang tergambar dalam minda manusia.

Jika Allah SWT berkehendak menganugerahkan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, maka tidak ada kuasa yang dapat menghalangnya asalkan manusia berusaha bersungguh-sungguh dan tidak menyerah kalah.

Begitulah pemahaman yang perlu dijelaskan ketika memohon keampunan daripada Allah SWT khususnya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan. Dosa apa yang dilakukan sekalipun, asalkan tidak membabitkan syirik kepada Allah SWT, berusahalah untuk mendapat keampunan-Nya.

Selain itu, pada bulan Ramadan juga berlaku peristiwa pembebasan Kota Makkah daripada penaklukan golongan musyrikin.

Peristiwa besar dikenali Fathu Makkah itu berlaku pada tahun ke-8 Hijrah. Peristiwa itu membuktikan kasih sayang Allah SWT kepada umat Islam yang menjadikan kota suci tempat wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW akhirnya berjaya dimiliki umat Islam.

Kesengsaraan ditanggung umat Islam Makkah pada awal kedatangan Islam terubat apabila umat Islam yang mulanya diusir keluar kembali ke tempat suci itu.

Allah SWT memberikan kemenangan kepada umat Islam selepas mereka menempuh segala keperitan bersama Islam dan mereka yakin dengan janji Allah SWT dan Rasul-Nya.

Benarlah kebatilan akan tetap tenggelam tatkala munculnya sinar kebenaran Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakanlah: Sudah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik), sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Isra’, ayat 81)

Hakikatnya, Ramadan adalah wadah untuk mencipta kegemilangan.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:59 AM