Allah SWT memfardukan puasa Ramadan pada setiap tahun sebagai proses pemulihan kesihatan.
Allah SWT memfardukan puasa Ramadan pada setiap tahun sebagai proses pemulihan kesihatan.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Bulan di dalam kalendar Islam ada kelebihan dan kemuliaan berdasarkan keterangan dan amalan yang dilakukan Nabi SAW dan sahabat. Bulan Rejab dikenali kerana peristiwa Israk dan Mikraj. Bahkan, kefarduan solat juga menjadikan bulan Rejab antara bulan yang sentiasa diingati oleh Muslimin. Hari ini kita sudah memasuki bulan Syaaban.

Adapun bulan lain sepertimana bulan Syaaban juga mempunyai kemuliaan dan kelebihan. Allah SWT menyebutkan mengenai bulan dalam firman-Nya: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)." (Surah al-Taubah, ayat 36)

Malah, daripada jumlah bulan itu pula, ada yang dikategorikan sebagai bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam dan Rejab. Manakala, bulan Syaaban pula, datangnya sebelum bulan Ramadan. Pada bulan Syaaban, satu amalan yang besar sebagaimana sunah Rasulullah SAW ialah berpuasa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan Baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat Baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika Baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW diriwayatkan berpuasa sebahagian daripada Syaaban iaitu bahagian separuh pertama bulan Syaaban sebagaimana hadis di atas. Ini menunjukkan bahawa, Rasulullah SAW mengajar kita bagaimana membuat persediaan berpuasa sebelum tibanya puasa Ramadan. Dengan berpuasa pada bulan Syaaban sebelum Ramadan, seseorang itu akan dilatih dengan keadaan puasa fardu.

Seterusnya, dia akan dapat menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan dengan lebih bersedia dan berkualiti kerana dilatih dengan puasa sebelum itu. Keadaan ini bukan perkara biasa, kerana sesuatu yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW pasti mempunyai hikmah besar. Apabila Rasulullah SAW berpuasa sebahagian bulan Syaaban iaitu satu jumlah yang banyak, semestinya menunjukkan bahawa latihan intensif sepatutnya dilakukan sebelum menghadapi ibadat besar di sisi Allah SWT.

Berkaitan kelebihan berpuasa secara umumnya, Rasulullah SAW bersabda: "Jika salah seorang daripada kalian berpuasa, janganlah ia berkata keji dan bertengkar, dan jika ada orang mencelanya atau mengajak berkelahi hendaklah dia berkata: Sesungguhnya saya berpuasa." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seruan berpuasa juga ditujukan kepada orang muda. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai pemuda, sesiapa yang mampu berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana perkahwinan akan memejamkan matanya (terhadap yang halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu menjadi benteng." (Riwayat Muslim)

Hadis ini menganjurkan golongan muda yang layak supaya berkahwin. Tetapi, dengan kekangan dan halangan tertentu, mungkin menjadi cabaran sehingga terpaksa melewatkan perkahwinan. Namun, Rasulullah SAW menggalakkan supaya golongan muda yang belum berkemampuan supaya membanyakkan ibadat puasa kerana ia akan mengawal dan mengekang hawa nafsu dan seterusnya menyelamatkan daripada terjerumus kepada perkara tidak baik.

Amalan berpuasa dengan makna yang lebih umum iaitu meninggalkan sesuatu yang tidak baik seperti ungkapan yang selalu kita dengar, berpuasa daripada memakan atau mengambil makan yang tertentu kerana halangan kesihatan. Berpuasa sebagaimana disyariatkan di dalam Islam adalah meninggalkan makan minum pada siang hari adalah sebagai penyelamat dan pemeliharaan daripada berlaku perkara tidak baik disebabkan nafsu syahwat.

Bermakna, puasa sebagaimana yang diperakukan oleh dapatan kajian saintifik juga membuktikan bahawa manusia apabila berada dalam keadaan kekenyangan lebih terdedah kepada menuruti hawa nafsu. Mengikut Imam Ghazali, puasa menyempitkan saluran darah yang akan dimasuki syaitan. Apabila dalam keadaan berpuasa, berlakunya penyempitan saluran darah dan menghalang daripada dimasuki syaitan. Begitu juga daripada segi kesihatan, orang berpuasa akan memberikan peluang kepada organ penghadaman berehat. Di samping dapat membuang lebihan toksin dalam badan.

Manfaat kesihatan ini walaupun bukan tujuan asal kefarduan puasa, tetapi ia membuktikan bahawa syariat berpuasa itu sangat besar kepentingannya di sisi agama. Oleh itu, Allah SWT memfardukan puasa Ramadan pada setiap tahun sebagai proses pemulihan kesihatan. Sekurang-kurangnya ada masa mereka membersihkan diri dan kembali kepada fitrah asalnya.

Apabila membicarakan mengenai puasa pada bulan Syaaban, pastinya yang kita tidak dapat nafikan ia adalah persediaan terakhir untuk menghadapi bulan Ramadan. Namun, di samping persediaan ini, ia juga sebenarnya memberi makna bahawa dalam kehidupan kita untuk menghadapi sesuatu perkara yang besar kita mesti membuat persediaan secukupnya. Maka, bagi sesiapa yang menghadapi masalah kesihatan, inilah masanya memastikan keperluan perubatan dapat diuruskan dan diselaraskan sebelum menghadapi Ramadan.

Bagi yang menghadapi masalah ekonomi, inilah peluang berjimat-cermat dalam bulan Ramadan dengan menguruskan perbelanjaan bulan puasa sebaik mungkin. Apatah lagi selepas itu akan tiba hari raya yang menuntut perbelanjaan lebih besar sebagai meraikan kejayaan Ramadan.

Kesimpulannya, ibadat puasa sama ada puasa sunat dan puasa fardu, ia benteng daripada melakukan perkara mungkar dan mengikut hawa nafsu.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 5:59 AM