ORANG ramai mengadakan protes di hadapan Kedutaan Sweden di Ankara, Turkiye. FOTO AP
ORANG ramai mengadakan protes di hadapan Kedutaan Sweden di Ankara, Turkiye. FOTO AP
BERNAMA

Ankara: Turkiye pada Sabtu mengutuk 'perbuatan keji' ke atas al-Quran dan menyifatkan ia sebagai satu 'jenayah kebencian secara terang-terangan', lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Turkiye.

Menurut kenyataan itu "membiarkan tindakan anti-Islam yang mensasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kita dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali.

Turkiye menyeru pihak berkuasa Sweden untuk mengambil langkah yang perlu terhadap jenayah kebencian ini kerana perbuatan itu satu lagi contoh Islamofobia, gerakan perkauman dan diskriminasi di Eropah yang amat membimbangkan.

Kementerian itu juga menggesa semua negara serta pertubuhan antarabangsa untuk mengambil langkah konkrit sebagai solidariti menentang Islamofobia.

Kenyataan Turkiye itu dibuat selepas ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm pada Sabtu.

Susulan itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson yang akan ke Turkiye.

Kementerian Luar Turki pada Jumaat turut memanggil Duta Sweden ke Ankara Staffan Herrstrom.

Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

Sementara itu, Beberapa negara mengecam keputusan membenarkan pembakaran al-Quran oleh pelampau sayap kanan Sweden-Denmark serta menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyatakan Eropah berselindung di sebalik kebebasan bersuara dengan 'membenarkan unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian'.

Jurucakap kementerian itu Nasser Kanaani berkata umat Islam di seluruh dunia mengharapkan kerajaan Sweden untuk 'mencegah' kejadian seperti itu dan memastikan mereka yang melakukan perbuatan berkenaan tidak terlepas daripada hukuman, lapor Agensi Anadolu.

Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Kuwait Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah dalam satu kenyataan berkata, insiden itu mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia dan satu provokasi yang serius.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa bersama menggalas tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan itu serta mengecam semua bentuk kebencian dan ekstremisme serta membawa pelaku ke muka pengadilan, lapor Agensi Berita Iran KUNA.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Islamofobia yang tidak boleh diterima akal dan provokatif itu menjejaskan sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu.

Islamabad menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menunjukkan azam menentang Islamofobia, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian meskipun berbeza pegangan agama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 11:30 AM