Seorang wanita di Turkiye memegang al-Quran sebagai tanda protes susulan Sweeden membenarkan tindakan membakar al-quran. FOTO AP
Seorang wanita di Turkiye memegang al-Quran sebagai tanda protes susulan Sweeden membenarkan tindakan membakar al-quran. FOTO AP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa satu pasukan bertindak khas diwujudkan segera di peringkat dunia bagi melakar agenda bertindak mengendurkan Islamofobia.

Ia susulan tindakan membakar al-Quran yang dilakukan di Sweden oleh seorang politikus sayap kanan, Rasmus Paludan.

PUM dalam satu kenyataan media Kesatuan Ulama Sedunia berkata, pasukan bertindak itu seharusnya dinaungi badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Katanya, pihaknya dan kesatuan berkenaan mengutuk keras tindakan membakar al-Quran itu, yang disifatkan bukan kali pertama dilakukan.

"Ia pernah berlaku sebelum ini oleh golongan yang fobia terhadap Islam. Tindakan ini memang sangat biadap terhadap penganut agama dan menimbulkan rasa kebencian yang tidak berkesudahan.

"Dunia perlu mengutuk tindakan itu. Satu pasukan bertindak khas mesti diwujudkan segera di peringkat dunia dinaungi PBB dan OIC bagi melakar agenda bertindak mengendurkan Islamofobia," katanya, hari ini.

Pada masa sama, PUM turut mengucapkan syabas di atas ketegasan Malaysia dalam perbuatan berkenaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Katanya, ia adalah pendirian konsisten pemimpin Malaysia sejak sekian lama yang ditunjukkan pemimpin terdahulu dan dipertegaskan lagi oleh Perdana Menteri ke-10 itu.

"Seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit menangani isu Islamofobia dan sebarang kebencian agama yang muncul daripada tindakan ini.

"Hormat menghormati serta santun di antara satu sama lain adalah sifat yang sangat ditekankan dalam Islam dan ditunjukkan sebagai contoh terbaik oleh Baginda Rasulullah SAW," katanya.

Sabtu lalu, Rasmus yang juga pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tindakan Rasmus itu menimbulkan kutukan daripada negara Islam termasuk Malaysia.

Perdana Menteri, dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.

Anwar dilaporkan berkata, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil terhadapnya, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 2:23 PM