ANWAR berucap pada Majlis Pelancaran Buku Himpunan Esei “Knowledge, Tradition and Civilization: Essays in Honour of Professor Osman Bakar” di Dewan Utama, ISTAC-IIUM, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANWAR berucap pada Majlis Pelancaran Buku Himpunan Esei “Knowledge, Tradition and Civilization: Essays in Honour of Professor Osman Bakar” di Dewan Utama, ISTAC-IIUM, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pas agak terlewat menyatakan pendirian berhubung tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, kerajaan sudah membuat kenyataan yang tegas berhubung tindakan Islamofobia itu.

Namun, tegas beliau Pas boleh melakukan himpunan membantah tindakan Islamofabia itu.

"Mereka (Pas) ada hak untuk berbuat demikian. Tiada isu mengenai protes (yang akan diadakan esok oleh Pas), mereka harus tunjukkan pandangan mereka.

"Jika Pas mahu lakukan begitu, mereka boleh lakukan tapi kerajaan telah membuat perkara itu (bantahan) malah sudah hubungi Duta Sweden dan nyatakan dengan jelas pendirian Malaysia.

"Kenyataan kita amat tegas tapi mereka (Pas) agak terlewat untuk nyatakan pendirian," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Buku Himpunan Esei "Knowledge, Tradition and Civilization: Essays in Honour of Professor Osman Bakar" di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), hari ini.

Beliau mengulas penganjuran himpunan solidariti anjuran Dewan Ulama Pas Pusat, esok bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pemimpin politik Sweden, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan berkata, himpunan solidariti itu akan bermula di KLCC sebelum berarak ke kedutaan Sweden.

Perdana Menteri dalam kenyataannya pada Ahad lalu menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom semalam.

Katanya, kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

"Ia bukan saja mengundang provokasi dan sensitiviti tidak hanya kepada Turkiye, malah lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.

"Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia," katanya melalui kenyataan hari ini.

Anwar berkata, Malaysia turut mengeji sebarang bentuk kebencian serta menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan yang meningkat atas alasan kepercayaan agama dan etnik.

Tegasnya, Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian bahawa amat penting memartabatkan prinsip dialog dan saling menghormati dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

"Malaysia menggesa komuniti antarabangsa menolak sikap perkauman dan agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara, malah kekal bersatu menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan," katanya.

Sabtu lalu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 3:01 PM