ORANG ramai rata-rata menyokong usaha mewujudkan akta yang mengawal tembakau dan merokok di Malaysia.
ORANG ramai rata-rata menyokong usaha mewujudkan akta yang mengawal tembakau dan merokok di Malaysia.
Nurul Saffida Kusaini dan Masliza Maslan

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau Dan Merokok 2022 yang dibacakan pertama kali di dalam Dewan Rakyat adalah bertujuan mengadakan suatu akta yang mempunyai peruntukan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap produk tembakau dan merokok. Pengenalan kepada akta itu turut mengadakan pindaan kepada Akta Makanan 1983.

Sebelum ini, pada 20 Ogos 2003, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu akta khusus diwujudkan. Justeru, mengikut Seksyen 36 Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (P.U. (A) 324/2004) telah di kuatkuasakan. Namun, peruntukan itu tidak membolehkan semua saranan daripada The World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) dilaksanakan menerusi kaedah perundangan.

Antara undang-undang kawal selia yang terlibat adalah aspek-aspek yang menyentuh kandungan dan pendedahan terhadap produk rokok, pengiklanan produk rokok secara tidak langsung di media massa seperti drama dan filem, dan larangan merokok di tempat awam, tetapi tidak secara menyeluruh seperti di kelab malam dan terminal pengangkutan awam terbuka.

Terkini, prevalen merokok di Malaysia adalah 22.8 peratus. Persoalannya, bagaimanakah Malaysia mampu mencapai misi untuk menurunkan prevalen merokok kurang daripada lima peratus menjelang tahun 2045 jika saranan dalam Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) tidak dilaksanakan. Tambahan lagi, Seksyen 36, Akta 281 hanya memperuntukkan kawalan bagi produk tembakau.

Produk merokok yang tidak menggunakan tembakau seperti rokok elektronik dan vape tidak dapat dikawal dengan menggunakan peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 36 Akta 281 ini. Peningkatan jumlah perokok di Malaysia bertambah tinggi berikutan kemunculan produk baharu merokok seperti vape dan rokok elektronik. Isu ini turut hangat dibincangkan sejak 2016 lagi dan akhirnya cadangan agar satu akta baharu diwujudkan.

Sepanjang tahun 2021 dan 2022, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak eksekutif menerusi Kementerian Kesihatan berhubung penggubalan RUU ini. Antaranya, taklimat bersama kementerian yang terlibat dan rundingan awam bersama badan profesional, badan bukan kerajaan, orang awam dan industri. Kementerian Kesihatan juga telah menyediakan laporan Risk Impact Assessment (RIA) dan di persetujui oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 16 Februari 2022.

Pada 7 April 2022, melalui usaha legislatif, buat pertama kalinya, Rang Undang-Undang ini dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi. Antara tanggungjawab Jawatankuasa adalah untuk mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU yang ingin diketengahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jawatan kuasa melihat perkara ini sebagai satu isu yang melibatkan pelbagai pemegang taruh. Maka, sebanyak tiga sesi mesyuarat telah diadakan dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, persatuan dan pengamal perubatan.

Satu Penyata Laporan Mesyuarat telah dikeluarkan dan dibentangkan pada 27 Julai 2022 oleh Dr Kelvin Yii Lee Wuen, selaku pengerusi dan seterusnya mewakili Ahli Jawatankuasa yang lain. Antara intipati kandungan laporan adalah syor mengenai keberkesanan akta dan tempoh penilaian mandatori, hukuman dan penalti, pelaksanaan generasi penamat, kawalan penjualan dari segi pembungkusan, dan peruntukan kawal selia khusus bagi produk tembakau non-combustible.

Laporan itu turut menyatakan saranan agar kerajaan membuat kajian secara mendalam dari aspek teknologi dan sains, data baharu dan tinjauan serta kajian perbandingan negara yang mempunyai perundangan khusus berkaitan kawalan tembakau dan produk merokok yang tidak mengunakan tembakau.

Ternyata RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah isu hangat yang sedang didebatkan oleh pelbagai pihak. Malah, RUU ini juga game changer kepada landskap perubatan negara. Oleh itu, kerajaan perlu meneliti setiap aspek seperti kesan terhadap sosial dan ekonomi negara. Pelaksanaan dan penguatkuasaan memainkan peranan besar dalam memastikan pelaksanaan RUU ini mencapai objektifnya.

Isu kawalan tembakau dan merokok adalah satu isu yang meluas dan melibatkan banyak komponen. Justeru, ia menuntut kerjasama dan komitmen merentas kementerian, swasta dan orang ramai. Keberkesanan perlaksanaan RUU ini dinilai dari pelbagai aspek.

Rata-rata orang ramai menyatakan sokongan terhadap usaha mewujudkan akta yang mengawal tembakau dan merokok secara khusus. Malaysia perlu lebih berani dan proaktif dalam mencapai misi untuk menurunkan prevalen merokok kurang daripada lima peratus menjelang tahun 2045.

Penulis Nurul Saffida Kusaini dan Masliza Maslan ialah Pegawai Penyelidik Parlimen

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:15 AM