Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekali lagi mengulangi gesaan agar Rang Undang-Undang (RUU) larangan merokok terhadap golongan belia diluluskan apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini.

Khairy menerusi ciapan di laman Twitter hari ini berkata, undang-undang baharu itu akan menjadi pengakhiran kepada aktiviti merokok dalam kalangan generasi belia.

"Mereka yang lahir selepas 2005 tidak akan dibenarkan sama sekali membeli produk tembakau. Ya, penguatkuasaan akan menjadi satu isu dan kami akan berusaha keras dalam hal ini. Bagaimanapun, marilah kita menutup ruang untuk golongan belia merokok buat selama-lamanya," kata beliau.

Ia turut disertakan dengan ciapan semula hantaran oleh pertubuhan berita tempatan berhubung RUU larangan merokok yang melaporkan bahawa tinjauan sebuah badan bukan kerajaan berkaitan kawalan tembakau menunjukkan dasar itu disokong oleh 95 peratus responden muda berumur 24 tahun ke bawah dan 89 peratus perokok serta pengevap.

Pada Mac lalu, Khairy berkata, undang-undang baharu untuk melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk tembakau, termasuk rokok elektronik (mengevap), bagi mereka yang lahir selepas 2005, akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini.

Sebelum itu, Khairy mengumumkan pada 17 Feb lalu bahawa pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser serta menyumbang 22 peratus kematian akibat penyakit sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 6:04 PM