ISMAIL Sabri memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye. FOTO Bernama
BERNAMA

Istanbul: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, Selasa.

Pesawat khas yang membawa Ismail Sabri dan delegasinya mendarat di lapangan terbang Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA) pada 8.40 pagi (1.40 petang waktu Malaysia).

Antara yang hadir bagi menyambut beliau di lapangan terbang ialah Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.

Turut berada di lapangan terbang yang dimiliki dan dikendalikan Malaysia Airports Holdings Berhad itu ialah Gabenor Sabiha Gokcen International Airport Halil Avsar, Pengerusi MAHB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pegawai-pegawai tinggi dari kedua-dua negara.

Majlis sambutan rasmi bagi lawatan itu dijadualkan berlangsung di Ankara pada Khamis ini.

Lawatan atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan itu bermula dengan Perdana Menteri meninjau ISGIA sebaik tiba.

Lapangan terbang itu salah satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, yang terletak di bahagian Asia daripada dua benua di Istanbul, dan disenaraikan sebagai lapangan terbang keenam paling sibuk di Eropah serta lapangan terbang kedua paling cepat pulih di Eropah pada 2021.

Selepas melawat ISGIA, Perdana Menteri akan menjadi hos kepada satu majlis makan tengah hari bagi Keluarga Malaysia yang menetap di Turkiye, sebelum mengadakan mesyuarat dengan komuniti perniagaan dan syarikat-syarikat besar Turkiye, antaranya Turkish Wealth Fund and Oyak.

Semasa mesyuarat itu Ismail Sabri dijangka meneroka peluang perdagangan komoditi dua hala, dengan tumpuan kepada sekuriti makanan, di samping mengukuhkan kerjasama menerusi perkongsian teknologi.

Khamis ini, Ismail Sabri dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Presidential Complex di Ankara, disusuli dengan mesyuarat delegasi Malaysia-Turkiye.

Perdana Menteri turut diiringi oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, dalam lawatan rasmi ini.

Dalam lawatannya ke ibu negara Turkiye, Perdana Menteri dijadualkan melawat dua penggiat utama dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di negara itu iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion (AS$4.09 bilion) pada 2021, dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (AS$130.91 juta).

Pada 2021, Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan komoditi itu yang bernilai lebih AS$1.06 bilion (RM4.68 bilion) bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, khususnya dalam industri makanan Turkiye serta industri penjagaan diri dan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 3:11 PM