Natalia Tretiak, 26, yang menetap tidak jauh dari Kyiv, ibu kota Ukraine, bertekad untuk terus bersama keluarganya dan berlindung di kubu sementara bawah tanah.
 Natalia Tretiak, 26, yang menetap tidak jauh dari Kyiv, ibu kota Ukraine, bertekad untuk terus bersama keluarganya dan berlindung di kubu sementara bawah tanah.
BERNAMA

Tidak sama sekali," tegas dua gadis Ukraine apabila ditanya mengapa mereka tidak turut serta dengan wanita lain dan kanak-kanak meninggalkan negara itu yang kini dilanda konflik perang.

Natalia Tretiak, 26, dan Mariia Diachenko, 28, yang menetap tidak jauh dari Kyiv, ibu kota Ukraine bertekad untuk terus bersama keluarga masing-masing dan berlindung di kubu sementara bawah tanah mereka.

Bagaimanapun, kedua-duanya memilih untuk tidak mendedahkan lokasi sebenar kediaman masing-masing atas sebab keselamatan.

Natalia yang merupakan rakan sepengajian penulis semasa di Universiti Qatar di Doha berkongsi dengan Bernama pengalaman pahit yang dialaminya sejak Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan 'operasi ketenteraan khas' terhadap negaranya pada 24 Februari lalu.

"Kami memberi sokongan penuh kepada tentera Ukraine dan akan tetap berada di sini menunggu kemenangan yang sudah hampir. Kami tidak akan menyerah diri. Hidup Ukraine!' tegasnya ketika dihubungi melalui platform Instagram Jumaat petang.

"Lagi pun semua jambatan yang menghubungkan kampung saya dengan kawasan sekitar sudah diletupkan. Saya dan keluarga hanya di rumah. Tidak boleh keluar, ke bandar atau daerah lain", kata pemegang ijazah Sarjana dalam bidang Kewartawanan (bahasa Arab) ini.

Bercerita lanjut mengenai situasi yang dialaminya, beliau berkata, "Hari kedua serangan, bekalan elektrik dan internet mulai terputus. Hanya sudut tertentu dalam rumah yang boleh menerima liputan internet. Kami tidur di kubu bawah tanah.

"Di siang hari, jika keadaan tenang kami memasak dan sediakan makanan secukupnya untuk beberapa hari," katanya.

"Adakalanya keadaan tegang dan kami menjadi panik, takut apabila pesawat tempur kedengaran berada sangat hampir diikuti bunyi letupan bom," tambahnya yang fasih empat bahasa asing termasuk Arab, Turki, Inggeris dan Rusia.

Seorang lagi rakan penulis Mariia, pensyarah bahasa Arab
di Kyiv National Linguistic University menegaskan beliau juga tidak akan meninggalkan negara berkenaan.

"Di sini rumah saya. Ini tanah tumpah darah saya. Saya akan pertahankannya hingga nafas terakhir," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp.

Mengimbau detik cemas pada hari pertama serangan Russia dilancar pada Subuh 24 Februari lalu, beliau yang lebih mesra disapa sebagai Maya menceritakan tidurnya dikejutkan seawal jam 5.07 minit pagi oleh rentetan dentuman dan letupan kuat akibat tembakan peluru berpandu ke arah wilayah berhampiran.

"Waktu itu sedarlah saya yang perang sudah pun bermula. Hari itu juga kami mendapat khabar duka seorang kenalan terdekat terkorban dalam serangan itu.

"Kami sebenarnya tidak menjangkakan perang akan tercetus. Pagi itu juga kami segera menyiapkan kubu Morisson (kubu perlindungan bawah tanah). Setiap ahli keluarga dipastikan memiliki beg galas berisi dokumen penting, ubatan dan sedikit bekalan makanan," jelasnya yang tinggal bersama kedua ibu bapa dan tiga beradik lelaki.

Maya yang tinggal di kawasan perkampungan berhampiran Kyiv berkata selepas beberapa hari mereka sudah memahami situasi dan setiap kali loceng gereja dibunyikan, itu amaran serangan roket bakal berlaku. Mereka akan bergegas ke kubu.

"Kubu kami tiada cahaya. Tiada bekalan tenaga. Suhu sangat sejuk dan lembap. Dindingnya dilitupi lumut dan ada lintah juga. Tapi tidak mengapa, yang penting kami selamat," katanya.

"Sebelum ini, pagi indah kami dimulai dengan secawan teh atau kopi. Kini, rutin pagi kami bertanyakan keadaan saudara mara dan rakan yang tinggal di bandar lain.

"Hidup lagi kah? Selamat kah? Itu soalan pertama kami setiap pagi sekarang," tambah Maya yang turut memberitahu Bernama beliau bimbang keselamatan tunangnya yang sudah empat hari gagal dihubungi.

Maya turut menjelaskan bekalan makanan di pasar raya terdekat juga semakin susut. Rak makanan sudah mulai kosong.

"Jika lori kontena datang bawa bekalan makanan tambahan, rak akan kosong semula hanya dalam masa 10 minit!

Tetapi, Maya tidak bimbang kerana jiran saling berkongsi bahan mentah dan juadah siap. Malah, mereka turut mengambil inisiatif menyediakan makanan untuk tentera Ukraine yang berhampiran.

"Kami juga menubuhkan pasukan keselamatan khas yang dianggotai lelaki dan pemuda kami. Tiga beradik lelaki saya juga turut serta. Tugas mereka memastikan keselamatan kawasan kejiranan.

Walaupun menganggur sementara kerana universiti ditutup selama dua minggu, Maya yang juga Youtuber giat berkongsi fakta dengan masyarakat antarabangsa mengenai konflik Russia-Ukraine.

Beliau sering dihubungi media antarabangsa yang menggunakan bahasa Arab sebagai pengantar termasuk Aljazeera Mubasher dan stesen TV Alhurra untuk mendapatkan gambaran terkini mengenai situasi penduduk awam Ukraine.

"Saya tidak mampu mempertahankan negara saya dengan senjata, tetapi saya boleh mempertahankannya menerusi kata-kata yang benar, dengan cara menyampaikan kebenaran kepada dunia," katanya.

Dalam satu klip video yang dikongsinya menerusi akaun Simple Ukraine di platform Youtube, beliau dengan penuh semangat patriotik menegaskan bangsa Ukraine tidak akan bertolak ansur dengan kezaliman.

"Putin cuba memecahbelahkan bangsa Ukraine. Tetapi, sebaliknya yang berlaku, beliau telah menyatukan kami. Kami kini lebih bersatu padu," katanya.

"Suatu hari nanti kami mahu bangun pagi dan mendengar di radio berita paling dinanti-nantikan: Perang sudah tamat. Ukraine selamat!" katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:15 AM