KESAN kemusnahan susulan tindakan tentera Rusia mengebom Dataran Perlembagaan di Kharkiv. FOTO AFP
KESAN kemusnahan susulan tindakan tentera Rusia mengebom Dataran Perlembagaan di Kharkiv. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Selepas tujuh hari melakukan pencerobohan, tentera Rusia akhirnya berjaya menawan bandar Kherson di Ukraine.

Ia disahkan oleh pegawai tempatan.

"Penjajah (Rusia) berada di semua bahagian bandar dan sangat berbahaya," kata Ketua Pentadbiran Wilayah, Gennady Lakhuta menerusi kiriman mesej di Telegram, lewat Rabu.

Datuk bandar pelabuhan yang dihuni 290,000 penduduk itu, Igor Kolykhaiev, mengumumkan perbincangan dengan "tetamu bersenjata" dalam pentadbiran bandar Kherson.

"Kami tidak mempunyai senjata dan tidak agresif. Kami menunjukkan bahawa kami sedang berusaha untuk mewujudkan suasana tenteram bandar itu dan cuba menangani kesan akibat daripada pencerobohan itu.

"Kami menghadapi cabaran besar dengan pengumpulan dan pengebumian orang yang meninggal dunia, penghantaran makanan dan ubat-ubatan, kutipan sampah, pengurusan kemalangan, dan lain-lain," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook (FB).

Kolykhaiev berkata, beliau tidak berjanji kepada pasukan penceroboh tetapi meminta mereka "tidak menembak orang", selain mengumumkan perintah berkurung pada malam di bandar dan sekatan pergerakan kenderaan.

"Setakat ini baik. Bendera yang berkibar di atas kita adalah bahasa Ukraine. Kita mahu kekal seperti itu, keperluan ini mesti dipenuhi," katanya.

Tentera Rusia mengumumkan berjaya menguasai Kherson pada pagi Rabu. Ia terletak tidak jauh dari Semenanjung Crimea yang diilhakkan Moscow pada 2014.

Bandar Laut Hitam dikepung ketika tentera Rusia meneruskan serangan ke atas pusat bandar lain.

Satu lagi pelabuhan utama Ukraine, Berdiansk sudah dirampas oleh tentera Rusia, manakala bandar Mariupol menangkis serangan dengan bermaruah, menurut Datuk Bandarnya, Vadym Boychenko.

"Hari ini adalah hari yang paling sukar dan paling kejam dalam perang tujuh hari. Hari ini mereka hanya mahu memusnahkan kami semua," katanya dalam video di Telegram, menuduh tentera Rusia menembak bangunan kediaman.

Boychenko berkata, infrastruktur rosak dalam serangan itu, menyebabkan orang ramai tiada bekalan elektrik, air atau pemanas.

Tentera Rusia turut membedil bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv, dalam serangan yang seakan mengulangi pembunuhan beramai-ramai orang awam di Sarajevo pada 1990-an.

Selepas pertempuran sengit selama beberapa hari, ratusan orang awam terbunuh, manakala kira-kira sejuta lagi individu melarikan diri dari Ukraine sejak pencerobohan bermula.

Ia mencetuskan hukuman sekatan Barat yang bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 3:03 PM